NGO-NGO Malaysia Menyokong Had Umur Minimum 16 Tahun untuk Akses Media Sosial
Wanita IKRAM Malaysia dan rakan NGO lain menyokong tindakan kerajaan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi akses ke platform media sosial, disokong oleh identiti digital Electronic Know Your Customer (eKYC) bagi tujuan pengesahan yang lebih selamat dan berintegriti.
Tindakan ini selari dengan perkembangan global seperti UK Online Safety Act, EU Digital Services Act dan US Kids Online Safety Act (KOSA), yang menekankan keperluan pengesahan umur (age assurance) dan peningkatan tanggungjawab platform terhadap pengguna bawah umur. Teknologi eKYC yang dicadangkan berasaskan piawaian keselamatan data yang ketat, termasuk perlindungan privasi, audit trail dan verifikasi identiti, bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan atau penyamaran umur.
Penetapan had umur yang jelas dan selaras amat penting supaya dasar sokongan serta garis panduan keselamatan digital dapat dilaksanakan secara konsisten di semua peringkat; kebangsaan, sekolah, komuniti dan rumah. Pendekatan ini membolehkan agensi-agensi berkaitan menggubal polisi yang selaras dan berkesan serta memastikan penguatkuasaan yang efisien.
Melalui penetapan had umur ini, kerajaan melalui agensinya dapat memastikan platform media sosial lebih bertanggungjawab dalam penyediaan kandungan yang sesuai mengikut umur, serta pembangunan reka bentuk platform dengan ciri keselamatan yang bertepatan dengan usia kanak-kanak dan remaja (safety by design).
Penetapan had umur ini tidak menafikan hak kanak-kanak untuk mendapatkan maklumat. Akses kepada internet, sumber pembelajaran serta maklumat umum masih terbuka dan tidak disekat. Hak kanak-kanak dalam talian terus dilindungi melalui Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), khususnya Artikel 16, 17, 19 dan 311 demi memastikan kesejahteraan emosi dan mental mereka.
Dalam melaksanakan polisi ini, keperluan dan psikologi remaja yang merupakan “generasi digital” (digital native) perlulah diambil kira. Langkah ini dijangka membawa beberapa cabaran, antaranya isolasi sosial dan kesihatan mental, serta migrasi ke ruang dan platform tidak terkawal.
Sekatan umur perlu disokong dengan ekosistem sokongan bagi memastikan pembangunan yang holistik kanak-kanak dan remaja. Oleh itu, ibu bapa dan komuniti perlu bersedia menyambut baik pelaksanaan ini dan menjadikannya peluang untuk kembali membina hubungan yang lebih rapat dengan anak-anak.
Selain itu, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan diseru menyediakan lebih banyak ruang yang organik, selamat dan fleksibel untuk remaja beraktiviti, bermain, bersosialisasi dan belajar di dunia nyata. Manakala institusi pendidikan dan NGO pula boleh memperkukuh literasi digital, kesedaran keselamatan siber dan kemampuan berfikir kritis dalam kalangan pelajar.
Cadangan had umur minimum 16 tahun melalui identiti digital eKYC adalah langkah reformasi sosial dan digital yang bertujuan melindungi generasi muda daripada ancaman dunia maya yang semakin kompleks, sambil memastikan mereka tetap menikmati hak sebagai pengguna internet yang aktif dan bermaklumat.
Semoga usaha ini menjadi langkah ke arah ekosistem digital yang lebih selamat, beretika dan berperikemanusiaan bagi semua anak Malaysia.
- Wanita IKRAM Malaysia
- Kajian Dasar IKRAM (KADRI)
- Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (JEWEL)
- Musleh Integrated Education Berhad (MIEB)
- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
- Pertubuhan Kanak-kanak Idaman Nasional (KIND)
- Persatuan Kaunselor Pendidikan Malaysia (PEKA)
- IKRAMTeens Malaysia
- Malaysians Against Pornography (MAP)
- Suri Rumah Rahmah (SRR)
- Teratak Rahmah Wanita Islam (TERATAI)
- Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM)
1/suhakam.org.my/wp-content/uploads/simple-file-list/Convention-on-the-Rights-of-the-Child.pdf
Dikeluarkan oleh:
Pn. Nurhakimah Mohamud
Timbalan Ketua Wanita IKRAM Malaysia
JK Advokasi Kanak-kanak




