Hampir 30 tahun saya berkhidmat bersama Jabatan Penjara Malaysia. Terlalu banyak wajah yang datang dan pergi, terlalu banyak kisah yang berakhir di balik pintu besi. Jika ada satu waktu dalam setahun yang paling memperlihatkan sisi sebenar kehidupan di penjara, itulah Aidilfitri.
Saya tidak melihatnya sebagai kisah luar biasa. Ia bukan drama, bukan juga adegan yang sengaja menyentuh hati. Ia adalah realiti yang berulang setiap tahun sunyi yang berbeza, rindu yang tidak boleh ditebus, dan harapan yang perlahan-lahan dibina.
Malam raya yang lebih sunyi daripada biasa
Di dalam penjara, malam raya tetap mengikut jadual. Pemeriksaan keselamatan berjalan seperti biasa. Rondaan diteruskan. Pintu dan jeriji tetap berkunci rapi. Dari sudut operasi, tiada yang berubah.
Tetapi suasananya berbeza bukan kerana suasana menjadi lebih meriah, sebaliknya kerana ia menjadi lebih sunyi.
Setiap sel penempatan biasanya riuh dengan suara berbual atau gurauan kecil menjelang waktu tidur. Namun pada malam raya, suasana itu mereda. Ramai yang memilih untuk berdiam diri.
Ada yang berbaring memandang siling, ada yang duduk bersandar di dinding tanpa banyak bicara. Perbualan jika ada pun sekadar ringkas, seolah-olah masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri.
Dalam hampir tiga dekad saya bertugas bersama Jabatan Penjara Malaysia, saya mendapati kesunyian malam raya lebih menggambarkan keadaan sebenar jiwa penghuni berbanding tangisan atau luahan emosi yang ketara. Rindu di dalam penjara jarang dizahirkan secara terbuka. Ia lebih banyak dipendam.
Sesekali, dari satu blok ke satu blok, kedengaran bunyi letupan kecil mercun buatan sendiri menggunakan selipar yang dipukul kuat ke lantai. Letupannya tidak kuat, hanya cukup untuk memecah sunyi dan mengundang senyuman tipis sesama mereka. Itu sahaja “mercun” yang ada; simbol kecil bahawa di luar sana orang sedang meraikan malam raya.
Bagi prospek yang sudah lama menjalani hukuman, mereka kelihatan lebih terkawal. Mereka tahu malam ini akan berlalu seperti tahun-tahun sebelumnya. Bagi yang masih baru, perubahan suasana itu lebih terasa. Malam raya menjadi peringatan yang jelas tentang jarak antara mereka dan keluarga.
Tiada hiasan lampu, tiada bau kuih raya dari dapur rumah. Yang ada hanyalah bunyi langkah kaki pegawai yang membuat rondaan, dan sekali-sekala letupan selipar yang memecah kesunyian.
Di situlah realiti malam raya dalam penjara, bukan suasana dramatik, tetapi sunyi yang panjang dan sukar ditafsirkan.
Pagi Syawal: Rutin yang berbeza sedikit
Pagi 1 Syawal tetap bermula awal. Pemeriksaan keselamatan berjalan seperti biasa. Bezanya, menu sarapan lebih istimewa. Ada nasi himpit, rendang dan sedikit kuih. Tidak mewah, tetapi cukup untuk membezakan hari itu daripada hari-hari lain.
Saya pernah melihat seorang prospek muda memegang sekeping kuih dengan berhati-hati sebelum memakannya. Katanya, sudah lama tidak merasa air tangan ibunya. Dia tidak menangis. Dia cuma diam lebih lama daripada biasa.
Dalam tempoh hampir tiga puluh tahun ini, saya dapati emosi di penjara jarang meledak. Ia lebih banyak terpendam.
Lawatan: Antara pertemuan dan kekosongan
Sesi lawatan Aidilfitri sentiasa menjadi perhatian kami pegawai. Kawalan diperketatkan, tetapi suasana di tempat lawatan berubah menjadi lebih lembut.
Ada keluarga yang datang dari jauh. Ada anak kecil yang pada awalnya kekok memandang ayah mereka berpakaian seragam penjara. Ada juga isteri yang setia hadir setiap tahun tanpa gagal.
Namun, ada juga yang tidak dikunjungi sesiapa.
Dalam pengalaman saya, kekosongan itu lebih berat daripada hukuman fizikal. Prospek yang tidak menerima lawatan biasanya menjadi lebih pendiam pada hari raya. Mereka tetap menyertai solat sunat, tetap makan bersama rakan sebilik, tetapi ada jarak yang sukar dijelaskan.
Sebagai pegawai, kami tidak mencampuri emosi secara berlebihan. Tetapi kami peka. Kadangkala hanya dengan bertanya, “Semua okey?” sudah cukup untuk memberi ruang kepada mereka bernafas.
Perubahan tidak berlaku sekelip mata
Masyarakat sering bertanya, adakah prospek benar-benar berubah?
Jawapan jujurnya ada yang berubah, ada yang tidak. Penjara menyediakan ruang dan struktur: kelas agama, latihan kemahiran, disiplin harian. Tetapi keputusan untuk berubah tetap milik individu. Aidilfitri sering menjadi titik refleksi.
Sepanjang saya bertugas, saya melihat ada prospek yang mula serius mengikuti kelas agama selepas satu musim raya yang sunyi. Ada yang mula menyimpan wang elaun kerja dalam penjara dengan tekad mahu memulakan hidup baru selepas dibebaskan.
Perubahan itu jarang dramatik. Ia perlahan, kadang-kadang hampir tidak kelihatan. Tetapi ia wujud.
Antara hukuman dan kemanusiaan
Selepas hampir tiga dekad, saya memahami bahawa penjara bukan sekadar tempat menghukum. Ia tempat memisahkan seseorang daripada kebebasan buat sementara waktu, dengan harapan dia kembali dengan kesedaran yang berbeza.
Aidilfitri menampakkan garis halus antara hukuman dan kemanusiaan. Kami tetap tegas. Peraturan tidak berubah hanya kerana hari raya. Namun dalam ruang yang terkawal itu, kami memberi peluang untuk mereka merasai sedikit makna Syawal: solat berjemaah, juadah khas, lawatan keluarga.
Saya tidak lagi melihat Aidilfitri di penjara sebagai sesuatu yang menyayat hati semata-mata. Saya melihatnya sebagai cerminan pilihan hidup. Di luar sana, kebebasan sering dianggap biasa. Di dalam sini, kebebasan adalah sesuatu yang sangat mahal.
Sebuah kehidupan di sebalik tembok
Jika ditanya apakah yang paling saya pelajari sepanjang hampir 30 tahun ini, jawapannya mudah: manusia sentiasa lebih rumit daripada kesalahan mereka.
Setiap kali takbir Aidilfitri berkumandang di sebalik tirai besi, saya melihat sekumpulan lelaki yang sedang menilai diri sendiri. Ada yang benar-benar menyesal. Ada yang masih bergelut dengan ego dan masa lalu. Tetapi pada pagi Syawal, semuanya berdiri dalam saf yang sama.
Di situlah saya sedar, kehidupan dalam penjara bukan sekadar tentang kehilangan. Ia tentang menunggu iaitu menunggu peluang, menunggu keampunan, menunggu hari untuk kembali sebagai insan yang lebih baik.
Dan setiap tahun, Aidilfitri datang mengingatkan kami pegawai dan banduan bahawa di sebalik segala kesilapan, pintu perubahan itu sentiasa ada.
Dr Shamsul Zuraimi Mat Shah
Penguasa Penjara




