Saya mengerti ramai yang marah dan kecewa. Namun, saya bersetuju dengan pendapat Mufti Kelantan yang meminta masyarakat tidak terus menghukum ibu bapa yang menghantar anak ke pusat tahfiz atas alasan ‘escapism’ – anak tidak ‘menjadi’ lalu dihumban ke tahfiz.
Bukan semua begitu. Masih banyak yang benar-benar menghantar anak untuk mendalami agama namun tidak menyedari tindakan tersebut mungkin boleh membawa bencana; sama ada jangka masa yang pendek atau jangka masa yang panjang.
Kerana itu saya menulis, untuk ‘awareness’, bagi membuka mata dan berkongsi ilmu, bukan untuk menghukum dan menuding jari kepada mana-mana pihak.
Saya juga bukanlah seorang pakar perubatan, pakar psikiatri atau pakar apa pun. Hanya seorang emak kepada empat orang anak lelaki yang masih kecil-kecil dan sangat terkesan dengan pelbagai peristiwa membabitkan masalah di asrama terutamanya untuk anak berusia 12 tahun dan ke bawah.
Saya juga lepasan sekolah berasrama. Malahan, kesemua adik-beradik saya juga bersekolah asrama ketika sekolah menengah. Tidak ada masalah yang serius, alhamdulillah. Namun, saya menulis daripada kaca mata generasi muda untuk zaman yang berbeza. Dulu tidak sama seperti sekarang.
Tidak ramai yang tahu tentang Sindrom Sekolah Berasrama. Dalam buku Boarding School Syndrome: The Psychological Trauma of the ‘Privileged’ Child, Dr Joy Schaverien menulis bagaimana ‘terkeluar daripada sistem rumah’ memberi kesan jangka masa panjang kepada seseorang sehingga beliau dewasa antaranya depresi, tidak dapat memahami emosi dan tidak mampu untuk membina hubungan yang serius (seperti berumah tangga misalnya).
Dalam bahasa mudahnya, jika di rumah, mereka membesar dengan pengawasan dan penjagaan ibu bapa. Di sekolah berasrama, mereka perlu mengadaptasi pelbagai perkara dalam sekecil-kecil usia. Mereka tidak mendapat ‘bimbingan’ sepenuhnya. Di sinilah wujudnya ‘gap’ atau jurang bilamana ibu bapa merasakan guru-guru dan warden boleh mengambil alih peranan mereka sebagai ibu bapa dan merasakan itulah yang sebaiknya.
Salah!
Tiada pelukan sehangat pelukan seorang ibu setiap pagi dan setiap malam. Tiada kelegaan yang amat apabila seorang anak diusap dan ditenteramkan ayah ketika dia dalam kekecewaan. Itulah fungsinya ‘parent-child relationship’ iaitu hubungan ibu bapa-anak yang tidak dapat diganti lagi.
Inilah yang tidak dapat dirasakan sepenuhnya oleh anak-anak di asrama. Apatah lagi yang begitu kecil dan masih perlukan bimbingan setiap masa. Mandi pun masih harus diingatkan, tuala pun masih disepah merata-rata, makan pun masih kadang-kadang tidak berselera.
Kerana itulah, hasilnya apabila terlalu lama berada di sekolah asrama, perhubungan antara seorang anak dan keluarganya tidak rapat dan mesra. Lebih buruk lagi, sesetengah daripada mereka ini akan menghadapi masalah pada kemudian hari selepas keluar daripada asrama.
Dr Joy turut menyatakan pesakit-pesakit yang mendapatkan rawatan psikiatri yang pernah bersekolah di asrama bahawa mereka ini cenderung mengalami trauma sama ada jelas atau tersembunyi. Mereka juga boleh mendapat kemurungan, panik (anxiety disorder), tidak mampu meluahkan perasaan, tidak mampu menangis, sentiasa sibuk, tidak mampu memahami orang lain.
Saya fikir kerana itulah semakin hari semakin banyak pasangan yang bercerai-berai walaupun hakikatnya bijak pandai. Semakin ramai yang hilang kemanusiaan kerana rasa kasih dan cinta mereka ditarik seawal usia. Belum lagi kita bicarakan tentang masalah buli, masalah penderaan fizikal dan seksual, nauzubillahi min dzalik. Memikirnya sahaja boleh membuatkan kita rasa sakit jiwa.
Rumusan yang dapat saya simpulkan:
1. Timbang taralah sewajarnya ketika ingin menghantar anak ke asrama. Tidak ada seorang pun yang lebih faham dan tahu tentang kesediaan dan keperluan seseorang anak itu dihantar melainkan penjaga sepenuhnya (boleh jadi ibu bapa, datuk, nenek atau orang lain).
2. Jika dapat dielakkan, usahlah menghantar anak yang kecil seperti 12 tahun ke bawah ke mana-mana institusi sekalipun. Anak tempatnya di dalam rumah bersama ibu bapa.
Renunglah kembali hadis Rasulullah Salallahualaihiwasallam:
“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci, bersih), kedua-dua ibu bapa yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (Sahih Muslim, Buku 033. No. 6426)
Kitalah yang mencorak dengan warna yang sewajarnya.
3. Adapun bagi kes-kes unik seperti kematian salah seorang atau kedua-dua penjaga, kes kesihatan/psikaitri, kes kemiskinan tegar dan sebagainya, mestilah diambil mengikut konteks kes.
Benar, tidak semua boleh dipukul rata. Pandangan saya ini untuk masyarakat secara amnya baik di Malaysia mahupun di mana-mana negara di dunia.
4. Jangan kita meletakkan tanggungjawab mendidik baik sudut akademik atau agama kepada bahu orang lain sepenuhnya. Jika tidak pandai, hantarlah bersekolah dan mengaji, asalkan anak pulang setiap hari. Jika terlalu sibuk, ingatlah anak hanya membesar sekali.
Mereka tidak akan kembali semula kepada keadaan di mana kasih sayang kita ditagih sebanyak-banyaknya. Nanti jika sudah dewasa, lambat-laun mereka akan keluar dan meninggalkan rumah, dan kita nanti akan kesunyian dengan gelak ketawa dan gelagat manjanya.
Sekali lagi, ini hanya sebagai perkongsian, awareness, untuk kesedaran bersama. Saya yang menulis juga masih banyak khilafnya.
Penulis, Puan Salwa Mohd Saleh ialah seorang EMAK of 4 boys – Trainer – Motivator – Student – Blogger dan ahli IKRAM Putrajaya
Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian IKRAM.