Pendedahan demi pendedahan kes rasuah yang melibatkan pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dewasa ini telah mencetuskan keresahan yang mendalam dalam kalangan masyarakat.
Institusi ATM selama ini sinonim dengan disiplin tinggi, kesetiaan kepada negara dan pengorbanan tanpa syarat demi mempertahankan kedaulatan tanah air.
Justeru, apabila pegawai kanan yang memegang amanah strategik dikaitkan dengan salah guna kuasa dan amalan rasuah, implikasinya jauh lebih besar daripada kesalahan individu semata-mata. Ia menyentuh soal kredibiliti institusi, kepercayaan rakyat dan masa depan integriti kepemimpinan negara.
Isu ini tidak wajar ditangani secara emosional atau dengan kecaman melulu sehingga melemahkan institusi pertahanan negara. Sebaliknya, pendekatan yang matang, berfakta dan berpandangan jauh amat diperlukan.
Kritikan yang membina perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses pemulihan dan pengukuhan institusi, bukan usaha untuk menjatuhkan.
Dalam konteks inilah dapatan Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2025, khususnya Ciri 1: Kepimpinan Negara yang Berwibawa, Kompeten dan Berintegriti, wajar dijadikan kerangka analisis terhadap isu rasuah dalam kalangan pegawai tinggi ATM.
Apabila kes demi kes menjadi perhatian awam
Hakikat bahawa kes rasuah melibatkan pegawai tinggi ATM muncul secara berulang memberi isyarat yang tidak boleh dipandang ringan.
Walaupun dari sudut statistik jumlah kes ini kecil berbanding keseluruhan anggota ATM, kesannya sangat besar kerana ia melibatkan mereka yang berada di puncak hierarki kepemimpinan.
Pegawai kanan bukan sahaja berfungsi sebagai pentadbir dan perancang strategik, malah menjadi simbol nilai, etika dan teladan kepada ribuan anggota bawahan ATM.
Apabila integriti mereka dipersoalkan, mesej yang sampai kepada masyarakat amat membimbangkan. Ia berpotensi menjejaskan moral dalaman pasukan, melemahkan keyakinan anggota bawahan ATM terhadap pemimpin mereka sendiri dan mencetuskan persepsi negatif rakyat terhadap institusi pertahanan.
Dalam jangka panjang, situasi ini boleh menghakis kepercayaan awam terhadap keupayaan negara mengurus amanah kuasa dan sumber strategik secara telus.
Fenomena “satu demi satu kes” juga membuka ruang kepada persoalan lebih besar: adakah wujud kelemahan sistemik dalam mekanisme kawalan, pengawasan dan pembinaan nilai integriti dalam institusi beruniform? Soalan ini perlu dijawab secara jujur dan berani, demi kebaikan jangka panjang ATM dan negara.
IMNR 2025 sebagai cermin persepsi rakyat
IMNR 2025 memberikan gambaran empirikal tentang bagaimana rakyat menilai pencapaian negara sebagai sebuah Negara Rahmah. Bagi Ciri 1: Kepimpinan Negara yang Berwibawa, Kompeten dan Berintegriti, skor keseluruhan ialah 7.00, berada pada tahap sederhana. Pecahan indikator menunjukkan skor kepimpinan berwibawa (7.18), kompeten (6.91) dan berintegriti (6.90).
Skor ini membawa mesej yang jelas. Rakyat masih mengiktiraf kewibawaan kepimpinan negara dan institusi, namun pada masa yang sama bersikap berhati-hati dalam menilai tahap integriti sebenar pemimpin.
Kes rasuah yang melibatkan pegawai tinggi ATM secara langsung mengukuhkan dapatan ini. Ia mencerminkan jurang antara harapan normatif rakyat terhadap kepimpinan yang bersih dan amanah dengan realiti yang mereka saksikan melalui pendedahan kes-kes salah guna kuasa.
Dalam erti kata lain, IMNR 2025 bukan sekadar indeks angka, tetapi berfungsi sebagai cermin sosial yang memaparkan keresahan, kebimbangan dan tuntutan rakyat terhadap kepimpinan yang lebih telus dan bertanggungjawab.
Mengapa rasuah berlaku dalam institusi tentera?
Beberapa faktor perlu diberi perhatian secara serius. Pertama, kuasa budi bicara yang luas, khususnya dalam pengurusan perolehan, logistik dan kontrak pertahanan bernilai tinggi. Nilai kewangan yang besar serta elemen kerahsiaan atas alasan keselamatan negara menjadikan sektor ini berisiko tinggi sekiranya mekanisme semak dan imbang tidak cukup ketat.
Kedua, budaya hierarki yang kuat dalam organisasi ketenteraan. Walaupun struktur ini penting untuk disiplin dan keberkesanan operasi, ia boleh menjadi penghalang kepada budaya tegur-menegur dan pelaporan salah laku. Anggota bawahan mungkin berasa terikat dengan norma kepatuhan sehingga enggan atau takut melaporkan salah guna kuasa pegawai atasan.
Ketiga, kelemahan pembinaan integriti sebagai nilai dalaman. Apabila integriti difahami sekadar pematuhan prosedur dan undang-undang, tanpa penghayatan nilai moral dan rohani, kawalan luaran semata-mata tidak mencukupi untuk mencegah rasuah. Dalam situasi ini, individu yang memegang kuasa besar tetapi lemah integriti dalaman mudah terjerumus dalam salah guna amanah.
Integriti kepimpinan dari perspektif Islam
Dalam kerangka Islam, integriti bukan pilihan, tetapi kewajipan. Kepimpinan dilihat sebagai amanah besar yang akan dipersoalkan bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat. Al-Quran menegaskan prinsip ini dengan jelas. Firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, hendaklah kamu menetapkannya dengan adil.” (Surah an-Nisā’ 4:58)
Ayat ini mengaitkan amanah secara langsung dengan keadilan dalam kepimpinan. Bagi pegawai tinggi ATM, amanah tersebut meliputi pengurusan kuasa, sumber dan keputusan strategik yang memberi kesan langsung kepada keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.
Pelanggaran amanah ini bukan sahaja kesalahan undang-undang, tetapi pengkhianatan terhadap nilai agama dan tanggungjawab moral.
Memperkukuh integriti berteraskan Negara Rahmah
Berpandukan dapatan IMNR 2025, usaha meningkatkan integriti ATM dan penjawat awam perlu digerakkan secara sistematik dan bersepadu.
Pertama, kepimpinan berintegriti mesti bermula dari peringkat tertinggi. Proses pelantikan dan kenaikan pangkat pegawai kanan hendaklah mengambil kira rekod amanah, ketelusan dan kebertanggungjawaban, bukan semata-mata senioriti atau kecekapan teknikal.
Kedua, mekanisme semak dan imbang dalaman perlu diperkukuh, termasuk audit bebas, pemantauan pelbagai lapisan serta perlindungan pemberi maklumat. Pemimpin berwibawa bukan pemimpin yang kebal daripada pengawasan, tetapi pemimpin yang bersedia dipertanggungjawabkan secara terbuka dan adil.
Ketiga, pendidikan integriti berasaskan nilai perlu dijadikan teras latihan ketenteraan dan perkhidmatan awam. Integriti tidak boleh hanya diajar sebagai modul sekali-sekala, tetapi mesti dibina sebagai budaya organisasi dan jati diri, selari dengan aspirasi Negara Rahmah yang menekankan keseimbangan antara kuasa, keadilan dan ihsan.
Tarbiah Ramadan dan pembinaan integriti Muslim
Menjelang bulan Ramadan, wajar kita semua menilai semula peranan tarbiah rohani dalam membentuk integriti.
Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi latihan disiplin diri, kejujuran dan kesedaran bahawa setiap perbuatan diawasi oleh Allah SWT. Nilai ini sangat selari dengan konsep integriti, iaitu melakukan yang benar walaupun tanpa pengawasan manusia.
Bagi seorang Muslim, integriti bukan sekadar takut kepada hukuman undang-undang, tetapi lahir daripada kesedaran iman. Tarbiah Ramadan membentuk disiplin dalaman yang mampu mencegah rasuah kerana rasa amanah kepada Allah dan tanggungjawab sebagai khalifah.
Jika nilai ini dihayati secara konsisten, ia berpotensi menjadi benteng paling kukuh dalam mengekang salah guna kuasa, termasuk dalam institusi beruniform dan perkhidmatan awam.
Ujian dan harapan
Kes rasuah pegawai tinggi ATM merupakan ujian besar terhadap integriti kepemimpinan negara. Dapatan IMNR 2025 menunjukkan bahawa rakyat masih memberi kepercayaan, tetapi menilai pencapaian integriti pada tahap sederhana. Ia bukan tanda penolakan, sebaliknya isyarat jelas bahawa rakyat menuntut pembaikan yang lebih serius dan berkesan.
Memperkukuh integriti institusi pertahanan dan penjawat awam memerlukan pendekatan menyeluruh: pembaikan sistem, kepimpinan beretika, budaya organisasi yang sihat serta penghayatan nilai agama.
Inilah asas kepada Malaysia sebagai Negara Rahmah, sebuah negara yang bukan sahaja kuat dari segi ketenteraan dan ekonomi, tetapi kukuh dari segi amanah, keadilan dan nilai kepemimpinan.
Dr Mohd Yusri Ibrahim
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)




