SIS Forum: Isu Pentafsiran Undang-undang, Bukan Tolak Fatwa

SERI KEMBANGAN – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengehadkan pemakaian fatwa terhadap fahaman liberalisme dan pluralisme agama hanya kepada individu Muslim dan bukan entiti seperti SIS Forum Berhad telah mencetuskan diskusi luas dalam kalangan masyarakat dan pengamal undang-undang.

Isu tersebut menjadi fokus utama dalam webinar anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia dan IKRAM Legal bertajuk “Keputusan Mahkamah Terhadap SIS Forum Berhad – Implikasi Undang-Undang & Masyarakat” yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Webinar ini menampilkan dua tokoh dalam bidang undang-undang iaitu peguam yang mewakili pihak Jawatankuasa Fatwa dalam kes tersebut, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Pengerusi Lembaga Pengadilan IKRAM, Prof. Madya Dr Zulfakar Ramlee serta moderator program iaitu Pengerusi IKRAM Legal, Muhammad Faris Zaidi.

Menjelaskan latar belakang keputusan mahkamah, Zainul menegaskan bahawa fatwa yang diwartakan pada 2014 itu tidak dibatalkan, sebaliknya mahkamah hanya membuat pengecualian terhadap pemakaiannya kepada entiti korporat seperti SIS Forum Berhad.

“Mahkamah tidak membatalkan fatwa. Ia hanya membuat penafsiran bahawa entiti seperti SIS Forum tidak termasuk dalam maksud ‘tiap-tiap orang Islam’ sebagaimana termaktub dalam Enakmen Negeri Selangor,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan bahawa mahkamah tidak menyentuh soal kandungan fatwa, tidak juga menyatakan ia bercanggah dengan Perlembagaan. Sebaliknya, ia hanya memutuskan bahawa organisasi tidak mempunyai agama dan oleh sebab itu, tidak tertakluk kepada fatwa yang merujuk kepada penganut Islam secara individu.

Dr Zulfakar Ramlee pula memberi huraian terperinci tentang struktur dan proses penggubalan fatwa di Selangor yang melibatkan tiga peringkat penting iaitu Jawatankuasa Fatwa, MAIS dan perkenan DYMM Sultan Selangor.

Beliau menjelaskan bahawa fatwa hanya mempunyai kuasa undang-undang setelah diwartakan dan prosesnya melibatkan kajian mendalam serta konsultasi dengan pihak berkepentingan, termasuk SIS sendiri dalam kes ini.

“Fatwa bukan sekadar pendapat mufti tetapi adalah hasil perbincangan institusi, libat urus bersama pakar termasuk bukan Islam dan mesti mendapat perkenan Tuanku sebelum digazetkan,” kata Dr Zulfakar.

Jelas beliau, fatwa yang telah digazetkan mengikat semua individu Muslim di negeri berkenaan dan boleh dijadikan asas kepada pendakwaan di Mahkamah Syariah jika dilanggar.

Mengulas dari sudut teknikal perundangan, Zainul menyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan memakai prinsip syarikat dan pertubuhan tidak boleh dikategorikan sebagai penganut agama.

“Mahkamah tidak mengatakan fatwa ini tidak sah. Ia hanya tidak terpakai kepada badan berdaftar seperti SIS Forum,” tegas beliau.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Mahkamah Persekutuan telah ‘menggugat kuasa agama’, kerana ia hanya menjalankan fungsi kehakiman dalam mentafsir skop pemakaian undang-undang terhadap subjek hukum.

Menjawab soalan moderator tentang perbezaan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Persekutuan, Dr Zulfakar menjelaskan bahawa Malaysia mengamalkan sistem dwi-perundangan yang sering membawa kepada pertindihan.

Beliau menyebut bahawa dalam banyak kes terdahulu, Mahkamah Sivil juga pernah merujuk isu berkaitan agama kepada Mahkamah Syariah. Namun dalam kes SIS Forum, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan kerana melibatkan aspek perlembagaan dan tafsiran pentadbiran.

“Ini adalah satu lagi contoh konflik bidang kuasa yang akan terus wujud dalam sistem kita. Sebab itu penting untuk struktur kehakiman syariah diperkuatkan,” ujar beliau sambil mencadangkan agar lebih banyak negeri mencontohi Perak yang telah menubuhkan Mahkamah Syariah Tertinggi.

Menurut Datuk Zainul, keputusan ini tidak membuka ruang kepada penyalahgunaan institusi untuk menyebarkan fahaman sesat. Walaupun entiti tidak tertakluk kepada fatwa, individu dalam entiti masih boleh didakwa secara peribadi jika terlibat secara langsung dalam penyebaran fahaman yang menyeleweng.

“Individu yang bertanggungjawab tetap boleh diambil tindakan menurut peruntukan undang-undang. Tiada siapa kebal dari penguatkuasaan agama,” katanya lagi.

Webinar berakhir dengan rumusan bahawa keputusan Mahkamah ini adalah isu pentafsiran undang-undang, bukan penolakan terhadap ajaran Islam atau fatwa. Fatwa tetap kekal sah dan berkuat kuasa terhadap individu Islam dan proses pembentukannya diakui rapi, profesional dan sah dari sudut Perlembagaan.

Bagi ikuti webinar penuh, klik di sini https://www.facebook.com/share/v/1GRqw8gkcY/

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia