Bulan Kebangsaan merupakan tempoh istimewa dalam kalendar negara Malaysia yang diraikan setiap tahun bermula 1 Ogos hingga 16 September. Tempoh ini merangkumi Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September), iaitu dua tarikh penting dalam sejarah pembentukan negara.
Bulan ini bukan sahaja memperingati detik kemerdekaan, malah menjadi medan menyemai dan menyuburkan semangat patriotisme, perpaduan dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat.
Hari Kebangsaan memperingati pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1957. Hari Malaysia pula menandakan penyertaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963.
Sejak 2010, sambutan Bulan Kemerdekaan telah diperluas menjadi “Bulan Kebangsaan” untuk memberi ruang kepada rakyat menyambut dan menghayati nilai kemerdekaan dan pembinaan negara secara lebih menyeluruh.
Matlamat Sambutan Bulan Kebangsaan adalah bagi menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat, meningkatkan kesedaran sejarah perjuangan kemerdekaan, mengukuhkan perpaduan nasional dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, menggalakkan penglibatan rakyat dalam aktiviti kenegaraan dan membangkitkan rasa bangga dan setia kepada negara.
Setiap tahun, rakyat Malaysia menyambut Bulan Kebangsaan dengan penuh meriah di setiap pelosok negara dengan pelbagai program dan kempen di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan sekolah.
Acara kemuncak sambutan adalah perarakan Hari Kebangsaan yang biasanya diadakan pada 31 Ogos melibatkan tentera, polis, pelajar, agensi kerajaan dan swasta.
Kempen “Kibarkan Jalur Gemilang” digalakkan di rumah, bangunan kerajaan, syarikat dan kenderaan. Alunan lagu patriotik juga berkumandang dan dialunkan di merata tempat seperti gedung-gedung membeli belah, sekolah dan rumah.
Sambutan ini sangat penting kerana ia dapat memperkuat semangat nasionalisme dalam kalangan generasi muda, menyedarkan rakyat tentang harga kemerdekaan yang dicapai dengan pengorbanan, menjadikan rakyat lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan setia kepada negara serta mewujudkan kesedaran sivik dan jati diri kebangsaan.
Namun begitu, satu persoalan yang penting untuk difikirkan ialah “Adakah semangat patriotisme dan perpaduan ini berakhir sebaik sahaja Sambutan Bulan Kebangsaan tamat?”
Jawapannya ialah semestinya tidak. Semangat ini tidak seharusnya bersifat bermusim atau sementara, tetapi perlu diteruskan dan diamalkan sepanjang masa sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sebagai warganegara. Hal ini demikian kerana cinta akan negara bukan hanya dalam perarakan dan lagu patriotik, tetapi dalam perbuatan kita setiap hari.
Patriotisme dan perpaduan: Nadi kekuatan negara
Patriotisme bermaksud semangat cinta, taat setia dan kesanggupan berkorban demi tanah air. Ia adalah nilai yang penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, bertanggungjawab dan berjiwa kental demi mempertahankan kedaulatan serta kemajuan negara.
Rakyat yang mempunyai semangat patriotik akan sentiasa bersatu, bertanggungjawab dan berusaha untuk mengekalkan keamanan serta membina masa depan negara yang lebih cemerlang.
Oleh itu, semangat ini perlu dipupuk sejak kecil dan diamalkan sepanjang hayat. Negara kita tanggungjawab kita, maka patriotisme bukan pilihan tetapi adalah satu kewajipan bagi semua warganegara Malaysia.
Begitu juga halnya dengan perpaduan. Perpaduan adalah kunci utama kestabilan dan keharmonian Malaysia sebagai negara majmuk. Tanpa perpaduan, negara mudah terdedah kepada perpecahan dan konflik.
Malaysia ialah sebuah negara unik yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya. Kepelbagaian ini menjadi ciri istimewa negara kita.
Namun pada masa yang sama, ia memerlukan usaha yang berterusan untuk mengekalkan perpaduan. Perpaduan nasional merupakan aset paling penting dalam memastikan kestabilan politik, keharmonian sosial dan kemajuan ekonomi Malaysia.
Perpaduan bermaksud kesatuan hati, fikiran dan tindakan dalam kalangan rakyat, walaupun mereka berbeza latar belakang. Ia melibatkan amalan saling menghormati antara kaum dan agama, hidup dalam aman dan damai serta bekerjasama demi kepentingan negara. Perpaduan tidak bermakna kita perlu sama dalam segala hal, tetapi kita bersatu dalam kepelbagaian.
Tanpa perpaduan, negara boleh terjerumus dalam perpecahan dan konflik. Oleh itu, setiap rakyat bertanggungjawab memainkan peranan untuk mengekalkan keharmonian yang telah kita bina selama ini.
Malaysia akan terus makmur jika rakyatnya bersatu hati, saling menghormati dan bekerjasama tanpa mengira perbezaan bertepatan dengan peribahasa “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.
Semangat patriotisme adalah tunjang kepada pembinaan negara yang berjaya. Patriotisme bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menyertai perarakan kemerdekaan.
Ia adalah rasa cinta dan tanggungjawab terhadap tanah air, yang diterjemahkan melalui tindakan seharian seperti menjaga keamanan, mematuhi undang-undang dan membantu membangunkan negara.
Perpaduan adalah nadi kepada kekuatan dan kejayaan Malaysia. Semangat perpaduan yang membara sepanjang bulan kebangsaan tidak seharusnya berakhir selepas tarikh-tarikh tersebut berlalu. Sebaliknya, rakyat Malaysia perlu meneruskan usaha untuk mengekalkan perpaduan nasional secara berterusan dalam kehidupan seharian.
Kenapa semangat ini perlu diteruskan selepas sambutan?
Perpaduan adalah asas kestabilan dan kemajuan. Kita faham bahawa negara tidak akan aman jika rakyat berpecah belah. Perpaduan yang kukuh memastikan masyarakat hidup dengan saling menghormati dan bekerjasama.
Ancaman terhadap keharmonian sentiasa wujud melalui media sosial, politik perkauman dan sikap fanatik agama, bahkan perkara remeh pun boleh menjadi besar sehingga menggugat dan mengancam perpaduan jika tidak dikawal dengan semangat kebangsaan yang tinggi.
Patriotisme mampu melahirkan rakyat bertanggungjawab, sekali gus rakyat yang benar-benar cintakan negara akan menjaga imej Malaysia, berusaha meningkatkan kemajuan dan prihatin terhadap isu semasa.
Pembinaan negara adalah usaha berterusan semua rakyat di negara ini tidak mengira kaum, agama, budaya dan latar belakang. Malaysia masih melalui proses pembentukan identiti nasional yang harmoni. Proses ini memerlukan penglibatan aktif semua rakyat, bukan hanya semasa sambutan rasmi.
Apa peranan rakyat selepas Bulan Kebangsaan?
Selepas Sambutan Bulan Kebangsaan, peranan utama rakyat ialah terus mengamalkan sikap toleransi, meraikan kepelbagaian sebagai kekuatan dan bukan kelemahan, dan saling menghormati antara kaum, agama dan segala perbezaan.
Malaysia sebagai negara yang unik dengan kepelbagaian latar belakang etnik dan agama menuntut setiap rakyatnya peka terhadap sensitiviti budaya dan mengelakkan sebarang bentuk diskriminasi atau prejudis.
Dalam era digital dan teknologi maklumat masa kini, penyebaran hasutan dan berita palsu telah menjadi ancaman serius terhadap keharmonian masyarakat. Dengan hanya beberapa klik, maklumat palsu boleh tersebar luas dan mencetuskan kekeliruan, kebencian dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Penggemblengan semua pihak, sama ada rakyat, kerajaan, media dan NGO juga amat penting dalam mengekang ancaman ini. Dengan itu, setiap ahli masyarakat mestilah menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab, menolak hasutan dan berita palsu serta berusaha menyebarkan mesej positif dan menyatukan.
Selepas menyambut Bulan Kebangsaan, adalah penting untuk kita menanam dan memperkukuh nilai patriotik dan semangat kenegaraan dalam kalangan pelajar dan generasi muda.
Pendidikan sivik yang menyentuh aspek Rukun Negara, sejarah kemerdekaan dan nilai perpaduan perlu terus diberi penekanan di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Setiap ahli masyarakat digalakkan terus mengibarkan bendera negara di rumah, pejabat atau kenderaan, bukan hanya pada bulan Ogos dan September sahaja. Ia melambangkan kesetiaan dan cinta berterusan kepada tanah air.
Setiap ahli masyarakat mestilah terus menyertai aktiviti kemasyarakatan yang merapatkan hubungan antara komuniti. Menyertai aktiviti masyarakat seperti gotong-royong, rumah terbuka dan sukan komuniti adalah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara kaum.
Aktiviti sebegini membolehkan rakyat daripada pelbagai latar belakang berinteraksi secara langsung, seterusnya mewujudkan rasa saling mempercayai dan memahami.
Rakyat mestilah menghayati dan mengamalkan Rukun Negara dalam kehidupan harian. Rukun Negara bukan sekadar simbol, tetapi merupakan asas perpaduan negara.
Setiap rakyat perlu menghayati dan mengamalkan lima prinsip ini dalam kehidupan seharian iaitu daripada kepercayaan kepada Tuhan hinggalah kepada kesopanan dan kesusilaan. Amalan ini mampu membentuk masyarakat yang harmoni dan bertanggungjawab.
Dialog antara kaum dan agama perlu terus digalakkan agar perbincangan terbuka dan hormat antara komuniti yang berbeza latar belakang dapat dilaksanakan. Menyelesaikan salah faham melalui dialog akan mengukuhkan kepercayaan dan persefahaman bersama.
Perpaduan juga dipengaruhi oleh dasar dan kepimpinan negara. Rakyat perlu bijak menyokong pemimpin yang mengutamakan perpaduan, keadilan dan integriti serta menolak politik kebencian yang memecahbelahkan rakyat.
Justeru, setiap rakyat mestilah menyokong pemimpin dan dasar yang menyatukan kerana dasar kerajaan juga perlu bersifat inklusif dan adil kepada semua kaum.
Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Kelima pernah mengungkapkan bahawa “Kita semua adalah rakyat Malaysia. Jangan biarkan perbezaan memisahkan kita, sebaliknya jadikan ia sebagai kekuatan” dan “Patriotisme bukan sekadar semangat, tetapi komitmen untuk bersama membina masa depan negara.”
Tidak dapat dinafikan bahawa Sambutan Bulan Kebangsaan di Malaysia setiap tahun adalah platform penting untuk menyemarakkan semangat patriotik dan menyatukan rakyat pelbagai kaum. Namun, semangat patriotisme dan perpaduan tidak sepatutnya tamat seiring berakhirnya Sambutan Bulan Kebangsaan.
Sebaliknya, ia harus menjadi asas kepada kehidupan bermasyarakat di Malaysia, dan diteruskan sepanjang masa oleh setiap rakyat. Hanya dengan semangat yang berkekalan inilah Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara yang aman, bersatu dan berjaya di persada dunia.
Cinta akan negara bukan hanya ditunjukkan melalui sambutan, bukan hanya dalam perarakan dan lagu patriotik, tetapi melalui tindakan kita setiap hari.
Dr. Sabariah Baharun
Ahli Jawatankuasa Pusat
Ketua Kluster Perpaduan Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia