Dalam pertandingan debat yang telah berlangsung pada 14 hingga 16 Julai 2017 di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini, pasukan SMIAAG diwakili Muhammad Naufal Mohamed Hanipa, Abdullah Afeeq Shafiee, Nik Faqihah Auni Nik Kalizan dan Nursyuhada Alya Abd Hisham.
Menduduki tempat ketiga daripada 20 pasukan dalam pusingan awal setelah memenangi empat daripada lima perlawanan, pasukan itu seterusnya menewaskan Kolej Tengku Kurshiah (TKC) di peringkat suku akhir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra di peringkat separuh akhir.
Membahaskan usul “Diskriminasi Bahasa Dalam Kerjaya Perlu Dihapuskan” dalam pusingan akhir, SMIAAG membawa pulang piala pusingan Menteri Besar 2017, wang tunai RM750, trofi dan sijil penghargaan.
Hadiah telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, YB Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria.
Pasukan debat Bahasa Inggeris SMIAAG pula telah memenangi dua daripada empat perlawanan pada pusingan awal dan mendapat kedudukan keenam daripada 10 buah pasukan.
Pasukan itu diwakili ‘Umar Ammar, Muhammad Rasyad Salahuddin, Farah Nurizzah Khairuddin dan Muhammad Rasyid Ridha Muhamad Juhari.
Sementara itu, salah seorang pelapis debat Bahasa Melayu SMIAAG, Anis Batrisya Azlan yang telah menyertai pasukan SWING daripada pelbagai sekolah untuk melengkapkan jumlah pasukan, berjaya menjadi antara tiga pendebat terbaik pada pusingan awal.
Seramai 160 pelajar dari 40 sekolah menengah seluruh negara menyertai pertandingan debat Piala Menteri Besar Perak Ke-2 anjuran USAS di sini melibatkan tiga kategori iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.
Kategori Bahasa Inggeris menyaksikan MCKK menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad, Pulau Pinang manakala SMKA Maahad Hamidiah, Selangor pula mengungguli kategori Bahasa Arab.
Tahniah diucapkan kepada kesemua para pendebat SMIAAG, jurulatih, guru, ibu bapa serta semua yang menyumbang kepada kejayaan ini.
Semoga ia menjadi pemangkin untuk kejayaan yang lebih hebat pada masa akan datang dan menjadi inspirasi untuk menjadi pemikir serta jurubicara buat ummah, insya-Allah.