Sikap Khauf dan Raja’: Maksud dan Cara Mengimbanginya

Sikap Khauf dan Raja’: Maksud dan Cara Mengimbanginya | IKRAM

Apabila bercakap tentang al-Khauf, perkara pertama yang harus kita tanya kepada diri sendiri ialah adakah kita memiliki rasa takut? Ketakutan yang bagaimanakah yang wujud dalam diri kita? Siapakah yang kita takuti dan adakah antara kita ini yang tidak mempunyai rasa takut?

Al-Khauf (takut) dan ar-Raja’ (berharap) merupakan dua aspek penting dalam konsep ketakwaan atau hubungan manusia dengan Allah SWT dalam Islam. 

Kedua-dua elemen ini berperanan dalam membentuk sikap, tindakan dan persepsi seseorang terhadap kehidupan dan hubungannya dengan Sang Pencipta. 

Maksud khauf dan raja’

Khauf berasal daripada perkataan khafa, yakhafu atau khaufan yang bermaksud takut. Selain khauf, dalam al-Quran juga mengunakan istilah khasyah yang terkadang maknanya sama dan terkadang lebih khusus.

Khauf adalah rasa takut kepada Allah SWT dan azab-Nya yang ditimpakan kepada kita, rasa takut kepada Tuhan Pencipta manusia dan pemilik alam semesta yang mengurniakan rezeki kepada makhluk-Nya dan menciptakan syurga dan neraka (syurga bagi hamba-hamba-Nya yang bertakwa dan neraka bagi hamba-hamba-Nya yang bermaksiat kepada-Nya). 

Rasa gerun dan takut kepada Allah SWT akan menghalang seseorang itu daripada melakukan perkara yang dilarang oleh-Nya. Seterusnya dia akan patuh dalam mengerjakan perkara yang disuruh-Nya dengan hati yang ikhlas.

Seseorang akan menjadi lebih taat kepada Allah SWT dan mengelak daripada melakukan dosa dan maksiat apabila dia memiliki khauf.

Semakin besar khauf seseorang, semakin banyak ia menghindari perkara yang menjadikan hisabnya lebih sukar. Ertinya semakin takut seseorang, semakin cenderung ia menjauhkan diri daripada perkara yang boleh membawanya ke neraka.

Allah SWT memerintahkan kepada manusia agar rasa takut yang ada dalam hati, yang penuh dengan pengagungan kepada Allah SWT itu tidak diberikan kecuali kepada Allah SWT sahaja. Ketakutan ini adalah ibadah. Allah berfirman:

إِنَّمَا ذَٰلِكُمُ الشَّيْطَانُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَاءَهُ فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

“Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan kawan-kawannya (orang-orang musyrik Quraisy), sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada-Ku jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Ali-Imran: 175)

Adapun raja’ menurut istilah merujuk kepada pergantungan hati untuk mencapai sesuatu pada masa hadapan. Raja’ merupakan satu bentuk ibadah yang melibatkan kerendahan dan ketaatan dan hanya boleh ditujukan kepada Allah SWT. Raja’ juga boleh diertikan sebagai mempunyai prasangka baik kepada Allah SWT kerana mengetahui luasnya rahmat dan kasih sayang-Nya.

Ia sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran:

أُولَئِكَ الَّذِينَ يَدْعُونَ يَبْتَغُونَ إِلَى رَبِّهِمُ الْوَسِيلَةَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ وَيَرْجُونَ رَحْمَتَهُ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُورًا

“Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka siapa antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah) dan mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya; sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti.” (Al-Israa’: 57)

Mengimbangi sikap khauf dan raja’

Seorang Muslim harus menyeimbangkan antara khauf dan raja’. Jika rasa takut (khauf) menjadi terlalu besar dan mendominasi seseorang, mereka akan terjerumus dalam akidah Khawarij yang berputus asa daripada rahmat Allah SWT padahal Allah SWT Maha Pengasih. 

Apabila rasa raja’ (berharap) mendominasi diri dan menjadi terlalu kuat, maka ia akan terjerumus ke dalam akidah Murji’ah yang menghilangkan rasa takut kepada Allah SWT dan hanya menumpukan pada keampunan dan harapan, padahal Allah SWT juga “syadidul iqab” iaitu keras azab-Nya. Allah SWT berfirman:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ

“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami.” (Al-Anbiya’: 90)

Namun, ada beberapa keadaan salah satu daripada khauf dan raja’ ini perlu sedikit mendominasi. Misalnya ketika menghadapi sakit yang membawa maut, tingkatkanlah harapan kepada Allah SWT akan pahala amalan ibadah yang telah dilakukan sebelum ini.

Terutamanya ibadah yang disembunyikan, hanya Allah SWT dan dirinya yang tahu, dan benar-benar hanya mengharapkan wajah Allah SWT sahaja. Sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW yang mengajar kita agar meninggal dunia dalam keadaan bersangka baik kepada Allah SWT. Beliau bersabda:

لَا يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلَّا وَهُوَ يُحْسِنُ الظَّنَّ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Jangan salah seorang antara kamu meninggal dunia kecuali dia berprasangka baik kepada Allah ‘Azzawajalla.” (HR Muslim, 2877)

Walaupun terdapat banyak perbezaan pendapat mengenai yang manakah perlu didominasi oleh seorang Muslim, sama ada khauf atau raja’, jawapannya bergantung kepada situasi dan keadaannya.

Apabila seseorang itu khuatir dan takut sehingga dia berputus asa dengan rahmat Allah SWT, adalah perlu untuk menyeimbangkan ketakutan tersebut dengan kepercayaan dan berharap kepada Allah SWT. 

Manakala apabila seseorang itu khuatir apabila pengharapannya kepada Allah SWT menjadi begitu besar sehingga ia merasa selamat daripada azab Allah SWT, maka adalah perlu untuk menyeimbangkan pengharapannya dengan rasa takut kepada Allah SWT.

Mana yang perlu diutamakan? 

Khauf dan raja` adalah dua bentuk ibadah yang sangat agung dan saling melengkapi. Keseluruhan aktiviti kehidupan seorang Muslim akan menjadi seimbang apabila kedua-duanya ada dalam diri mereka.

Dengan khauf, seseorang akan sentiasa patuh dan menjauhi perkara yang haram kerana rasa takut akan menghalang seseorang daripada melakukan perkara yang tidak baik. Manakala dengan raja’, seseorang akan sentiasa mengharapkan apa yang ada di sisi Allah SWT kerana dengan harapan, ketaatan akan meningkat.

Memahami, menghormati dan menjaga keseimbangan antara kedua-duanya akan membantu membentuk karakter dan perilaku yang sesuai dengan ajaran agama. 

Secara ringkasnya, dengan khauf dan raja’, seorang Muslim itu akan sentiasa ingat bahawa dia akan kembali kepada Penciptanya sambil bersemangat untuk melakukan amalan dan pahala. 

Natijahnya, setiap Muslim seharusnya memiliki sifat khauf dan raja’. Ibadah kita tidak akan dapat mencapai kesempurnaan tanpa kedua-duanya. Sikap ini penting kerana kita tahu bila perlu berada dalam keadaan khauf dan bila perlu berada dalam keadaan raja’

Sesungguhnya kesetaraan antara sikap khauf dan raja’ adalah yang paling utama.  Bagi orang yang mempunyai hawa nafsu yang kuat dan cenderung kepada kemaksiatan, khauf mesti ditekankan sehingga dia kembali ke jalan yang lurus.

Tapi bagi orang yang akan meninggal dunia, sikap raja’ harus lebih diutamakan agar tidak berburuk sangka kepada Allah SWT. Manakala bagi orang yang sihat, dia seharusnya beristiqamah di jalan agama Allah SWT. 

Kenapa perlu ada sifat khauf dan raja’? 

Bagi seorang Muslim, kedua-dua perasaan ini wujud secara mutlak kerana ia akan membawa kepada keadaan kerohanian yang mendukung sifat-sifat sebagai seorang yang beragama Islam.

Jadi, atas sebab apakah kita dikehendaki menunjukkan sifat khauf? Tujuannya adalah untuk melindungi diri lebih-lebih lagi daripada terjerumus ke dalam kemaksiatan dan dosa.

Nafsu, sebagai contoh, tidak akan pernah berhenti untuk menjerat kita ke dalam perangkap dosa. Oleh itu, kita perlu mengubah nafsu kita menjadi satu ketakutan.

Dengan sifat raja’, kita pula akan sentiasa bersemangat dalam ketaatan kepada Allah SWT kerana berbuat baik itu susah dan syaitan sentiasa menghalangnya. 

Sebab itu walaupun sukar, hasil ketaatan adalah luar biasa kerana ia penuh dengan rahmat dan gamitan syurga Allah SWT. 

Fearzatul Zuliana Abdul Razak
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia YADIM 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia