Semut: Antara sains dan kebenaran wahyu

Perbincangan tidak menjurus ke arah menambah iman, ilmu serta amal. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan ada kalanya perbincangan yang membuang masa dan sia-sia.

 

Kenyataan tersebut boleh dilihat antara contohnya dalam membahaskan tentang semut pada ayat 18 Surah al-Naml:

 

“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke ‘Wadi al-Naml’ (lembah semut), berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.”

 

Agak lucu apabila nama semut tersebut menjadi objek perselisihan dalam kalangan pengkaji, terdapat tiga pandangan atau bahkan lebih nama-nama yang dipersilihkan.

 

Soalnya, adakah dengan mengetahui apakah sebenarnya nama semut yang menjadi hero penyelamat kepada kaum semutnya itu adalah suatu yang penting? Adakah sesiapa yang tidak mengetahui namanya dianggap lemah iman mereka serta tergolong dalam golongan yang jahil?

 

Perbincangan juga berlaku berkenaan di manakah sebenarnya terletak lembah semut yang dinyatakan oleh al-Quran tersebut? Ada yang mengatakan bahawa ianya terletak di Syam, ada pula yang berpandangan ianya di Yaman dan ada yang berpendapat ia berada di Taif. Apakah sumbangan ilmiah dengan penentuan kedudukan lembah semut tersebut?

 

Cerita semut hero ini makin bertambah ‘menarik’ apabila dibincangkan berkenaan bahasa semut tersebut. Adakah semut bercakap bahasa manusia (bahasa Nabi Sulaiman dan kaumnya) atau Nabi Sulaiman yang mampu memahami bahasa semut. Malah ada yang cenderung mengatakan semut tersebut bukanlah bercakap tetapi hanya menggunakan bahasa isyarat.

 

Sungguhpun perihal semut ini diulas secara panjang lebar, terdapat pula pandangan yang menyatakan bahawa cerita tersebut hanya sebagai metafora dan bukan berlaku secara hakiki. Oleh itu, kitab al-Quran dilihat tidak lebih sebagai sebuah buku cerita penglipur lara.

 

Dalam pada itu, tafsir-tafsir seperti Tafsir al-Quran al-Azim karya Imam Ibn Kathir, Tafsir Ruh al-Ma’ani karya Imam al-Alusi, Tafsir al-Kashsyaf karya Imam al-Zamakhsyari serta tafsir-tafsir yang lain telah membahaskan dengan terperinci dari sudut bahasa dalam penentuan jantina semut tersebut.

 

Penggunaan huruf [ ة ] pada perkataan [ نملة ] dan huruf [ ت ] pada perkataan [ قالت ] menjadi topik perbincangan sama ada ianya hanya merujuk kepada muannath (semut betina) atau ia juga merangkumi mudzakkar (semut jantan).

 

Kesimpulan daripada perbahasan secara panjang lebar tentang jantina semut menurut kaedah bahasa Arab, kedua-dua kebarangkalian sama ada jantan atau betina boleh terpakai pada lafaz namlah (semut).

 

Perkara ini berlaku kerana para ilmuan pada zaman tersebut belum terdedah terhadap alam semut dan serangga yang dikenali sebagai entomologi. Walau bagaimanapun, perkembangan ilmu sains akhirnya membuktikan bahawa jantina semut tersebut adalah betina.

 

Semut merupakan serangga sosial yang boleh membentuk koloni besar yang menghuni satu kawasan besar dan terdiri daripada jutaan ekor semut. Koloni semut ini diketuai oleh semut betina subur yang dipanggil ‘ratu’.

 

Namun begitu, sebahagian besar ahlinya merupakan semut betina tanpa sayap mandul yang membentuk kasta ‘pekerja’, ‘askar’ atau kumpulan khusus yang lain. Semut jantan subur yang dipanggil ‘dron’ pula hanya berperanan untuk proses persenyawaan dengan ratu semut.

 

Perbahasan panjang berkenaan penentuan jantina semut hero tersebut ternyata memberikan manfaat ilmiah serta mengukuhkan lagi bahawa al-Quran merupakan wahyu daripada Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

 

Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib
Ketua Hal Ehwal Syariah
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia