SERI KEMBANGAN – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, penyediaan peruntukan khas pandemik adalah saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) penting sebagai pemantapan kesiapsiagaan negara bagi menghadapi kemungkinan munculnya penyakit X di negara ini.
“Sebagai pemantapan kesiapsiagaan bagi menghadapi penyakit yang belum diketahui ini, pelan pandemik yang komprehensif, perluasan kempen vaksinasi dan penyediaan peruntukan khas pandemik adalah penting seperti yang disarankan oleh WHO,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, pemantauan berterusan, tindakan proaktif, penggunaan antibiotik yang rasional, langkah-langkah kawalan dan kerjasama antarabangsa juga dilakukan.
“Selain itu, pendekatan ‘One Health’ yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dan kesihatan alam sekitar adalah komponen yang penting untuk mengeratkan kerjasama antara pelbagai disiplin.”
Menurutnya, penjagaan kesihatan individu dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman, menguruskan berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok juga boleh memantapkan kesiapsiagaan terhadap penyakit X.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersiap siaga dan berwaspada terhadap kemungkinan munculnya penyakit X berdasarkan pengalaman lalu kementerian dalam menangani penyakit seperti Covid-19, virus Nipah, SARS dan MERS-CoV,” katanya.
Walaupun kemungkinan berlakunya penyakit X perlu diberi perhatian, namun kebimbangan berlebihan perlu dielakkan.
Terdahulu, KKM sentiasa berwaspada dan mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi kemungkinan kemunculan penyakit X di negara ini.
“Orang ramai tidak perlu berasa terlalu bimbang terhadap penyakit itu, walaupun penyakit X tidak menjadi fokus dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-76 baru-baru ini, Malaysia tetap berwaspada terhadap kemungkinan kemunculan penyakit X.”
Jelasnya, sistem kesihatan Malaysia juga sentiasa diperkukuh untuk menghadapi penyakit tersebut, manakala maklumat mengenai wabak penyakit akan sentiasa disampaikan secara terbuka.
Dalam pada itu, orang ramai juga perlu mendapatkan maklumat dan membuat persediaan bagi menghadapi penyakit itu termasuk mengikuti garis panduan kesihatan, amalan kesihatan yang baik dan sentiasa mendapatkan maklumat terbaharu tentang perkembangan penyakit berkenaan.
Penyakit X merupakan nama yang dicipta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2018 untuk sejenis patogen yang tidak diketahui, dengan potensi untuk menyebabkan wabak di seluruh dunia.
Walaupun sifat dan waktu penyakit X masih belum dikenal pasti, dilaporkan pakar kesihatan telah menyuarakan kebimbangan tentang impak penyakit berkenaan.