Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik inisiatif Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menghantar notis usul bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 dan cadangan penubuhan ‘Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti’.
RUU berkenaan mencadangkan agar Pilihan Raya Pecat (‘recall election’) diperkenalkan untuk mencegah rasuah politik melalui amalan lompat parti yang mengakibatkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap ahli-ahli politik.
Cadangan-cadangan berkenaan merupakan langkah penting demi memulihkan amalan demokrasi dan memperkukuhkan institusi parlimen yang sepatutnya meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan setelah lebih setahun negara dilanda krisis politik.
Sehubungan dengan itu, IKRAM menggesa agar Yang di-Pertua Dewan Rakyat memberi pertimbangan sewajarnya dan mengutamakan usul RUU berkenaan untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat yang bakal berlangsung pada bulan ini.
Untuk membawa negara ke tahap yang lebih baik, IKRAM menyokong usaha-usaha yang dapat memartabatkan institusi-institusi kenegaraan yang telah dibangunkan semenjak tertubuhnya negara ini.
IKRAM sentiasa bersedia untuk menghulurkan sokongan terhadap usaha-usaha memulihkan institusi-institusi berkenaan.
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia