Setahun Konflik Gaza: Hilangkah Nilai Kemanusiaan?

Dunia memerlukan keamanan, kesaksamaan, kemanusiaan dan kebebasan bersuara. Ungkapan yang sering didengar, namun berapa ramai yang benar-benar mendengar, apatah lagi mengambil tindakan yang konkrit untuk menegakkannya? Realiti di Gaza menunjukkan jurang yang semakin melebar antara aspirasi dan kenyataan.

Setahun selepas serangan 7 Oktober 2023, konflik Gaza bukan sekadar krisis wilayah menuju titik penyelesaian tetapi perkembangan semasa mengisyaratkan risiko peperangan yang lebih besar. Rejim Israel dibenarkan untuk bertindak sesuka hati, mencerminkan kemunduran nilai-nilai kemanusiaan yang semakin tenat.

Setahun yang lalu, dunia masih dipenuhi harapan untuk penyelesaian diplomatik, dengan banyak pihak berusaha mencari jalan keluar bagi konflik yang berlarutan di Gaza. Namun, hari ini keadaan telah berubah menjadi lebih buruk daripada yang pernah dibayangkan.

Terkini, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa lebih 40,000 nyawa terkorban, majoritinya wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Rundingan gencatan senjata yang diharapkan dapat memberikan sedikit sinar harapan, terus gagal berulang kali.

Walaupun pelbagai usaha diplomasi dilakukan, namun tiada satu pun yang berjaya menghentikan keganasan yang semakin melarat ekoran keangkuhan rejim Zionis dan sekutunya yang tidak menunjukkan keikhlasan bagi menghentikan kekerasan.

Serangan ke atas infrastruktur awam terus berleluasa. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, hanya 10 daripada 36 hospital utama yang masih boleh beroperasi tetapi perkhidmatan yang mampu ditawarkan sangat terhad. Situasi ini telah menyebabkan krisis kesihatan yang kritikal dengan kapasiti rawatan yang menurun drastik sementara keperluan terus meningkat.

Israel secara jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dengan serangan luar batas kemanusiaan.

Rejim ini turut mengenakan hukuman ke atas keseluruhan penduduk awam Gaza dengan menghalang akses kepada keperluan asas untuk hidup. Kebuluran di Gaza didokumentasikan oleh Human Rights Watch sebagai senjata perang yang telah menyumbang dalam genosid ini.

Israel juga tidak mahu dunia tahu kebenaran ini apabila sedaya upaya menyekat kebebasan bersuara dalam konflik ini. Reporters Without Borders melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 105 wartawan telah terbunuh di Gaza sejak Oktober 2023, menjadikannya konflik paling maut bagi para wartawan dalam sejarah moden.

Walaupun media sosial menyediakan platform untuk perkongsian maklumat, kebebasan bersuara semakin terancam dalam konflik Gaza.

Suara pro-Palestin sering dikekang atau dilabel negatif, dengan akaun-akaun disekat atau dipadam. Penyelewengan maklumat dan propaganda pula berleluasa, menjadikan kebenaran sukar dibezakan daripada fitnah.

Kegagalan PBB dalam menghentikan konflik Gaza telah menjejaskan kredibiliti badan-badan antarabangsa. Krisis kepercayaan terhadap institusi antarabangsa semakin ketara.

Walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan perintah langkah sementara pada 26 Januari 2024 mengarahkan Israel untuk mengambil langkah segera bagi mencegah tindakan genosid di Gaza, namun Israel tidak mempedulikannya.

Sebaliknya, Israel semakin berani mengambil tindakan ketenteraan yang lebih agresif tanpa dunia dapat menghukum kejahatannya. Setelah setahun dibiarkan bermaharajalela, kini rejim ini meluaskan serangan di Lubnan lantas menaikkan ketegangan di Asia Barat.

Usaha diplomatik dan perundangan yang gagal menangani kezaliman menyebabkan ramai mula mempertikaikan keberkesanan undang-undang antarabangsa dalam melindungi hak asasi manusia dan menghentikan keganasan. Rakyat Palestin bukan sahaja berhadapan dengan ancaman keganasan, tetapi juga ketidakpastian hidup setiap hari.

Tindakan ini benar-benar menampakkan kelemahan sistem keadilan global dalam mengekang negara-negara yang melanggar undang-undang antarabangsa, terutama apabila kuasa besar dilihat melindungi mereka daripada sebarang tindakan tegas. Konflik Gaza telah menunjukkan bahawa dunia semakin jauh daripada nilai-nilai kemanusiaan yang kita idamkan.

Serangan-serangan ini bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi juga menghancurkan asas-asas nilai kemanusiaan yang selama ini dipertahankan oleh masyarakat dunia.

Dunia menyaksikan kemerosotan nilai kemanusiaan dalam bentuk yang paling menyayat hati. Apa yang semakin jelas, konflik ini bukan sekadar pertarungan fizikal di lapangan, tetapi juga pertempuran moral dan kemanusiaan yang menuntut masyarakat antarabangsa kembali menghidupkan prinsip-prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Setahun konflik Gaza telah membuka mata kita kepada kemerosotan nilai kemanusiaan di peringkat global. Walaupun keadaan hari ini lebih kelam, ia tidak bermakna kita harus menyerah.

Masih ada peluang untuk kita memilih jalan kemanusiaan dengan menyokong usaha keamanan yang inklusif, mempertahankan hak asasi setiap manusia dan menolak ekstremisme dalam semua bentuk.

Walaupun cabaran semakin besar, masih ada ruang untuk perubahan melalui penglibatan masyarakat sivil yang semakin aktif, kesedaran global yang meningkat serta gerakan bantuan kemanusiaan yang dimulakan daripada peringkat akar umbi. Tekanan untuk penyelesaian diplomatik juga harus terus dipertingkatkan dan diteruskan.

Dalam masa yang sama, nilai kemanusiaan perlu dipulihkan melalui dialog antara agama dan budaya serta mendidik generasi muda tentang pentingnya keamanan.

Biar dunia ini dikenang bukan kerana kita membisu ketika Gaza berdarah, tetapi kerana kita bangkit bersama mempertahankan kemanusiaan.

Kita mungkin tidak dapat menghalang kekejaman ini, tetapi kita boleh memastikan setiap air mata yang mengalir di Gaza tidak sia-sia dengan menjadi saksi yang bersuara dan bertindak menghentikannya.

Barangkali esok anak-anak kita akan bertanya, “Semasa kemanusiaan sedang dibunuh di Gaza, apa yang anda lakukan?” Jawapan kita akan menentukan nilai kemanusiaan kita sendiri.

Teruskan berjuang, teruskan bersuara dan jangan lelah bertindak kerana dalam kesunyian kita, terbunuh juga kemanusiaan kita. Cahaya kemanusiaan masih boleh menembusi kegelapan jika kita bersama-sama memilih untuk menyalakannya.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia