Disertai 80 orang mahasiswa yang membersihkan masjid, sekolah dan jalan-jalan terpilih di sekitar Hayyu Sabiek, program ini bertujuan memupuk sifat cakna dalam diri mahasiswa terhadap hal-hal sekeliling seperti kebersihan alam sekitar.
Aktiviti kemasyarakatan ini seiring dengan salah satu ciri mahasiswa harmoni iaitu “Mahasiswa yang cakna tentang hal ehwal semasa”.
“Seawal jam 7.00 pagi lagi para peserta telah mendaftarkan diri di Teratak ABIM Mesir yang menjadi tempat berkumpul sebelum dibahagikan kepada empat kumpulan untuk menjalankan tugas pembersihan,” ujar IKRAM Mesir.
Seterusnya, setiap kumpulan telah diberikan tugas untuk membuat sepanduk mengikut kreativiti masing-masing yang bertemakan “Throw Kindness Like Confetti”.
“Aktiviti pembersihan telah berlangsung di Masjid Taufiq dan Sekolah Ali bin Abi Talib. Para peserta kelihatan begitu bersemangat dan saling bekerjasama untuk membersihkan persekitaran masjid dan sekolah,” jelasnya.
Dalam pada itu, semua peserta sangat berpuas hati dengan kelancaran dan pelaksanaan program ini, malah berharap Ehtam Bina 2.0 bakal menyusul dengan aktiviti yang lebih menarik dan penyertaan yang lebih ramai.
Pihak penganjur berharap agar program ini dapat memberi kesedaran kepada para mahasiwa dan mahasiswi malah penduduk Mesir akan kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
“Kami juga mengharapkan agar kekuatan ukhuwah antara ketiga-ketiga persatuan akan menjadi lebih erat dan mampu untuk bekerjasama lagi bagi menjayakan program-program akan datang.”