“Pada saya ia usaha yang baik dan bukan perkara yang baru. Malah, telah ada beberapa negara yang mengenakan undang-undang tersebut sebelum ini,” jelasnya.
Katanya, beg plastik memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Ia sukar untuk diuraikan hingga terbiar lama di tapak pelupusan.
“Kemudian, apabila ia terlepas masuk ke dalam laut, ia akan menjejaskan hidupan laut. Banyak kes seperti itu sebelum ini dan ia bukan sesuatu yang baik,” jelas beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah, Kualiti Alam Sdn Bhd.
Ketika ditanya mengenai respons masyarakat yang tidak kisah untuk dicaj beg plastik, beliau berkata bahawa itu terpulang kepada individu tersebut kerana undang-undang ini dibuat untuk mendidik masyarakat.
“Mereka yang mahu membayar, biarlah kerana mereka tidak sanggup berubah tetapi secara keseluruhan undang-undang ini tetap akan mengurangkan penggunaan beg plastik.”
Para peniaga di Selangor tidak lagi dibenarkan untuk membekal bekas makanan polisterin serta pemberian beg plastik secara percuma kepada pembeli.
Denda maksimum sehingga RM1,000 boleh dikenakan terhadap peniaga yang melanggar syarat pembaharuan lesen sekiranya didapati menggunakan plastik. Informasi mengenai kempen #bebasplastik ini boleh didapati di http://bebasplastik.my
Sementara itu, Kementerian Wilayah Persekutuan bakal melakukan langkah yang sama dengan mengenakan denda maksimum sehingga RM2,000 kepada peniaga dan penjaja yang melanggar larangan menggunakan pembungkusan plastik dan polisterin mulai 1 September 2017.