Saling menghormati, bukan membenci

Ia perlulah senantiasa diseru dan dipupuk agar negara kita menjadi sebuah negara yang aman, harmoni dan sejahtera menuju negara rahmah.

 

Isu ini ditekankan oleh Ketua Advokasi Perpaduan Nasional IKRAM, Haji Zaid Kamaruddin ketika ucapan aluannya dalam Webinar ‘Perpaduan Nasional Dalam Kepelbagaian : Realiti dan Cabaran’ pada 9 Januari lalu anjuran IKRAM Kuala Lumpur dan Kementerian Perpaduan Negara.

 

“IKRAM meletakkan perpaduan nasional sebagai satu agenda penting. IKRAM meletakkan matlamat untuk membangunkan keamanan, keharmonian dan kemakmuran. Tanpa keamanan dan keharmonian, akan wujud ketegangan, kekacauan, tiada kemakmuran.”

 

Beliau juga menyatakan bahawa IKRAM mengamalkan pendekatan nasional dengan mencontohi pendekatan yang ditunjukkan Ar-Rasul Salallahualaihiwasallam di Madinah.

 

Dalam pada itu, antara ciri-ciri model Madinah yang dinyatakan beliau ialah aman, adil, bebas beragama, tiada paksaan, sama status sebagai warga, maruah insan diangkat, inklusif, tiada yang terpinggir, kebajikan semua terjaga, muafakat, tolong menolong dan kesetiaan tanggungjawab bersama terhadap negara.

 

Justeru, usaha-usaha IKRAM di medan lapangan menekankan usaha membina muafakat yang inklusif dan mencari titik persetujuan yang mana kepelbagaian ideologi, agama, budaya dan etnik adalah suatu kelebihan di negara kita, juga merupakan kekuatan bukan kelemahan yang memecah-belahkan.

 

Bersatu merealisasikannya

Sebuah firman yang jelas telah Allah ungkapkan dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 103 yang maksudnya:

 

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”

 

Ungkapan ini penting sebagai sebuah ekspresi Yang Maha Kuasa mengenai peranan yang dimainkan oleh hamba-Nya menerusi perpaduan nasional dalam membangunkan individu, kumpulan, dan masyarakat serta negara.

 

Tentunya, konsep perpaduan nasional dan kepentingannya menjadi tonggak asas serta landasan untuk menerangi masa depan umat dunia.

 

“Untuk memupuk perpaduan nasional ini, kita perlu berinteraksi antara satu sama lain dengan kemuliaan insan, kerana perkataan yang baik, pertuturan yang baik, tindakan yang baik, ia akan membawa kesan yang baik kepada seseorang itu,” kata Timbalan Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin yang menjadi salah seorang panelis webinar tersebut.

 

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) turut menyarankan agar kita menanamkan dalam minda anak-anak agar bekerjasama antara satu sama lain, bukan membenci tetapi untuk menghormati dan melayan dengan kemuliaan insan.

 

Konsep perpaduan nasional

 

Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya, Dr Kassim Thukiman turut menyentuh tentang kepentingan perpaduan dalam sesebuah negara.

 

“Perpaduan merupakan istilah umum yang biasa kita dengar. Ia sering digunakan semasa perbualan harian dan ucapan dalam kalangan pemimpin politik.”

 

“Istilah tersebut amat penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang memerlukan kesatuan dan kesepaduan dalam kalangan rakyat, dalam konteks keunikan Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya. Di sinilah pentingnya gagasan perpaduan dalam kepelbagaian atau unity in diversity.”

 

Daripada itu, dapat kita lihat betapa pentingnya perpaduan nasional diterapkan dalam masyarakat bernegara. Namun, konsep yang jelas dan spesifik untuk istilah ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu yang diguna pakai dalam kesatuan, iaitu pengumpulan benda atau individu dalam satu kelompok, dan patriotisme yang berasal daripada kata tanah air, bermaksud pertemuan pada satu negara.

 

Kesetiaan, kepercayaan dan kasih sayang, yang mana kedua kata ini bergabung antara satu sama lain untuk membentuk landasan yang sangat penting, yang akan menjadi salah satu tonggak utama membangunkan negara.

 

Perpaduan nasional adalah salah satu tonggak patriotisme yang paling menonjol dan salah satu tiang atau komponen terpenting yang menyatukan rakyat bangsa yang sama serta mengikat mereka bersama.

 

Kepentingan perpaduan nasional

 

Dalam webinar itu, ahli panel webinar yang juga seorang Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM), Dr Soo Wincci berkata, perpaduan adalah sesuatu yang mencabar pada masa sekarang.

 

Kepentingan perpaduan nasional pada tahap individu dan masyarakat adalah menyentuh aspek antara individu dari bangsa yang sama dan kedudukan mereka yang berdampingan akan memberi mereka kekuatan yang besar.

 

Kekuatan ini memungkinkan mereka untuk menangkis sebarang serangan pemberontakan, pelampau luaran atau dalaman dan untuk melindungi diri juga tanah air mereka daripada kejahatan orang lain.

 

Situasi ini perlu timbul yang mana tidak ada seorang individu boleh menentang sesuatu kumpulan, tetapi kumpulan tersebut dapat berdiri di hadapan kumpulan yang lain dan mengawalnya atas nama perpaduan. Dengan ini juga, ia dapat mengurangkan masalah dalaman sosial yang ditanggung oleh masyarakat masa kini.

 

Selain itu, perpaduan akan dapat memberi manfaat seperti menyumbang kepada kemajuan dalam pelbagai sektor negara dan membuka jalan menuju masa depan yang lebih gemilang bagi semua segmen masyarakat.

 

Ini kerana, perpaduan nasional menyuburkan diri seseorang dengan rasa kasih sayang, hormat menghormati terhadap tanah air dan rakyatnya.

 

Mekanisme mencapai perpaduan

 

Untuk mencapai perpaduan nasional, ia memerlukan beberapa peranan antaranya mewujudkan struktur nasional dan komuniti yang padu, yang mana peranan ini perlu dimainkan antaranya institusi kekeluargaan.

 

Keluarga adalah salah satu institusi masyarakat yang paling penting yang bertanggungjawab untuk membesarkan individu pada satu set nilai dan pembentukan kesedaran budaya juga pendidikan.

 

Selain itu, rakyat perlu menerima asas-asas moral masyarakat, peranan sosial yang harus mereka hormati dan perhatikan, yang mana sifat patriotisme dan kebanggaan terhadap tanah air dipupuk sedari kecil lagi.

 

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripda seorang lelaki dan perempuan. Kemudian, Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.” (Al Hujurat : 13)

 

Melalui ayat ini, kita perlu hayati apa yang disarankan Allah SWT kepada hamba-Nya. Dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku itu agar saling mengenali.

 

Semua mengajar kebaikan

 

Dalam konteks ayat ini, ia dapat diterjemahkan kepada perpaduan kaum. Justeru, tiada halangan seseorang itu untuk saling mengenali antara satu sama lain, tanpa mengira suku atau bangsa bagi mewujudkan kefahaman menuju perpaduan dan kesejahteraan.

 

Realitinya, semua agama dalam perbezaannya mementingkan konsep perdamaian, memiliki tanah air dan kasih sayang serta mereka berusaha dengan kemampuan juga kerangka kerohanian untuk menyatukan individu dengan perpaduan.

 

Ia juga bersesuaian sepertimana yang dikatakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Prof Dr Suresh Govind dalam webinar tersebut bahawa nilai murni dalam semua agama mengajar untuk berbuat baik, menghormati ibu bapa, bermaaf-maafan, tolong menolong dan lain-lain.

 

Ini perlu dilakukan dengan cara menghuraikan konsep toleransi, memajukan serta memelihara masyarakat daripada pengaruh ‘makhluk perosak’, menyebarkan konsep kebaikan, keadilan dan persamaan antara semua manusia.

 

Prof Suresh juga berkata, perkara yang kecil janganlah dibesar-besarkan, kerana daripada situ akan timbulnya persengketaan dan perpecahan.

 

Media turut berperanan penting dan sering memperlihatkan peranan audiovisual sebagai pengaruh dalam menyatukan barisan negara dan kesatuannya terutama pada masa krisis.

 

Ini membuktikan peranannya yang besar dalam mencapai konsep perpaduan nasional dan rakyat kerana cinta terhadap negara, kedaulatan, melindungi kesuciannya serta mengarahkan dan mendidik anak muda menghayatinya.

 

Institusi pendidikan yang berbeza tentunya berusaha untuk menanamkan nilai-nilai patriotisme, membangunkannya dengan berpegang pada identiti nasional dan kesetiaan kepada tanah air, di samping mengambil bahagian dalam inisiatif masyarakat dan pelbagai program memupuk perpaduan yang dianjurkan.

 

Perpaduan nasional juga dapat direalisasikan dengan menghapuskan perselisihan dalaman dan menyebarkan perdamaian akibat konflik ideologi dan etnik serta penguasaan bahasa dengan satu kata toleransi.

 

Kemakmuran institusi negara pula perlu dijadikan sebagai hasil usaha yang tulus dan diusahakan untuk mengembangkannya. Kemakmuran dan kemajuan sektor ekonomi dan hilangnya masalah secara beransur-ansur dalam usaha menanganinya perlulah dijadikan objektif utama.

 

Kekuatan dan ketahanan luaran di hadapan negara-negara lain dapat dicapai sebagai hasil daripada kesatuan struktur dalaman negara dan ia juga perlulah disuburkan dengan bersungguh-sungguh.

 

Selain itu, semua aset dan kemudahan perlu dilindungi serta dikembangkan bagi meningkatkan penampilan dan kecanggihan estetikanya.

 

Perpaduan tanggungjawab semua

 

Menjadi kewajipan rakyat untuk mempertahankan negara daripada mereka yang  merosakkan negara, yang mungkin terdedah kepada cita-cita luar iaitu dari negara lain, atau cita-cita dalaman yang diwakili oleh beberapa individu yang tidak menginginkan pertumbuhan dan kemajuannya, yang kadangkala berusaha menghancurkannya.

 

Ini menuntut kita untuk memiliki kesedaran dan tanggungjawab yang cukup bagi memungkinkan sesiapa pun di kalangan kita tidak terheret dalam kumpulan-kumpulan tersebut dan rancangan sabotaj mereka yang bertujuan untuk menggugat keamanan, keharmonian serta kesejahteraan negara, selain melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat seseorang atau kumpulan yang berusaha melakukan sabotaj kepada kesejahteraan negara.

 

Sejak negara mencapai kemerdekaan, proses pembinaan negara bangsa berjalan secara baik. Namun, tidak dinafikan terdapat elemen dan tragedi perkauman yang mencetuskan ketidakstabilan dalam perpaduan.

 

Tuntutan dan perjuangan setiap kaum contohnya telah mencetuskan perdebatan yang di luar jangka hingga tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 yang tentunya menjadi pengajaran bermanfaat buat sekalian rakyat Malaysia. Gagasan perpaduan dan integrasi bertambah luas dengan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

 

Daripada sinilah kesepaduan sosial dan perpaduan nasional menjadi tema yang diangkat bagi pembinaan negara bangsa. Apalagi, dalam kedaan masa kini, penularan wabak COVID-19 juga boleh dijadikan suatu faktor yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat untuk mengukuhkan kerjasama, mempromosi nilai-nilai kemanusiaan serta bersatu memulihkan ekonomi negara.

 

Sebagaimana kata Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, perpaduan itu hanya boleh dicapai jika semua pihak menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama serta penting bagi semua rakyat yang sederhana dan patriotik untuk terus memperjuangkan usaha membentuk bangsa Malaysia yang bersatu padu.

 

“Kita mampu menggapai impian jika kita bersatu padu selain mempunyai pelan jangka panjang yang baik serta berusaha dengan bersungguh-sungguh.”

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia