Amaran kesihatan terdapat pada bungkusan kotak rokok menghantar mesej yang jelas dan sepatutnya meyakinkan perokok untuk melindungi kesihatan mereka, begitu juga bukan perokok dengan tidak merokok serta menggalakkan lebih ramai orang berhenti mengambilnya.
Namun, sejauh mana ia mampu memberi kesan kepada mereka yang masih tegar mengambil produk tembakau yang bukan sahaja membahayakan dirinya tetapi makhluk di persekitarannya?
Sedar atau tidak, tembakau adalah salah satu ancaman kesihatan terbesar yang pernah disaksikan dunia yang telah meragut lebih 8 juta nyawa setiap tahun, termasuk kira-kira 1.2 juta kematian dalam kalangan mereka yang terdedah kepada asapnya tanpa rela?
Tentunya tiada siapa sangka apatah lagi peduli akan angka yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu.
Menurut laporan itu lagi, lebih 80 peratus daripada 1.3 bilion perokok dunia tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Pada tahun 2020, sebanyak 22.3 peratus penduduk dunia menggunakan tembakau, di mana 36.7 peratus adalah lelaki dan 7.8 peratus adalah wanita.
Semua bentuk tembakau adalah berbahaya, dan tiada tahap pendedahan tembakau yang selamat. Menghisap rokok kekal sebagai jenis penggunaan tembakau yang paling biasa di seluruh dunia.
Lebih 80 peratus daripada 1.3 bilion pengguna tembakau dunia tinggal di negara rendah dan sederhana, di mana beban morbiditi dan kematian tembakau adalah paling tinggi.
Penggunaan tembakau menyumbang kepada kemiskinan kerana mereka mengalihkan perbelanjaan isi rumah daripada keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal kepada tembakau.
Penggunaan tembakau mempunyai kos ekonomi yang tinggi termasuklah kos penjagaan kesihatan yang tinggi untuk merawat penyakit serta kehilangan modal insan akibat kematian dan morbiditi yang disebabkan olehnya.
Sangat Bahaya
Tidak terkecuali, alat sedutan nikotin elektronik yang mana biasanya dirujuk sebagai rokok elektronik (vape), ialah peranti yang memanaskan cecair yang menghasilkan atomizer untuk disedut oleh pengguna. Sistem ini mungkin mengandungi nikotin atau tidak.
Komponen utama larutan mengikut isipadu ialah propilena glikol, dengan atau tanpa gliserol, dan perasa. E-rokok tidak mengandungi tembakau, namun ia berbahaya kepada kesihatan dan sangat tidak selamat.
Penggunaan alat sedutan nikotin elektronik meningkatkan risiko penyakit jantung dan gangguan paru-paru. Ia juga menimbulkan masalah besar kepada wanita hamil yang menggunakannya kerana boleh membahayakan janin yang sedang berkembang.
Segelintir perokok terutamanya golongan muda melihat e-rokok sebagai alat untuk menyingkirkan rokok tembakau tradisional. Namun, penyelidik Jerman telah memberi amaran tentang bahaya ketagihan terhadap alternatif ini, yang dikaitkan dengan risiko kesihatan yang tidak terkira banyaknya.
“Memang benar bahawa merokok kurang berleluasa dalam kalangan orang muda pada masa ini, tetapi penggunaan produk elektronik alternatif, termasuk rokok elektronik, semakin meningkat dalam kalangan orang muda,” sebagaimana kata Penyelidik di Universiti Teknologi Chemnitz yang tegas memberi amaran tentang implikasi bahayanya rokok elektronik menurut akhbar Jerman Süddeutsche Zeitung.
Pakar tersebut juga telah mendedahkan bahawa wap yang dikeluarkan daripada vape adalah kabus yang mempunyai sifat keradangan, antivaskular dan karsinogenik, yang menimbulkan risiko kesihatan yang tidak terkira.
Memudaratkan Orang Lain
Telah jelas, fakta merokok adalah satu tabiat buruk, kerana ia berbahaya kepada kesihatan, dan kemudaratannya tidak hanya kepada perokok sahaja tetapi kepada semua orang di sekelilingnya.
Selama bertahun-tahun, pakar memberi tumpuan kepada risiko kesihatan merokok untuk memastikan perokok berhenti tabiat buruk ini. Telah lama diketahui bahawa merokok mempunyai pelbagai kesan kesihatan negatif.
Merokok bukan sahaja meningkatkan penyakit kanser atau penyakit kardiovaskular, malah risiko strok adalah dua kali ganda berbanding bukan perokok.
Justeru, bagi menangani ‘wabak’ tembakau, pada tahun 2003, negara-negara anggota WHO telah menerima pakai Konvensyen Rangka Kerja WHO Mengenai Kawalan Tembakau. Setakat ini, perjanjian ini telah disahkan oleh 182 negara.
Berikutan itu, pakej enam polisi MPOWER WHO telah diwujudkan selaras dengan Konvensyen Rangka Kerja mengenai Kawalan Tembakau dan telah terbukti dapat menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kos dengan mengelakkan perbelanjaan penjagaan kesihatan yang disebabkan oleh rokok, iaitu:
1. Memantau dasar penggunaan dan pencegahan tembakau;
2. Melindungi masyarakat daripada asap tembakau;
3. Tawaran bantuan untuk berhenti menggunakan tembakau;
4. Amaran tentang bahayanya tembakau;
5. Menguatkuasakan larangan ke atas pengiklanan, promosi dan penajaan tembakau;
6. Menaikkan cukai ke atas tembakau.
Haramnya Rokok
Sebenarnya di beberapa negara telah memutuskan bahawa rokok itu adalah haram. Begitu juga di negara ini, melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan tabiat merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam.
Sebagaimana kata mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, sesungguhnya isu merokok adalah isu yang dipandang remeh oleh sesetengah orang tetapi sebenarnya besar kesan terhadap individu yang terbabit.
“Perlu dinyatakan, banyak akibat yang mudarat dan tidak baik berlaku kepada perokok dan orang sekelilingnya. Antaranya pembaziran yang ketara yang melibatkan jutaan ringgit pada setiap tahun di peringkat negara dan berbilion dolar pada peringkat dunia. Begitu juga dengan kematian yang angkanya bertambah dari setahun ke setahun.”
Realitinya, kemahuan masyarakat sivil yang berkesedaran sahaja tidak cukup untuk mengawal kemudaratan yang ditimbulkan oleh perbuatan mereka yang merokok, tetapi ia perlu ditangani dengan keras dan tegas.
Selamatkan Ekonomi Negara
Sekali lagi saya ingin mengajak masyarakat Malaysia berfikir, sedar atau tidak kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6.2 bilion bagi kos rawatan pesakit akibat merokok pada tahun 2020 berbanding kutipan cukai produk tembakau hanya RM2.67 bilion?
Berapa besar angka tersebut jika tidak digunakan ke arah itu mampu menampung kos lain yang lebih perlu?
“Orang ramai perlu memahami mengapa dasar penjualan rokok dan produk tembakau kepada individu yang lahir selepas 2005 itu dirancang, tentunya untuk menjaga kebajikan golongan muda,” kata Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Beliau berkata, masyarakat perlu faham kenapa dasar itu dibuat, sudah pastilah tujuannya untuk menjaga kesihatan golongan muda.
“Kita tahu rokok berkait rapat dengan kesihatan tetapi ia juga ada perkaitan dengan ekonomi kerana jika dilihat dari sudut produktiviti, apabila seseorang itu sihat dan boleh bekerja dengan baik sudah pasti dia dapat menyumbang kepada ekonomi negara.”
Jelasnya lagi, dari konteks sektor kerajaan juga, kos penjagaan kesihatan dapat dikurangkan kerana merokok dikaitkan dengan sakit jantung dan sebagainya.
“Jadi kena lihat dalam konteks yang lebih luas, bukan sekadar tak nak orang merokok sahaja.”
Selain itu, ia bagi mengimbangi kepentingan kesihatan awam dan penyumbang hasil besar kepada negara bukan perkara mudah, namun melihat beberapa aspek akan membantu memudahkan proses tersebut.
“Apa yang penting ketika ini ialah langkah yang ketat diumumkan, dibuat secara konsisten dan tidak ada U-turn lagi,” ujarnya.
Hakikatnya, kemudaratan yang ketara dan jelas telah terbukti bahawa rokok membahayakan semua orang terutamanya perokok pasif yang tidak bersalah.
Sokong RUU Generasi Penamat
Walaupun Jawatankuasa Fatwa Negeri di beberapa negeri di Malaysia berpegang kepada fatwa merokok adalah haram, namun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung pengharaman tersebut.
Justeru, melalui satu jalan iaitu Rang Undang-Undang (RUU) dan dikuatkuasakan, maka hasrat kita semua yang ingin menghirup udara segar dan bersih mampu direalisasikan.
Boleh jadi inilah waktunya kerajaan Keluarga Malaysia menguatkuasakan RUU tersebut bagi menyelamatkan dana negara di samping yang utamanya generasi muda sebagai pelapis kepimpinan negara yang sihat dan cergas untuk memimpin negara pada masa akan datang.
Bukan hanya retorik denda merokok atau ingatan merokok membahayakan kesihatan yang hanya rancak ditampal di sana sini, tetapi tidak meninggalkan kesan kerana ia tidak diaplikasi dengan sesungguhnya.
Perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 telah dibentang dan dibahaskan pada 1 Ogos di Dewan Parlimen. Tujuan utama RUU ini adalah untuk mengawal penggunaan kesemua jenis produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape.
RUU itu bakal memperkenalkan inisiatif generasi penamat (GEG) melalui penguatkuasaan larangan merokok ke atas individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya.
Maka, sebagai rakyat Malaysia yang inginkan udara yang bersih dan sihat, marilah sama-sama kita berikan sokongan RUU ini direalisasikan bagi mewujudkan generasi bebas rokok di Malaysia ini.
Di samping itu, sudah tiba masanya kerajaan Keluarga Malaysia bertindak dengan penguatkuasaan yang benar-benar membela rakyat yang mengharap.
Terdahulu pada Mac, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa Rang Undang-undang (RUU) untuk melarang penjualan rokok dan produk tembakau kepada individu yang lahir selepas 2005 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai depan.
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia