Selamat Menyambut Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH 2012 – JK Pendidikan

Sesungguhnya kita amat bersyukur kerana dengan rahmat dan taufiq Allah SWT, kita masih lagi dikurniakan kekuatan ruhiyah, jasadiyah dan aqliyah untuk beribadah dan meneruskan perjuangan memperkasa pendidikan Islam ke arah memimpin barisan umat Islam dan masyarakat berasaskan syariat Islamiyah.

Seperti kita sedia maklum, pendidik yang bertugas di IKRAM-Musleh bukan sekadar guru pengajar, mudarris yang mengajar ilmu akademik tetapi pendidik IKRAM-Musleh menjalankan tugas mulia warisan dari Rasul:

Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (Surah Al-Jumuah: 2)

Kita perlu sedar bahawa guru adalah murabbbi soohibul risalah, yang kerjanya bukan sekadar tugas sebagai pekerja yang dibayar gaji tetapi pemilik risalah bakal diganjari Allah dengan pahala yang berpanjangan.

Oleh itu, kerja-kerja yang dibuat oleh murabbi IKRAM-Musleh tidak boleh dilihat dalam rangka hanya masuk kelas keluar kelas. Murabbi bukan hanya sekadar pengajar, mudarris atau  cikgu.  Tetapi ia perlu dilihat dalam rangka yang lebih besar, sebagai murabbi sedang menyediakan bahan dan tapak penting dalam rangka pembinaan tamadun yang gemilang.

Persediaaan untuk pembinaan tamadun ini  menuntut kita melaksanakan beberapa tanggungjawab utama. Salah satu daripadanya ialah melipat gandakan usaha-usaha ke arah membangun kader-kader dakwah dan perjuangan seramai-ramainya terutamanya daripada kalangan generasi muda.

Umat memerlukan generasi muda yang bukan sahaja mantap iman, ilmu dan amalnya tetapi juga mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Mempunyai ciri-ciri individu Islam yang hakiki
  • Bangga dan megah dengan Islam
  • Tahu dan kenal sejarah kegemilangan kita
  • Mengambil tokoh-tokoh  Islam sebagai role model
  • Tahu misi dan visinya sebagai Muslim di muka bumi
  • Sedar kedudukannya sebagai khalifah Allah dan bersedia menjadi pendokong dan pembela Islam.

Ke arah melaksanakan tanggungjawab utama tersebut, berikut adalah perkara-perkara yang perlu para murabbi IKRAM-MUSLEH lakukan:

1. Kita  sendiri perlu menerapkan ciri-ciri yang disebutkan di atas dalam diri dan keluarga kita. Untuk itu, mari kita libatkan diri kita dengan penuh ikhlas dan kesungguhan  dalam sistem tarbiyah yang disediakan di sekolah-sekolah kita.

2. Kita perlu teruskan dengan usaha yang pertama dan yang terutama iaitu berdakwah kepada anak murid di SRI-SMI. Tiada perkataan yang lebih baik daripada perkataan-perkataan yang mengajak mereka kepada penghayatan Islam yang sebenarnya. Usaha dakwah ini seharusnya disebatikan dalam proses P&P serta aktiviti-aktiviti pelajar.

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat:33)

3. Kita perlu memastikan peningkatan dan penambah-baikan berterusan diri kita di mana diri kita sentiasa bertambah baik dari semua sudut, khususnya proses P&P dan pentarbiahan, setiap hari. Hari ini seharusnya lebih baik daripada kelmarin. Sabda Rasulullah SAW:

من استوى يوماه فهو مغبون

Barangsiapa yang sama dua harinya, maka dia sudah terpedaya. (Hadis marfu’)

4. Jadikanlah Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Ar-Rasul SAW sebagai rujukan utama dalam kehidupan kita – wasilah utama taqarrub ilallah. Malah, sama-samalah kita tingkatkan hafazan Al-Quran Al-Karim kerana jiwa raga, minda dan jasad yang tegap dengan Al-Quran Al-Karim merupakan benteng kukuh terhadap serangan kemungkaran dan kebatilan; di samping memudahkan pelaksanaan makruf dan kebajikan.

Alhamdulillah, maklumbalas yang diterima daripada para pelajar menunjukkan bahawa mereka amat menghargai kesungguhan dan pengorbanan para pendidik mereka – bersabar dengan segala kelemahan pelajar, menggilap potensi mereka sehingga cemerlang. Mereka insyaAllah, akan meneruskan usaha dakwah dan tarbiyah di mana sahaja mereka berada nanti – khususnya dalam kalangan mahasiswa IPT.

Bunga dan buah kejayaan usaha-usaha kita semakin kian terserlah.

Alhamdulillah, kita mendapati kebanyakan daripada penggerak IKRAM di kalangan generasi muda adalah lepasan dari SRI-SMI IKRAM-Musleh.   Kita juga mendapati kebanyakan pelajar lepasan SRI-SMI telah muncul sebagai pemimpin dalam persatuan-persatuan pelajar di dalam dan luar negara.  Syabas dan tahniah kepada para pendidik, ibubapa dan warga SRI-SMI di atas kejayaan ini.

Ini semua merupakan sunnah hasanah dari kita. InsyaAllah.

Sabda Rasulullah SAW:

من سن سنة حسنة فله اجرها واجر من عمل بها الى يوم القيامة

Barangsiapa melakukan sunnah hasanah, maka baginya ganjaran dan juga ganjaran orang yang beramal dengannya sehingga ke Yaumul Qiyamah. (Riwayat Muslim)

Moga-moga Allah SWT memberkati dan meredhai amal soleh ini dan mengurniakan rahmat-Nya ke atas para murabbi IKRAM-MUSLEH: Pembina Kader-kader Duat – amiin.

Selamat Menyambut Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH 2012.


Profesor Dr Omar bin Yaakob

Pengerusi JK Pendidikan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram)

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia