GENEVA – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pandemik Covid-19 kini berada dalam fasa kritikal akibat ancaman varian Delta yang lebih mudah berjangkit setelah dikesan di 98 negara.
“Varian yang pertama kali dilaporkan di India dengan nama B.1.617.2. itu terus berkembang dan bermutasi.”
Menurutnya, ia menular dengan cepat tanpa mengira kadar vaksinasi sesebuah negara. Tiada negara yang berjaya keluar daripada ancaman wabak ini.
“Varian berbahaya itu juga menyebabkan lonjakan kes jangkitan di rantau Asia hingga memaksa beberapa negara melaksanakan semula lockdown selain mempercepatkan program vaksinasi,” jelasnya.
Bagi mencapai imuniti kelompok, Dr Tedros sekali lagi mengulangi gesaan supaya memvaksin sekurang-kurangnya 10 peratus penduduk di negara masing-masing.
Sementara itu, kajian terbaharu menemui bukti epidemik koronavirus melanda Asia Timur kira-kira 20,000 tahun lalu dan cukup dahsyat untuk meninggalkan kesan evolusi pada asid deoksiribonukleik (DNA) generasi pada hari ini.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) memaklumkan bahawa hampir 25 peratus daripada kes jangkitan baharu di Amerika dikaitkan dengan varian Delta dan ia menunjukkan peningkatan daripada enam peratus pada awal Jun lalu.
Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Awam England pula mendedahkan virus bermutasi itu meliputi 99 peratus daripada ujian penjujukan Covid-19 manakala Pusat Eropah untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit memberi amaran varian Delta menyumbang 90 peratus daripada kes keseluruhan di blok tersebut menjelang akhir bulan depan.
Laporan penyelidik University of Arizona diterbitkan menerusi jurnal Current Biology itu mendedahkan, wabak koronavirus purba pernah berlarutan di rantau tersebut selama beberapa tahun.
Sejak lebih tiga dekad lalu, tiga koronavirus iaitu Covid-19, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) telah menjangkiti manusia serta kajian mendapati ketiga-tiganya disebarkan daripada kelawar atau haiwan mamalia lain.
Foto oleh CNA