KUALA SELANGOR – Para delegasi dari Universitas Islam Negeri (UIN) Syeikh Ali Hasan Ahmad Addary, Padangsidimpuan, Sumatera Utara, Indonesia telah berkunjung ke Sekolah Menengah Islam (SMI) Hira’ Jeram pada Selasa, 13 Jun lalu.
Pengetua SMI Hira’ Jeram, Ustaz Isharuddin Ismail dan barisan pentadbir yang lain menyambut kehadiran delegasi dari negara jiran itu.
Kunjungan yang diketuai oleh Dekan Fakultas Tarbiyah dan Ilmu Keguruan (FTIK) universiti, Dr Lyla Hillda dan Dr Hamdan Hasibuan, turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sekolah tersebut.
Beberapa perbincangan dan kerangka kerjasama masa depan turut diberi penekanan dalam konteks pendidikan tinggi, pertukaran kepakaran, sumber serta teknologi.
Kampus UIN Syeikh Ali Hasan Ahmad Addary, yang dulunya dikenali STAIN, menjadi IAIN (Institut Agama Islam Negeri) hingga sekarang menjadi UIN, telah menjadi kebanggaan tersendiri bagi masyarakat di Tabagsel.
Ini kerana universiti ini menjadi universiti Islam terbaik di wilayah Tapanuli Selatan dan Sumatera Utara.
UIN ini memiliki status, fungsi dan peranan yang sama dengan institut perguruan tinggi yang lain serta dapat dijadikan alternatif utama bagi pelajar yang ingin mengkhususkan diri dalam bidang pengajian Islam.