Shahrul Aman: Kehilangan Besar Pemergian Seorang Pejuang

Shahrul Aman: Kehilangan Besar Pemergian Seorang Pejuang | IKRAM

SERDANG – Jenazah Allahyarham Haji Shahrul Aman Mohd Saari, Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Serdang, bersebelahan Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Isnin petang lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi Isnin, 28 April bersamaan 29 Syawal 1446 H, kira-kira jam 4.52 pagi di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya, selepas beberapa bulan bertarung melawan penyakit kanser.

Pemergian beliau pada usia 50 tahun merupakan satu kehilangan besar, khususnya dalam lapangan dakwah dan perjuangan keadilan sosial.

Solat jenazah telah diimamkan oleh Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria di Masjid UPM selepas solat Zuhur dan seterusnya jenazah dikebumikan di tanah perkuburan bersebelahan masjid tersebut.

Ratusan hadirin membanjiri ruang solat, melimpah hingga ke luar pekarangan masjid sebagai tanda kasih dan penghormatan terakhir buat insan yang begitu banyak menabur jasa dalam medan dakwah, kebajikan dan perjuangan hak rakyat.

Allahyarham dikenali sebagai seorang aktivis yang tenang, berprinsip dan berwibawa, yang telah memainkan peranan penting dalam mencorak landskap dakwah negara, memperjuangkan isu Palestin di peringkat nasional dan antarabangsa, serta mendukung agenda reformasi pilihan raya dan keadilan sosial di Malaysia.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pemangku Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dari Mac hingga Oktober 2018.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Upacara pengebumian turut disertai oleh beberapa tokoh penting negara dan pemimpin masyarakat. Antaranya ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Senator Fuziah Salleh; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr Zulkifli Hassan; Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr. Luqman Abdullah; Ahli Parlimen Ledang, YB Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Bangi, YB Syahredzan Johan dan Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, YB Abbas Azmi.

Hadir bersama Yang Dipertua YADIM, Ustaz Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Dato’ Hussamuddin Yaacub; Pengerusi MyCARE, Dato’ Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha; termasuk mantan pimpinan BERSIH, Dato’ Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin Abdullah; serta aktivis politik merangkap mantan Ahli Parlimen, Tian Chua.

Turut hadir ramai kenalan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk daripada gerakan masyarakat sivil, institusi pengajian tinggi, pertubuhan Islam, wakil agensi kemanusiaan, malah sebahagian sahabat antarabangsa turut menyampaikan ucapan takziah dan penghormatan melalui platform maya.

Kehadiran mereka menggambarkan penghormatan merentas latar belakang politik, agama dan budaya terhadap keperibadian dan sumbangan Allahyarham. Shahrul Aman dikenang sebagai seorang yang tenang, berprinsip dan sentiasa konsisten memperjuangkan hak rakyat, kebebasan dan integriti dalam sistem demokrasi.

Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin dalam ucapannya, menyatakan bahawa pemergian Allahyarham bukan sekadar kehilangan seorang rakan sekerja, tetapi kehilangan seorang sahabat sejati dan insan yang telah menginfakkan seluruh masa, tenaga dan ilmunya demi agama, bangsa dan negara.

“Kami menjadi saksi bahawa Allahyarham telah menyerahkan sepenuh jiwa raganya kepada Allah Subhanahuwataala. Beliau hidup dalam kesedaran penuh bahawa hidup ini adalah amanah dan beliau telah menunaikan amanah itu dengan penuh keikhlasan dan pengorbanan.”

Presiden IKRAM turut menyatakan bahawa beliau bertemu Allahyarham hampir setiap hari di pejabat dan menyifatkan Allahyarham sebagai insan yang menjalankan tugasnya sebagai Setiausaha kepada Presiden dengan penuh rasa tanggungjawab, profesionalisme dan dedikasi.

“Apabila kita tugaskan apa sahaja kepadanya, beliau laksanakan tanpa banyak bicara dengan penuh komitmen dan profesional.. Beliau bukan sahaja bekerja bersama kita, tetapi mendidik, membimbing dan memimpin dengan akhlaknya yang mulia.”

Di peringkat IKRAM, Allahyarham adalah antara nadi utama dalam merangka pelan strategik, memperkukuh organisasi serta menjalin hubungan rentas pertubuhan dan agama. Ramai menyifatkan beliau sebagai “pemimpin diam” iaitu tidak suka menonjol, tetapi tegas dalam prinsip dan bersungguh dalam kerja-kerja akar umbi.

Beliau meninggalkan seorang balu dan lima orang anak yang menjadi waris kepada semangat perjuangan dan nilai yang ditinggalkannya. Sesungguhnya, pemergian Allahyarham Haji Shahrul Aman merupakan satu kehilangan besar buat negara dan masyarakat sivil.

Namun, legasi beliau akan terus hidup dalam hati para pencinta keadilan dan semangat juangnya menjadi obor penerang buat generasi akan datang.

“Ya Allah, ampunilah dosanya, lapangkan kuburnya, muliakan tempat kembalinya dan himpunkan dia bersama para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.”

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia