Dunia pendidikan sudah berkembang dengan begitu pesat dan mengalami perubahan mendadak seiring perubahan zaman dan teknologi.
Universiti-universiti, kolej-kolej, dan sekolah-sekolah dengan tujuan yang pelbagai didirikan begitu banyak ibaratnya cendawan yang tumbuh selepas turunnya hujan.
Walaupun begitu, ada suatu bidang yang bersifat langka dan jarang dibicarakan, namun sangat rapat dengan dunia pendidikan dan ilmu epistemologi iaitu bidang pemetaan ilmu, tambah-tambah lagi pemetaan ilmu Islam.
Berbagai-bagai pemaknaan diberikan oleh para sarjana mengenai makna pemetaan ilmu itu sendiri. Meskipun dapatan daripada kajian ilmiah-kajian ilmiah tersebut adalah pelbagai, namun pemaknaan terhadap pemetaan ilmu dalam makalah pendek ini adalah mengenai hubungan antara bidang-bidang ilmu pengetahuan yang wajar dipelajari untuk menjadi seorang manusia paripurna, atau terjemahan langsung daripada ungkapan holistic person.
“Mengapa aku belajar subjek ini?”, “Penting ke ilmu sejarah, bahasa ni? Aku malas baca lah!”, “Kalau aku nak belajar tentang A atau B, daripada mana aku perlu mulakan?” merupakan persoalan-persoalan dasar yang cuba untuk dirungkaikan dalam bidang pemetaan ilmu.
Bahkan, agak radikal untuk dikatakan bahawa tidak semua pendidik yang memahami bidang ini. Pihak pengurusan di universiti pula hanya memikirkan kaedah-kaedah untuk memuaskan tembolok industri, lalu mahasiswa bukan lagi diajar dan dididik untuk menjadi manusia, tetapi untuk menjadi alat yang memajukan ekonomi semata-mata.
Buku Seni Berfikir yang Hilang karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil merupakan suatu buku yang boleh dijadikan sebagai perintis kepada penerokaan bidang ini kepada orang awam.
Tambahan pula, buku tersebut adalah terjemahan dan ulasan terhadap karya Syeikh Yusuf al-Qaradawi, seorang ulama kontemporari yang tidak perlu lagi diperkenalkan kepada dunia.
Sungguhpun ramai yang membaca dan menulis resensi terhadap buku ini, namun tidak ramai yang menyentuh mengenai aspek ini, dan bidang tujahan itulah yang cuba untuk diulas dalam karangan ini.
Sebelum kita pergi lebih jauh dalam ulasan ringkas mengenai karya Seni Berfikir yang Hilang dan perkaitannya dengan pemetaan ilmu, adalah wajar untuk diulas secara tuntas mengenai tujuan pendidikan daripada perspektif Islam.
Menurut ahli falsafah Islam, al-Farabi dalam magnum opusnya iaitu al-Madinah al-Fadilah, tujuan pendidikan dalam Islam adalah untuk melahirkan manusia yang sempurna, atau digelar sebagai al-insan al-kamil.
Falsafah pendidikan ini sekali lagi ditekankan oleh ahli falsafah Islam kini iaitu Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karya agungnya misalnya Risalah untuk Kaum Muslimin, The Concept of Education in Islam, Islam and Secularism dan lain-lain.
Menurut Imam al-Ghazali dan para ulama tasawuf yang lain, figura utama sebagai suri teladan ulung yang telah mencapai maqam al-insan al-kamil tersebut ialah Nabi Muhammad SAW.
Oleh kerana baginda merupakan manusia yang paling rapat dan paling dicintai oleh Allah SWT, maka kayu ukur dalam upaya untuk menjadi seorang manusia sempurna diukur melalui kedekatan seseorang kepada Allah SWT.
Walhasil, inilah yang disebutkan sebagai ilmu yang bermanfaat, iaitu ilmu yang mampu mendekatkan seseorang kepada al-Khaliq (Maha Pencipta). Namun, muncul pula persoalan lain, iaitu apakah subjek-subjek yang perlu kita pelajari untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat seperti yang telah diunjurkan?
Aspek inilah yang telah disentuh dalam karya Seni Berfikir yang Hilang. Syeikh Yusuf al-Qaradawi telah membahagikan korpus ilmu pengetahuan yang perlu dikuasai oleh seseorang Muslim, apatah lagi seseorang Muslim yang ingin menjadi dai kepada ummah sejagat, menjadi enam tsaqafah (cabang ilmu) yang utama, iaitu ilmu agama, sejarah, bahasa dan kesusasteraan, kemanusiaan, sains dan ilmu mengenai isu-isu semasa.
Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi dan Ustaz Hasrizal, enam tsaqafah inilah yang mampu membentuk seseorang Muslim untuk menjadi seorang individu Muslim yang menguasai pelbagai lapangan ilmu dan berkebolehan untuk berfikir kritis, kreatif dan dinamis.
Seperti yang ditulis oleh penterjemah dan pengulasnya iaitu Ustaz Hasrizal, bahawa penguasaan terhadap ilmu-ilmu bukan sahaja membolehkan seseorang menguasai pelbagai lapangan ilmu, bahkan juga mampu membentuk suatu kerangka fikir yang berstruktur kepada umat Islam.
Apabila suatu cara berfikir yang baik telah terbentuk, keadaan ini akan menjuruskan kita kepada pembentukan prinsip dan nilai yang kukuh dalam menanggapi isu-isu dalam kehidupan kita melalui sudut pandang yang pelbagai dan juga mampu meramukan pengetahuan-pengetahuan yang dimiliki untuk mendapatkan solusi secara tuntas.
Kehidupan dalam keadaan yang serba moden menuntut kita untuk menjadi seorang manusia yang kritis, apatah lagi dalam menerima lambakan informasi dalam dunia yang mengalami arus globalisasi seiring dengan pendigitalan secara rancak.
Maka, suatu kerangka fikir yang mampu menapis antara maklumat yang benar dan palsu amat diperlukan oleh seseorang individu. Hal ini sejajar dengan pernyataan pemikir terkemuka lampau iaitu Socrates, dalam aksiomnya yang amat masyhur, “an unexamined life is not worth living.”
Kehadiran pemikiran-pemikiran Barat yang menjadi tunjang kepada suatu aliran falsafah baharu iaitu pascamodenisme memburukkan lagi keadaan yang sedia ada.
Penyusupan falsafah mereka sudah mendarah daging dalam pemikiran umat Islam, tambah-tambah lagi umat Islam di Malaysia lalu membentuk pandangan hidup bertunjangkan pemikiran relativisme dan subjektivisme dalam menanggapi sesuatu isu atau permasalahan.
Sebagai ulama yang amat peka akan permasalahan ummah, dapatlah disimpulkan bahawa penulisan Syeikh Yusuf al-Qaradawi melalui karya ini memberikan solusi epistemik kepada isu-isu yang disebutkan.
Sebagai seorang Muslim yang ingin meneguhkan ketauhidannya pada zaman yang penuh pancaroba, sukalah untuk saya mencadangkan kepada semua agar menelaah karya ini.
Walaupun bahasa yang digunakannya bersifat santai, namun mesej yang ingin disampaikan adalah sangat penting, jelas dan padat serta wajar untuk difahami sedalamnya.
Muhammad Shuib Rosli ialah mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (BPLB), Universiti Utara Malaysia (UUM).