GAZA – Lebih setengah juta rakyat Palestin yang dipindahkan kembali ke Bandar Raya Gaza yang kini tinggal sebagai sisa runtuhan.
Mereka kembali beramai-ramai dari selatan Gaza ke penempatan mereka di utara selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang kini memasuki hari ketiga.
Ada yang menunggang keldai, menaiki lori dan berjalan kaki sambil membawa barangan yang terselamat daripada serangan udara Israel selama dua tahun, melibatkan ribuan keluarga melintasi Jalan Al-Rashid yang rosak teruk.
Ramai yang pulang hanya untuk mendapati rumah mereka telah musnah sepenuhnya.
Perjanjian gencatan senjata ini dimeterai dengan pengantaraan Amerika Syarikat, Mesir, Qatar dan Turkiye, melibatkan pertukaran tahanan besar-besaran.
Hamas dijangka membebaskan baki tebusan yang ditahan sejak serangan 7 Oktober 2023, manakala Israel telah mula memindahkan tahanan Palestin ke dua penjara sebelum pembebasan rasmi.
Sementara itu, persiapan sedang dijalankan untuk sidang kemuncak gencatan senjata Gaza di Sharm el-Sheikh, Mesir, yang dijangka dihadiri Presiden AS Donald Trump.
Menurut agensi pertahanan awam Gaza, skala kemusnahan adalah luar biasa.
“Lebih separuh juta orang telah kembali ke Bandar Raya Gaza sejak semalam,” kata jurucakap Mahmud Bassal.
Walaupun ada yang bersyukur rumah mereka masih berdiri, majoriti pulang ke kawasan yang telah hancur.
Gencatan senjata ini memberi harapan baharu kepada penduduk Gaza yang telah lama menderita akibat konflik berpanjangan.
Namun, cabaran pemulihan dan pembinaan semula kekal besar dan berisiko.
Sumber: Astro Awani