Majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) ini bertujuan meraikan kepelbagaian dan perbezaan berbahasa di Malaysia dalam suasana harmoni.
Majlis anjuran Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Tamil Foundation, Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ini bertemakan “Memelihara Kepelbagaian Linguistik dan Menggalakkan Kepelbagaian Bahasa untuk Menyokong Matlamat Pembangunan Mampan”.
“Berbilang etnik, berbilang bahasa, dan pelbagai budaya adalah aset berharga negara kita,” demikian ujar Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Encik Lau Chee Boon dalam ucapannya.
Majlis yang diadakan pada lewat petang Rabu semalam turut diserikan dengan persembahan kebudayaan Melayu, Cina, India dan Orang Asal.
Untuk Melayu, pelajar Sekolah Rendah Islam Al-Amin Keramat telah mempersembahkan Dikir Barat manakala wakil Cina membuat persembahan nyanyian.
Wakil India pula mempersembahkan tarian kaum mereka manakala wakil Orang Asal mempamerkan kemahiran meniup seruling menggunakan hidung.
“Dari perspektif yang lebih luas, bahasa adalah instrumen yang paling berkuasa untuk memelihara dan mengembangkan warisan ketara dan tidak ketara.”
Dalam perkembangan berkaitan, para hadirin ditayangkan hasil seni kolaj pelajar-pelajar yang telah mengikuti pertandingkan pada 11 Februari lalu, menerusi video.
“Uniknya pertandingan ini, peserta pertandingan dibahagikan kepada lima kumpulan yang terdiri daripada lapan orang di mana setiap kumpulan terdiri daripada keempat-empat bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan Orang Asal untuk menggalakkan interaksi antara kaum serta memupuk nilai hormat-menghormati,” ujar Pengarah Program, Puan Usharani Sarkunavalu.
Dengan menggunakan kreativiti dan idea masing-masing, mereka menggunakan bahan-bahan terpakai seperti botol air, surat khabar, ranting-ranting dan pelbagai lagi bahan kitar semula dan bahan semula jadi untuk menghasilkan karya mereka.
“Semoga program ini boleh dijadikan program tahunan untuk kita memperluaskan usahasama dalam projek-projek silang budaya pada masa akan datang,” kata Timbalan Presiden IKRAM, Haji Zaid Kamaruddin dalam temubual ringkasnya.
Pihak penganjur turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada peserta persembahan, peserta pertandingan seni kolaj dan juga pemenangnya serta pihak penganjur yang menjayakannya.
Turut hadir Puan Usharani daripada Tamil Foundation selaku Pengarah Program, wakil-wakil penganjur iaitu Encik Yuva (Tamil Foundation), Puan Mei Sha (LLG Development Centre), Haji Zaid, Prof Madya Haji Badlishah Sham Baharin, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor (IKRAM) serta Encik Yusri Ahon daripada Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS).
Antara lain yang bersama dalam penganjuran ini ialah KLSCAH sebagai tuan rumah, MySkills Foundation, Persatuan Naam Tamilar Malaysia, Japan Graduates Association of Malaysia (JAGAM), Merdeka University Berhad (MUB) dan Gabungan Pendidikan Tamil Malaysia (GPTM).
Turut bersama menjayakan ialah Gabungan persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (UCSTA), Tamil Artists Association (TAA), Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Inisiatif Pengislahan Pendidikan nasional (IPPN) dan Malaysia National Commisioner for UNESCO (NATCOM).
UNESCO telah mengisytiharkan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa disambut pada 21 Februari setiap tahun semenjak 17 November 1999, bagi mengiktiraf kepelbagaian bahasa dan budaya dalam kalangan penduduk dunia dengan menginterpretasikan bahasa ibunda.
Malaysia adalah antara negara yang mempunyai banyak bahasa ibunda dan Malaysia merupakan satu daripada 28 buah negara yang menyokong cadangan pengisytiharan tersebut.