Siapa Manusia Celaka? Elak Jadi 15 Golongan Ini

Siapa Manusia Celaka? Elak Jadi 15 Golongan Ini | IKRAM

Sejarah umat manusia terdahulu menyaksikan kepada kita betapa ramai dalam kalangan mereka yang dicelakakan oleh Allah SWT disebabkan oleh pelbagai bentuk pengingkaran yang mereka lakukan.

Bermula sejak Nabi Adam a.s. sehinggalah ke zaman baginda Rasulullah SAW, terdapat banyak kisah dan cerita yang sebahagiannya Allah rakamkan nama mereka dalam al-Quran.

Ini sekali gus menjadi pengajaran kepada kita agar tidak mengikuti jejak langkah golongan yang telah dicelakakan oleh Allah. Dalam al-Quran Surah az-Zumar ayat 7, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Kalaulah kamu kufur ingkar (tidak bersyukur) akan nikmat-nikmat-Nya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk kesempurnaan-Nya) dan Dia tidak redakan hamba-hamba-Nya berkeadaan kufur dan jika kamu bersyukur, Dia meredainya menjadi sifat dan amalan kamu.”

“Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Dia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.”

Sesungguhnya setiap keingkaran yang kita lakukan terhadap Allah, tidak sedikit pun mengurangi sifat kesempurnaan yang hanya dimiliki oleh-Nya. Malah, Allah SWT tidak sedikit pun rugi dan langsung tidak bergantung kepada kepatuhan para hamba-Nya. 

Oleh yang demikian, kecelakaan yang paling besar adalah apabila Allah tidak meredai perbuatan dan amal kita. Inilah yang sebesar-besar celaka.

Kerana itu juga, adalah sangat penting dan mustahak bagi kita mengenali siapakah 15 golongan yang mendapat kecelakaan supaya kita tidak termasuk dalam kalangan mereka yang dicelakakan. 

4 Golongan Dihalang di Telaga Nabi

Antara golongan yang dicelakakan adalah mereka yang murtad keluar daripada Islam, ahli bid’ah, golongan penguasa yang berlaku zalim dan mereka yang berbuat maksiat secara terang-terangan.

Hal ini sepertimana dalam sebuah hadis Nabi SAW riwayat Bukhari (No. 6583-84) dan Muslim (2290-91), daripada Sahl bin Sa’ad as-Sa’idi, sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku menunggu kamu di telaga, sesiapa yang menemuiku akan meminum air telaga tersebut, dan siapa yang meminumnya tidak akan pernah haus selamanya. Ada beberapa kaum yang mendatangiku, aku mengetahui mereka dan mereka mengetahuiku, kemudian mereka dihalangi untuk sampai kepadaku, maka aku berkata: Mereka adalah termasuk golonganku. Maka dikatakan: Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang mereka perbuat sepeninggalanmu. Maka aku berkata: Celaka, celaka bagi siapa yang berubah (agama) setelahku.”

Menurut Imam al-Qurtubi dalam kitabnya at-Tazkirah, beliau memberi kesimpulan akan pentafsiran berkenaan orang-orang yang akan terusir daripada telaga Rasulullah SAW ini terdiri daripada empat golongan.

Pertama, mereka yang murtad, keluar daripada Islam. Kedua, mereka yang merupakan ahli bid’ah, yang menambah dalam agama tanpa petunjuk daripada Nabi SAW seperti Syiah, Khawarij, Jabariah dan lain-lain. 

Golongan ketiga, mereka yang berlaku zalim terutamanya ketika mereka memiliki kekuasaan dan mereka yang membantu atau menyokong orang-orang yang zalim. 

Keempat adalah mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan tanpa rasa malu, malah bangga pula dengan dosanya.

3 Golongan Diaminkan Jibril

Selain itu, dalam hadis yang lain, baginda Nabi SAW telah mengaminkan doa Jibril AS akan kecelakaan kepada tiga golongan. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari (Adab al-Mufrad, No. 646), daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud:

Nabi SAW menaiki mimbar seraya mengucapkan: “Aamin, Aamin, Aamin.” Beliau ditanya: “Wahai Rasulullah, mengapa engkau mengatakan demikian?” Beliau bersabda: “Jibril berkata kepadaku, Celaka seorang hamba yang mendapati kedua-dua orang tuanya atau salah seorang daripada kedua-duanya masih hidup, namun tidak memasukkannya ke dalam syurga.” Aku pun mengatakan: “Aamin.” 

Kemudian, Jibril berkata lagi: “Celaka seorang hamba yang masuk bulan Ramadan, tetapi (keluar dari bulan Ramadan) dalam keadaan tidak diampuni dosanya (kerana tidak memanfaatkan Ramadan untuk beramal soleh).” Aku pun mengatakan: “Aamin.” Kemudian, Jibril berkata: “Celaka seseorang yang jika disebut namamu (Nabi Muhammad), namun dia tidak berselawat untukmu.” Aku pun mengatakan: “Aamin.”

Berdasarkan hadis ini, tiga golongan yang didoakan akan kecelakaan oleh Jibril AS lalu diaminkan doa tersebut oleh baginda Nabi SAW. 

Tiga golongan tersebut adalah pertama, mereka yang mempunyai kedua ibu bapa yang masih hidup namun tidak berbakti kepadanya.

Kedua, mereka yang berpeluang memasuki bulan Ramadan tetapi apabila keluar daripadanya, dosanya tidak diampunkan.

Ketiga, mereka yang mendengar nama Nabi disebut, tetapi tidak berselawat ke atas Nabi. Demikian tiga golongan yang akan mendapat kecelakaan.

Ini bukanlah sesuatu yang harus dipandang mudah, kerana doa yang diungkapkan itu diucapkan oleh makhluk yang sentiasa meningkat imannya, taat dan patuh sentiasa pada-Nya. Kemudian pula, doa ini diaminkan oleh insan teragung iaitu baginda Nabi SAW.

8 Golongan Disebut al-Quran

Selain itu, dalam al-Quran pula, terdapat lapan golongan yang dicelakakan oleh Allah SWT. Antaranya dalam Surah al-Buruj ayat 4-8, Allah SWT mencelakakan golongan yang marah dan menyeksa orang beriman kepada Allah.

Dalam surah al-Humazah, Allah mencelakakan golongan pencaci, pengumpat dan pengeji. Allah juga mencelakakan golongan yang berbohong, sombong dan suka mengejek ayat-ayat Allah, sepertimana yang terkandung dalam Surah al-Jatsiyah ayat 7-9. 

Selain itu, dalam Surah Muhammad ayat 8-9, Allah SWT mencelakakan golongan kafir yang tidak suka pada hukum Allah walaupun mereka ada berbuat amal.

Dalam Surah al-Mutaffifin ayat pertama, Allah mencelakakan golongan yang curang dan tidak jujur dalam timbangan dan sukatan.

Begitu juga Allah mencelakakan golongan yang mempersekutukan Allah dengan yang lain. Ini sepertimana yang terdapat dalam Surah Fussilat ayat 6.

Demikian pula dalam Surah az-Zumar ayat 22, Allah mencelakakan golongan yang keras membatu hatinya daripada peringatan.

Dan dalam Surah al-Maa’un ayat 4-7, Allah mencelakakan mereka yang solat tetapi lalai daripada solatnya, riak dan tidak memberi pertolongan kepada orang yang berhak.

Inilah golongan-golongan yang akan mendapat kecelakaan daripada Allah SWT atas amal perbuatan buruk yang mereka lakukan. Sesungguhnya setiap kecelakaan ini menjadi amaran dan kewaspadaan kita bersama.

Semoga kita semua dijauhi daripada golongan yang akan mendapat kecelakaan daripada Allah SWT. Semoga Allah merahmati kita semua.

Muhammad Faidhi Azis
Pendakwah bebas

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia