Pada era media sosial hari ini, pengaruh seseorang tidak lagi bergantung kepada keilmuan atau kepakaran dalam bidang yang sah sahaja, tetapi lebih kepada jumlah pengikut, keupayaan bermain emosi khalayak dan gaya penyampaian yang menarik perhatian.
Situasi ini semakin membimbangkan apabila wujud individu-individu yang mempunyai latar belakang dalam satu bidang tertentu, tetapi gemar memberikan kenyataan melangkaui kepakaran mereka, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan urusan agama dan akidah umat.
Baru-baru ini tular semula kenyataan kontroversi daripada seorang “motivator selebriti” yang mengaitkan bahawa dosa ibu bapa yang tidak diampunkan Allah menjadi punca kepada anak-anak “tidak menjadi” atau bermasalah.
Kenyataan ini bukan sahaja tidak bersandarkan kepada dalil syarii yang sahih, malah berpotensi menimbulkan kekeliruan serta menyebar persepsi yang salah terhadap konsep dosa, taubat dan qadak dan qadar dalam Islam.
Walaupun video ini asalnya tersiar sejak tahun 2018, baru-baru ini ia kembali tular, membakar semula rasa tidak puas hati ramai netizen dan pencinta ilmu. “Anak tak menjadi sebab ibu bapa tak bertaubat.”
Demikian kata-kata yang dilontarkan oleh pakar oftalmologi terkenal namun sering kali mencetus polemik dalam bidang yang bukan kepakarannya iaitu agama. Sungguh, inilah masalah apabila orang bercakap mengikut rasa, bukan mengikut ilmu.
Tidak cukup dengan kenyataannya suatu waktu dulu “wanita kena buat bodoh-bodoh kalau nak dapat jodoh,” kini timbul semula hujah “dosa ibu bapa yang tak ditaubat akan hasilkan anak-anak tak menjadi.” Maaf cakap, ini bukan motivasi, ini adalah suatu manipulasi.
Malah, ia membawa mesej berbaur penghukuman terhadap ibu bapa, lebih-lebih lagi kepada mereka yang sedang diuji dengan anak-anak yang bermasalah. Dalam keadaan ramai ibu bapa bergelut dengan tekanan emosi dan rasa bersalah, kenyataan seperti ini hanya menambahkan luka, bukan memberi solusi.
Tuhan Maha Pengampun, manusia bukan penghukum
Allah SWT berfirman dengan jelas dalam Surah az-Zumar ayat 53 (maksudnya):
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Dalam Islam, dosa merupakan urusan individu dengan Tuhan. Setiap insan dipertanggungjawabkan atas perbuatannya sendiri dan tidak akan memikul beban dosa orang lain. Hal ini ditegaskan dalam Surah Al-An’am, ayat 164:
“Dan tidaklah seseorang membuat dosa melainkan terhadap dirinya sendiri, dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.”
Justeru, menisbahkan segala kesalahan atau kegagalan anak-anak kepada dosa ibu bapa yang tidak ditaubatkan merupakan satu hujah yang tidak mempunyai asas nas yang sahih dan bertentangan dengan konsep keadilan Ilahi.
Sejarah para nabi menafikan “teori” ini
Jika benar dakwaan bahawa dosa ibu bapa yang tidak diampun adalah penyebab anak-anak menjadi derhaka atau tidak menjadi, bagaimana kita menjelaskan kes-kes dalam sejarah para nabi?
Nabi Adam a.s., salah seorang anaknya, Qabil, membunuh saudaranya sendiri. Sedangkan Nabi Adam adalah manusia pertama yang menerima wahyu dan bertaubat setelah melanggar perintah Allah di syurga.
Nabi Nuh a.s. digelar sebagai hamba Allah yang sabar dan termasuk dalam golongan Ulul Azmi. Namun demikian, anak baginda sendiri menolak dakwahnya dan mati dalam keadaan kufur.
Nabi Yaakub a.s. diuji dengan anak-anak yang dengki dan membuang Yusuf ke dalam perigi. Namun Nabi Yaakub tetap teguh dan sabar dalam menghadapi ujian tersebut.
Bahkan dalam sirah Nabi Muhammad SAW, ibu bapa baginda meninggal dunia sebelum baginda diangkat menjadi Rasul dan tidak sempat menerima Islam. Adakah ini menunjukkan baginda kurang kemuliaan? Tidak sama sekali. Bahkan baginda adalah penghulu segala nabi.
Kisah-kisah ini seharusnya menjadi sempadan kepada kita dalam menilai dan berhujah secara waras serta tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman berbentuk keji terhadap ibu bapa yang diuji dengan anak-anak yang bermasalah.
Dosa tidak bertaubat adalah bahaya, tetapi jangan simplistik
Benar, dalam Islam, bertaubat atas dosa adalah amat penting. Namun mengaitkan dosa tersebut secara automatik sebagai penyebab kepada anak-anak menjadi tidak baik adalah hujah yang sangat lemah dan boleh menjerumuskan seseorang kepada kezaliman dan penghakiman melulu. Apatah lagi jika ia dilontarkan tanpa dalil mahupun kajian ilmiah.
Sebagaimana Kata Penolong Pengurus Jabatan Pembangunan Ahli dan Tanzim, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria, kenyataan ini perlu diperhalusi dengan ilmu dan adab.
Firman Allah Taala:
“إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ”
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah an-Nisa’: 48)
Tajul Arifin berkata, tidak dinafikan dosa dalam rumah tangga boleh memberi kesan kepada keberkatan dan suasana pendidikan. Namun, tidak benar untuk menyimpulkan “Anak rosak disebabkan ibu bapa berdosa dan tidak diampunkan.”
Beliau menambah, Nabi Nuh a.s. diuji dengan anak yang enggan beriman. Nabi Ibrahim a.s. diuji dengan ayahnya yang menyembah berhala.
“Maka, wahai para ibu ayah, jangan cepat berasa gagal. Teruskan berdoa, bertaubat dan berdakwah dalam rumah. Perlu diingat, tarbiah bukan jaminan hasil, tetapi amanah yang ditanya di akhirat. Tarbiah bukan matematik. Ia perjalanan sabar dan tawakal.
Tegasnya lagi, tugas kita semua, jangan hukum ibu ayah yang diuji, apalagi merendahkan anak yang sedang mencari hidayah. Doakan dan bimbinglah mereka, bukan menyalahkan apalagi menghukum. Kita semua sedang belajar menjadi hamba dan ibu ayah yang Rabbani.
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci), maka kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR Muslim, no. 2699)
Hadis ini menekankan tanggungjawab pendidikan dan persekitaran dalam membentuk anak-anak, bukan sebagai bukti dosa ibu bapa diwarisi atau menjadi penentu mutlak kepada kejayaan atau kegagalan anak.
Serahkan kepada ahlinya
Saban hari kita melihat media begitu berhati-hati dalam memilih pakar untuk membincangkan isu kesihatan, pendidikan atau ekonomi. Tetapi anehnya, apabila menyentuh hal agama yang berkaitan soal dosa, pahala, taubat dan hukum syarak, ruang tersebut seolah-olah terbuka buat sesiapa sahaja untuk memberi pandangan, walau bukan daripada kalangan yang bertauliah dalam bidangnya.
Ilmu agama bukan sekadar petikan ayat dan suara lunak yang menyentuh emosi. Ia sebuah amanah yang menuntut ketelitian, disiplin ilmu dan kefahaman mendalam. Ulama silam menghabiskan puluhan tahun menuntut ilmu sebelum berani berbicara tentang hukum, apatah lagi mengeluarkan fatwa.
Namun hari ini, fenomena yang membimbangkan ialah apabila populariti mengatasi autoriti, individu yang tiada asas ilmu syariah dijadikan rujukan awam hanya kerana pengaruh media sosial atau nama yang dikenali ramai.
Perlu diingat, agama bukan bahan hiburan. Media dan penerbit memikul tanggungjawab besar dalam mendidik masyarakat dengan maklumat yang sahih dan tepat. Sepertimana kita tidak melantik bukan doktor untuk mengulas penyakit, jangan pula kita angkat bukan ahli untuk bercakap soal hukum Tuhan.
Renungilah Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl: 43)
Ayat ini mengajar kita adab terhadap ilmu, iaitu mengiktiraf autoriti, menghormati proses menuntut ilmu dan menyerahkan urusan kepada yang selayaknya.
Akhirnya, demi menjaga kesucian agama dan kesejahteraan umat, kembalilah kepada disiplin ilmu kerana agama ini bukan milik sesiapa, tetapi amanah Allah yang wajib dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab.
Cermat dalam bicara, amanah dalam dakwah
Sebagai seorang yang mempunyai pengaruh besar, setiap perkataan yang keluar daripada mulut seorang selebriti atau motivator bukan sekadar hiburan atau motivasi kosong. Ia membawa kesan langsung terhadap cara berfikir masyarakat.
Justeru, adalah wajib untuk berhati-hati dalam mengulas isu-isu agama, apatah lagi apabila ia melibatkan konsep yang besar seperti dosa, qadak dan qadar serta pendidikan anak-anak.
Berhentilah menjadikan agama sebagai bahan manipulasi emosi dan strategi pemasaran diri. Jika tidak berilmu, diam itu lebih utama. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim)
Cukuplah masyarakat kita terus diheret dengan retorik kosong yang hanya bersandarkan kepada emosi dan kepopularan. Keilmuan bukan sekadar kemampuan berhujah atau menawan hati, tetapi keberanian untuk berkata benar, bersandar kepada ilmu yang sahih dan tidak melangkaui batas.
Semoga masyarakat kita kembali menilai setiap pandangan dengan neraca ilmu, bukan dengan ukuran ‘viral’, suara yang meruntun emosi atau personaliti media. Kerana benar itu kekal benar walaupun tidak popular, dan salah tetap salah walaupun dikatakan oleh orang yang ternama.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia