SUNGAI BESI – Kuliah Maghrib tentang Asas Islam Rahmah (AISAR) Sesi Ke-2 bertajuk “Islam yang Sempurna dan Syumul” di Masjid Ibn Khaldun di sini menerima sambutan lebih meriah dengan kehadiran lebih 440 orang ahli kariah, pada Khamis 29 Mei lalu.
Kuliah kali ini yang disampaikan oleh Ustaz Hj Tajul Arifin Che Zakaria juga mendapat tontonan secara langsung daripada lebih 1,200 orang dari seluruh negara yang mengikuti secara dalam talian di YouTube TV IKRAM dan media sosialnya yang lain.
“Islam ini bukan sekadar agama, tetapi sebuah cara hidup menyeluruh yang membawa rahmah dan keseimbangan kepada manusia dan seluruh alam,” antara intipati utama syarahan yang disampaikan Ustaz Tajul Arifin.
Dengan gaya penyampaian yang bersahaja namun tajam dan penuh penghayatan, beliau membawa hadirin menelusuri maksud sebenar Islam sebagai penyerahan menyeluruh kepada Allah SWT.
Beliau turut menghuraikan mengenai Islam sebagai sistem hidup yang lengkap – dari akidah ke ibadah, dari akhlak ke syariah – dan kesyumulan Islam sebagai panduan kehidupan peribadi, bermasyarakat dan bernegara, serta ciri-ciri istimewa Islam yang membezakan daripada agama-agama lain.
Kuliah Maghrib AISAR anjuran Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM dengan kerjasama Masjid Ibn Khaldun ini adalah sebahagian daripada inisiatif membumikan prinsip asas Islam rahmah bagi menyampaikan mesej Islam yang syumul, wasatiyyah dan rahmah kepada semua lapisan masyarakat.
Dengan latar belakang cabaran semasa dan kekeliruan terhadap agama, usaha ini dilihat sebagai talian hayat untuk membina masyarakat beragama yang adil, seimbang dan mampu menyumbang dalam negara majmuk seperti Malaysia.
Sesi seterusnya Kuliah Maghrib AISAR akan berlangsung di masjid ini pada Khamis, 26 Jun yang akan datang, insya-Allah.