Sewajarnya tiada siapa yang patut berdiam diri berikutan situasi yang tidak sepatutnya melanda masyarakat kini.
Aksi-aksi tidak senonoh oleh sesetengah selebriti yang tular sedikit sebanyak merosakkan minda masyarakat, apatah lagi jika semua itu dilihat atau ditonton oleh anak-anak kecil.
Virus yang merosakkan pemikiran dan budaya bangsa kian rancak disebarkan tanpa mempedulikan batasan-batasannya dari segi penyampaian atau perkongsian yang keterlaluan, lucah, tiada nilai moral hingga mencetuskan salah faham yang melampau di kalangan masyarakat turut berlaku.
Platform media sosial pula disalah guna untuk menyebarkan anasir yang bercanggah dengan tuntutan agama. Tidak terkecuali, demi meraih populariti, ‘bad marketing’ (pemasaran murahan) untuk menagih perhatian pembeli semakin ketara terjadi.
Satu-satu isu terpampang menjadi tajuk utama di muka akhbar mahupun di media-media dalam talian. Sejauh mana kepedulian kita terhadap ‘fenomena’ yang berleluasa ini?
Walau apa pun, seharusnya kita terjentik hati dengan wabak yang menular kini. Apa tidaknya, situasi ini tentunya akan merosakkan diri, keluarga serta generasi yang bakal meneraju kepimpinan negara ini.
Impak Media Sosial
Sebagaimana statistik dan trend media sosial yang melaporkan gambaran keseluruhan global 2021 digital, terdapat kira-kira 4.2 bilion pengguna media sosial aktif di seluruh dunia.
Data terkini menunjukkan bahawa hampir 53.6 peratus populasi global menggunakan sekurang-kurangnya satu platform media sosial.
Sementara itu, dilaporkan hampir sebahagian daripada populasi dunia menggunakan media sosial dan rata-rata pengguna memperuntukkan waktu lebih daripada dua jam setiap hari di platform tersebut.
Tentunya medium media sosial mengubah kehidupan dan cara berinteraksi dengan rakan, keluarga, komuniti, serta pelbagai urusan bagi seseorang itu.
Media sosial menjadi sesuatu yang bermanfaat jika digunakan dengan sebaiknya, tetapi menjadi sesuatu yang mudarat dan mendatangkan keburukan yang besar jika tidak segera ditangani.
Barangkali ada yang berpandangan, “Abai atau pedulikan saja semua itu, kita buat saja kerja kita.” Namun, ia bukanlah semudah yang dikata, bagai melepaskan batuk di tangga.
Mengulas lanjut isu ini, Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Islam Malaysia (ILMAN), Dr Hamidah Mat berkata, dalam alam nilai dan budi yang makin dikesampingkan hari ini, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab juga untuk memastikan nilai-nilai yang baik sentiasa mendominasi media fizikal, apatah lagi medium sosial tanpa sempadan.
“Makanya, mereka yang betul-betul bertanggungjawab akan memastikan apa yang dibuat, apa yang dihidangkan dalam masyarakat terutamanya dalam media sosial mempunyai nilai yang baik.”
Menurutnya lagi, paling tidak, ia bukan bersifat sia-sia, jauh sekali daripada perkara yang menyalahi adab, adat mahupun susila.
“Pokoknya, semua orang perlu menjadi warga yang bertanggungjawab, apatah lagi bagi mereka yang berpengaruh dan terkenal. Jangan kerana mengejar ‘viral’, maruah sendiri dan nilai budi tergadai,” tegasnya yang juga Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan OUM.
Justeru, walaupun sesuatu konsep itu adalah untuk meraih keuntungan perniagaan mahupun kandungan (content) untuk mendapatkan like dan tular, ia perlulah dipantau dan ditapis.
Semakin Membarah
Pelbagai anasir disebarkan melalui media sosial ini. Apa yang pasti, sesuatu yang buruk dan kian membarah itu perlu dibendung serta diatasi dengan segera.
Jika tidak, ia akan memberikan naratif yang buruk, bukan sahaja kepada seseorang itu tetapi kepada bangsa, agama dan negaranya.
Sebagaimana penulisan saya pada bulan lalu, ‘Wanita Hina Islam Biadab, Banteras Juga ‘Pelawak’ Di Masjid’ yang banyak dikongsikan berikutan tajuknya yang menyerlah.
Dari situ, terlihat sebahagian mereka yang tidak bersetuju kerana tidak memahami isu yang ingin difokuskan atau barangkali sekadar membaca tajuk, tetapi tidak melihat kepada realitinya.
Sebagaimana memetik kata-kata Pengerusi ILMAN, Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib, sebagai Muslim yang beriman, pasti mereka mempunyai sifat ‘cemburu’ (ghirah) terhadap agamanya.
“Ciri-ciri seorang Islam itu, ia tidak buat sesuatu perkara yang merapu dan tidak berfaedah kerana orang Islam adalah orang yang paling produktif.”
Sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Di antara kesempurnaan keislaman seseorang itu, ia meninggalkan sesuatu yang tidak bermakna baginya.” (HR Tirmidzi, No. 2318, Hasan)
“Media sosial boleh jadi sebab seseorang itu masuk syurga dan juga boleh jadi punca masuk neraka,” ujarnya menasihatkan.
Seharusnya kepedulian yang tinggi, kita sebagai masyarakat dan umat Islam perlulah ditampakkan, bukan hanya kepada isu-isu tertentu saja. Hakikatnya, kebanyakan isu yang terjadi pada hari ini adalah bibit-bibit kepada satu masalah yang telah lama berakar umbi.
Hakikatnya, pihak yang sepatutnya tidak melaksanakan peranannya adalah antara faktor simptom-simptom ini menjadi terus berleluasa dan seakan menjadi isu atau perkara biasa bagi segelintir mereka yang tidak merasakan apa-apa.
Isu-isu yang memberi impak negatif kepada rakyat dan negara perlulah ditangani segera, antaranya berkaitan mempersendakan agama atau memperkatakan dan melakukan tindakan lucah perlulah diambil tindakan tegas.
Cetus Ketidakharmonian
Sejak kebelakangan ini, terdapat individu dilihat cuba membuat provokasi di media sosial dengan membuat kandungan yang mencalar mahupun mengguris hati masyarakat dengan mempersendakan agama.
Memetik kata Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, trend menggunakan agama sebagai bahan jenaka ini sebenarnya telah menjadi kebiasaan di negara Barat melalui filem-filem, rancangan televisyen, nyanyian dan juga pentas komedi.
“Trend ini kami dapati antara kesan dan pengaruh sekularisme yang menjadikan agama bukan lagi dianggap sebagai sesuatu yang suci.”
Beliau berkata, agama juga bebas untuk dikritik dan dipersoalkan oleh sesiapa sahaja atas dasar kebebasan bersuara (freedom of speech) dan berekspresi (freedom of expression).
Realitinya, fenomena sebegini mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat yang semakin membarah. Ia perlu didepani dengan bijak dan segera. Bukan masanya lagi kita semua berdiam diri dengan isu masyarakat yang melampau dan keterlaluan ini.
Tindakan Tegas
Di mana isu-isu itu bermula dan punca masalah itu sewajarnya dikenal pasti. Tentunya segala masalah itu bukanlah sesuatu yang baharu hingga rancak menular sejak kebelakangan ini dengan cara yang lebih berani dan jahat.
Oleh yang demikian, pelbagai dimensi perlu dilihat, termasuklah ideologi kecenderungan memahami sesuatu isu, mengapa dan kenapa mereka berani mencetuskan kandungan yang tidak senonoh untuk dihidangkan kepada masyarakat?
Apa yang pasti, pihak kerajaan Keluarga Malaysia perlulah bertindak proaktif dan tegas mengenakan tindakan, tanpa berpihak kepada siapa yang melakukan serta tidak kira apa pun kedudukan mereka tanpa kompromi terhadap isu yang berleluasa kini.
Kita hidup di sebuah negara yang agama Islam disanjung dan agama lain juga tidak boleh diperlecehkan, sebagaimana firman Allah dalam Surah al-An’aam ayat 108 bermaksud:
“Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”
Maka, sudah tiba masanya situasi seperti yang terjadi ini dikenakan tindakan yang tegas agar tiada lagi golongan yang berani melakukan perkara yang sama semata-mata meraih populariti atau agenda tertentu, tidak terkecuali kepada sesiapa pun.
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia