Baru-baru ini, tular berita seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) meminta sedekah dan memakai sebuah kereta berharga RM100,000 terbongkar dan mengejutkan ramai pihak sehingga dibahaskan di parlimen.
Tidak cukup sekadar itu, kutipan-kutipan amal untuk tujuan bantuan rakyat di Palestin turut berkembang tanpa ada hadnya. Namun, situasinya berbeza apabila wakil daripada pihak Palestin memaklumkan sumbangan yang diberikan tidak sampai kecuali daripada beberapa institusi.
Berita-berita ini sering kita dengar dan pelaku jenayah ini terus berleluasa tanpa rasa bersalah. Pelbagai sudut perbincangan boleh dibahaskan berkaitan sebahagian kecil isu yang dibangkitkan di atas.
Pertamanya, sifat pemurah dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan sesuatu yang patut dipuji. Perkataan sedekah, infak mahupun wakaf telah menjadi kata kunci penting untuk menarik perhatian rakyat Malaysia yang beragama Islam khususnya untuk menyumbang.
Keduanya, perbuatan jahat pihak-pihak yang mengambil kesempatan, lebih-lebih lagi yang bertopengkan jubah dan kalam-kalam manis daripada al-Quran dan juga hadis.
Ketiganya, sejauh manakah pengurusan sedekah dan infak ini dipandang serius oleh pihak-pihak yang berwajib dalam menangani isu-isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat.
Justeru, dalam artikel kali ini, penulis akan mengupas kedudukan sedekah dan kepentingan pengurusan sedekah yang komprehensif berdasarkan sarwa Islam.
Wajib dan sunat
Jika dibahaskan dari sudut ilmiah, hukum sedekah dibahagikan kepada dua kategori iaitu wajib dan sunat. Hukum wajib bagi sedekah merujuk kepada zakat sepertimana firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud:
“Ambillah sebahagian daripada harta mereka guna sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan dan menyucikan mereka.”
Allah SWT turut memperincikan kumpulan yang layak menerima sedekah (zakat) sepertimana yang diperincikan dalam surah at-Taubah ayat 60. Selain itu, sedekah wajib turut merujuk kepada bayaran zakat fitrah, nazar dan sedekah kerana hak Allah SWT seperti fidyah dan kaffarah (bayaran denda).
Manakala hukum sunat pula merujuk kepada amalan bersedekah yang difahami oleh orang ramai daripada kalangan orang Islam.
Amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia sudah menjadi kebiasaan dari sudut kefahaman dan praktis sehinggakan amalan berwakaf yang mempunyai rukun dan syarat-syarat khusus telah dianggap secara praktikal sebagai sedekah.
Keterlibatan orang ramai untuk menyumbang atas nama sedekah bertitik tolak daripada banyaknya anjuran untuk bersedekah yang telah menarik perhatian rata-rata orang Islam sepertimana firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid: 18)
Galakan untuk bersedekah berkait rapat dengan pembentukan jiwa seperti membentuk diri menjadi ikhlas dan menjauhi perbuatan riak sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Jika kamu menampakkan sedekah-sedekahmu, maka itu baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka itu lebih baik bagimu dan Allah akan menghapuskan sebahagian kesalahanmu. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Surah al-Baqarah: 271)
Masa terbaik bersedekah
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, perbincangan sedekah turut meliputi keutamaan kumpulan yang layak menerima sedekah dan waktu-waktu yang terbaik untuk bersedekah.
Bagi waktu terbaik untuk memberi sedekah, bulan Ramadan merupakan bulan yang terbaik untuk memperbanyak sedekah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan.” (Riwayat At-Tirmidzi, 663, Daif)
Rasulullah SAW telah menunjukkan keperibadian contoh sebagai manusia yang paling dermawan pada bulan Ramadan sebagaimana hadis yang bermaksud:
“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Riwayat al-Bukhari, 3554)
Selain itu, waktu yang terbaik untuk bersedekah adalah pada hari jumaat berdasarkan pandangan Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Zad al-Ma’ad:
“Bersedekah pada hari Jumaat ini lebih mulia berbanding hari-hari lain. Besarnya nilai gandaan ganjaran bersedekah pada hari Jumaat berbanding hari lain adalah seperti besarnya pahala amalan bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain.”
Hari Jumaat sememangnya menjadi hari membuat kebaikan sama ada dengan berselawat, mengerjakan solat Jumaat dan membaca surah al-Kahfi.
Selain daripada hari Jumaat, waktu subuh atau pagi hari turut menjadi waktu yang baik untuk bersedekah kerana malaikat akan mendoakan mereka yang bersedekah pada waktu tersebut.
Keutamaan penerima sedekah
Keutamaan kumpulan yang layak menerima sedekah turut dibahaskan oleh para ulama. Berdasarkan isu-isu yang berlegar dalam penipuan sedekah, elok kiranya kita mengetahui kumpulan manakah yang utama dalam menerima sedekah supaya penipuan tersebut tidak menjadi aktiviti jenayah yang terancang melibatkan agama Islam.
Berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim, ahli keluarga merupakan kumpulan yang utama untuk menerima sedekah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Ada dinar yang kamu infakkan di jalan Allah, dinar yang kamu infakkan untuk memerdekakan budak dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin. Namun dinar yang kamu keluarkan untuk keluargamu (anak, isteri) lebih besar pahalanya.” (HR Muslim, 995)
Kumpulan kedua selepas ahli keluarga adalah daripada kalangan kaum kerabat.
Situasi ini turut disandarkan kepada peristiwa Abu Talhah r.a. yang telah menemui Rasulullah SAW untuk mendapatkan nasihat bagi menginfakkan kebun tamarnya, Bairuha dan Rasulullah SAW telah menasihati beliau untuk membahagikan kepada kaum kerabatnya. Abu Talhah telah menurut nasihat yang diberikan oleh Rasulullah SAW.
Setelah itu, kita melihat para ulama menyebutkan sedekah kepada kemaslahatan umat melalui aktiviti berwakaf merupakan kumpulan seterusnya dalam keutamaan menerima sedekah daripada kalangan orang Islam.
Dapat difahami di sini, tiada salahnya untuk kita mengutamakan sedekah kepada ahli keluarga terutama mereka yang susah dan miskin kerana itu lebih utama, lebih-lebih lagi dalam senario semasa kita dihimpit dengan jenayah penipuan yang berleluasa pada hari ini.
Amalan terbaik dalam pengurusan sedekah
Dalam konteks ekonomi Islam, nilai ihsan merujuk kepada ‘best practice’ yang boleh menatijahkan hasil jangka masa pendek dan panjang.
Oleh itu, sedekah boleh menterjemahkan nilai ihsan yang impaknya dirasai jika pengurusannya dilaksanakan dengan komprehensif dan sistematik, sekali gus dapat mengurangkan jenayah yang mempergunakan nama Islam untuk kepentingan tersendiri.
Mengambil ‘best practice’ daripada Lembaga Tabung Haji dan Pusat Pungutan Zakat, pihak kerajaan boleh berusaha untuk mewujudkan satu sistem pengurusan dana sedekah peringkat nasional dengan memanfaatkan teknologi sedia ada.
Sokongan secara bersama yang diberikan badan-badan bukan kerajaan, institusi-institusi korporat dan orang perseorangan sangat digalakkan untuk menterjemahkan sistem sokongan ketiga bagi sumber kewangan Islam yang bersifat sejagat.
Pentingnya ekosistem kutipan dan pengagihan dana sukarela ini turut diberikan perhatian oleh pihak berwajib dengan mengadaptasi konsep best practice bagi mendapatkan kepercayaan dan keyakinan penyumbang serta mengelakkan daripada penyalahgunaan dana.
Masyarakat Islam perlu berusaha mengambil peluang bersama-sama memperkukuh sistem ekonomi Islam melalui kesedaran dan penyebaran maklumat yang berkualiti dan berilmiah berkaitan dana Islam seperti sedekah.
Hal ini turut perlu disokong oleh sebuah pengurusan yang telus, terkawal, berkualiti dan kompetitif agar tidak dieksploitasi atau dikhianati.
Ini bagi memastikan ekosistem kemampanan sosial umat Islam tidak terabai dengan kewujudan dana sosial yang sangat besar manfaatnya. Moga kita dijauhi daripada fitnah yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW seperti dalam hadis yang bermaksud:
Hendaklah kamu bersegera melakukan amalan-amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah ibarat kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Hal ini menjadikan seseorang lelaki beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, atau beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi kerana dia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia. (Riwayat Muslim, 118)
Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam