Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti dengan penuh prihatin kemelut politik dan kepimpinan negara yang kini berada pada tahap kritikal.
Negara kini sedang melalui situasi yang amat mencabar dengan gelombang ketiga wabak COVID-19 dan kemelesetan ekonomi yang secara langsung menjejaskan kehidupan rakyat.
Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk menangani cabaran luar biasa yang melanda pada ketika ini. Ini bermakna, sebuah kerajaan yang boleh berfungsi dalam membentuk dasar-dasar baharu yang tepat dan bertindak melaksanakannya dengan cekap dan berkesan.
Kedudukan kerajaan sekarang yang sentiasa tercabar keabsahannya dan terancam dengan undi tidak percaya adalah sebuah kerajaan yang tidak stabil dan seperti telur di hujung tanduk.
Situasi ini tidak memungkinkan kerajaan bertindak dengan berkesan dalam menangani kemelut ekonomi dan pandemik COVID-19.
Tindakan ahli-ahli politik dalam merebut kekuasaan melalui proses tawar-menawar yang berlarutan sejak negara mula dilanda pandemik COVID-19 adalah amat memualkan dan dikesali.
Ahli-ahli politik tidak seharusnya menggadaikan maruah diri dan pilihan rakyat untuk kepentingan peribadi atau parti politik masing-masing. Wakil rakyat dipilih untuk melaksanakan amanah kepimpinan negara untuk kesejahteraan rakyat.
Masa depan rakyat dan negara kini tidak menentu kerana mainan politik dan perebutan kuasa yang keterlaluan semenjak bulan Februari yang lalu.
IKRAM menjunjung kasih ke atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) agar ahli politik bermuhasabah supaya negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu memandangkan negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik COVID-19.
IKRAM percaya bahawa YDPA akan bertindak dengan penuh bijaksana selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan ini menggesa dengan tegas agar:
1. Ahli-ahli politik segera menamatkan kemelut politik yang melanda dan berusaha mengembalikan kestabilan kerajaan berlandaskan lunas undang-undang negara melalui tatacara di parlimen;
2. Kepentingan rakyat dan negara perlu menjadi pertimbangan paling utama dalam mencapai kata sepakat dalam kalangan ahli-ahli politik. Kepimpinan negara hendaklah diterajui oleh mereka yang benar-benar ikhlas, berwibawa, bermaruah, berintegriti dan kompeten dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi oleh rakyat;
3. Ahli-ahli politik perlu bersedia membuat rundingan berbentuk kerjasama (collaborative) demi mewujudkan kerajaan yang stabil. Perbezaan-perbezaan di antara parti-parti politik hendaklah diketepikan demi memelihara kepentingan negara tercinta;
4. Pilihan raya mengejut (snap election) hendaklah dielakkan kerana ia bukan jalan penyelesaian buat masa ini. Malahan, ia dijangka membawa lebih banyak kemudaratan. Cukuplah pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini yang telah mengakibatkan negara kini dilanda gelombang ketiga wabak COVID-19.
5. Semua rakyat bermunajat dan memanjatkan doa agar Malaysia dikurniakan kepimpinan yang berwibawa dan mampu membawa negara keluar daripada kemelut politik, pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia