Program dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi PIBG Hj Khairudin Mustafa. Seterusnya Timbalan YDP IKRAM Kelantan, Hj Che Rahimi Samat yang mewakili YDP Ust Abdullah Fahmi yang tidak dapat hadir, dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran Ustaz untuk memberikan pengisian tentang peranan bapa yang menjadi semakin penting dalam zaman yang mencabar ini.
Memetik perkembangan di beberapa negara termasuk di Singapura beliau menyebutkan bagaimana gerakan kesedaran kebapaan telah mula muncul di negara tersebut ekoran kerapuhan institusi keluarga yang meruncing akibat dari bapa yang meninggalkan peranannya.
Sesi penyampaian Ustaz yang bertenaga dipenuhi dengan perkongsian dan tips bagaimana bapa boleh berperanan untuk membangun keluarganya. Antara saranannya yang mencuit hati adalah agar bapa membayangkan situasi jika mereka bertukar peranan dengan ibu untuk tempoh tertentu untuk merasai dan bersifat empati terhadap kesusahan pasangan masing-masing. Seorang peserta wanita yang ditemui beberapa hari selepas program menyatakan kesyukuran kerana program ini berjaya menyebabkan perubahan positif terhadap pasangannya.
Seminar ini adalah sebahagian program kekeluargaan anjuran JK Pembangunan Keluarga IKRAM Negeri Kelantan yang berlangsung pada 22 – 23 April 2011. Siri program ini dimulakan dengan ceramah umum yang disampaikan Ustaz di Masjid Mukim Tapang Kota Bharu pada malam 22 April 2011. Majlis ini diadakan dengan kerjasama Pengerusi JK Dakwah Negeri Ust Dr Shaarani Mohd Naim. Para jemaah memenuhi ruang solat wanita dan lelaki mendengar perkongsian Ustaz tentang peri pentingnya golongan bapa memainkan peranan dalam pembentukan keluarga masing-masing. Ini sebagai menghayati firman Allah dalam surah At Tahrim ayat 6 yang bermaksud “Peliharalah dirimu dan keluargamu dari neraka”.
Siri program malam itu diteruskan dengan sesi bersama ahli IKRAM Kelantan. Bertempat di Dewan Serbaguna SRI Aman di mana Ustaz menyampaikan tajuk “Jamaah antara yang tetap dan yang berubah” dan berjaya memberikan satu peringatan yang menyegarkan kepada ahli IKRAM untuk terus istiqamah mengamalkan perkara-perkara penting dalam pergerakan dakwah dan harakah ini.
Pada malam 23 April, Ustaz Alias berada di Masjid Putra SBJ Pasir Pekan untuk memberikan kuliah maghrib kepada penduduk setempat. Majlis yang diadakan dengan kerjasama Imam Masjid Ustaz Abd Rashid Abd Lateh, mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan para peserta dan ahli kariah masjid memenuhi masjid hingga ke luar ruang solat.
Sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada tengahari hari Ahad 24 April, Ustaz Alias sempat memberikan pengisian kepada pelajar-pelajar SMI Aman. Pertubuhan IKRAM Kelantan merakamkan setinggi penghargaan kepada Ustaz Alias Osman untuk mengisi program kekeluargaan anjuran JK Pembangunan Keluarga IKRAM Kelantan.