Situasi Gaza Cetus Perubahan Besar Pemikiran Global

Situasi Gaza Cetus Perubahan Besar Pemikiran Global | IKRAM

KUALA LUMPUR – Syarahan bertajuk “Pembentukan Susunan Dunia Baharu” telah dianjurkan semalam bagi meningkatkan kefahaman masyarakat berkenaan cabaran dan perkembangan geopolitik semasa yang sedang membentuk susunan dunia baru. 

Syarahan ini disampaikan oleh Dr. Anas al-Tikriti, seorang pakar terkenal dalam bidang geopolitik dan hubungan antarabangsa.

Syarahan ini memberi tumpuan kepada isu-isu geopolitik mendesak dengan menumpukan fokus kepada konflik Gaza dan implikasinya terhadap politik global. 

Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Dr. Awaluddin Mohamed Shaharoun, dalam ucapan pembukaannya, menekankan kepentingan peristiwa-peristiwa terkini dalam membentuk persepsi global.

“Apa yang berlaku sejak 7 Oktober 2023 telah mencetuskan perubahan dalam pemikiran dan memberikan kita peluang yang unik untuk berinteraksi dengan bukan Muslim, terutamanya di Barat yang telah diberi propaganda mengenai hak asasi manusia minoriti,” katanya.

Awaluddin memberitahu, telah berlaku perubahan paradigma dalam pendapat umum sejak serangan rejim Zionis ke atas Gaza. “Tiba-tiba isu Gaza telah menimbulkan persoalan tentang bagaimana masyarakat Barat disusun,” ujarnya. 

“Orang ramai mula ragu-ragu tentang apa yang diberitahu kepada mereka, dan kini kita berpeluang untuk mengetengahkan naratif Palestin, terutamanya kepada bukan Muslim yang selama ini disesatkan melalui media arus perdana.”

“Ini adalah peluang keemasan untuk bercakap mengenai apa yang sedang berlaku di Gaza hari ini dengan memberikan perspektif Palestin, yang selama ini kebanyakannya diabaikan oleh media arus perdana sejak 75-76 tahun yang lalu.”

Dr. Anas dalam pembentangannya memperluas perbincangan dengan memberikan analisis komprehensif tentang perubahan geopolitik yang berlaku dalam konteks konflik semasa. Beliau menyatakan bahawa dunia hari ini sedang diurus dengan sangat lemah dari pelbagai aspek sama ada politik, ekonomi, sosial dan keselamatan. 

“Kita hidup dalam dunia yang diurus dengan teruk,” katanya, sambil menyatakan bahawa kelemahan sistem semasa telah membawa lebih banyak penderitaan kepada manusia.

Beliau menekankan bahawa ideologi ciptaan manusia tidak banyak menyumbang dalam meringankan penderitaan manusia. “Sistem yang dibina berdasarkan ideologi manusia telah memberikan sedikit (jika ada) kepada kesejahteraan manusia,” tegasnya. 

Menurut Anas, dalam sistem ini, manusia menjadi pusat kepada segala-galanya, namun ia tetap gagal membawa keseimbangan dan kebahagiaan sejati.

Anas menyatakan bahawa peristiwa 7 Oktober 2023 telah mencetuskan perubahan besar dalam pemikiran global. “Gaza, melalui ketabahan dan pengorbanannya, telah memberikan kita peluang untuk dunia membina sesuatu yang baharu,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa kesedaran tentang situasi Gaza kini tersebar luas, dengan banyak pihak di seluruh dunia mula mempersoalkan asas moral dan etika yang digunakan oleh Barat dalam menangani konflik ini.

“Kini, masyarakat dunia sedang mempersoalkan prinsip-prinsip moral yang selama ini dipegang oleh negara-negara Barat,” jelas beliau.

Anas menyatakan tindak balas pemimpin politik dilihat lemah dan tidak berupaya berbanding dengan reaksi rakyat dunia yang semakin tegas menyokong Gaza. Beliau juga mengingatkan bahawa konflik Gaza telah memperlihatkan bahawa isu-isu yang dihadapi Gaza sebenarnya wujud di pelbagai tempat di seluruh dunia. 

“Gaza tidak hanya di Gaza kerana ia ada di mana-mana. Penindasan berlaku di seluruh dunia dan kini semakin ramai yang sedar mengenainya,” katanya.

Beliau menyeru agar krisis dunia yang sedang berlaku dijadikan peluang untuk membina semula struktur masyarakat berdasarkan prinsip yang mengutamakan kesejahteraan manusia sejagat. 

Menurutnya, umat Islam perlu memainkan peranan penting dalam memperbaiki keadaan manusia di bawah sistem semasa yang gagal membawa kesejahteraan sejagat.

Syarahan ini merupakan anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia, Palestinian Centre of Excellence (PACE), Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS).

Orang ramai boleh melayari laman web https://www.7oktober.net/ bagi mendapatkan pencerahan tentang peristiwa 7 Oktober 2023 atau klik https://www.advocatingpeace.com/ bagi mendapatkan perkembangan semasa Palestin.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia