SHAH ALAM – “Ramai wanita yang menghadapi cabaran kesihatan mental secara senyap meskipun kelihatan normal di luar,” kata Pengerusi RDC Women Empowerment Conference, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh ketika membuka persidangan dengan menekankan kepentingan kesihatan mental wanita yang sering diabaikan.
“Statistik menunjukkan betapa pentingnya mewujudkan perbualan terbuka dan komuniti sokongan yang memperkasakan wanita untuk berkongsi pengalaman mereka,” tegas Ustazah Sallawahiu yang juga adalah Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).
Mengulas lanjut, beliau menyatakan, “Apabila wanita berasa diberi kuasa untuk berkongsi pengalaman mereka, keadaan ini dapat memupuk daya tahan dan membina rangkaian perpaduan melalui persefahaman bersama.”
Dalam ucapannya, Ustazah Sallawahiu turut menekankan peranan penting spiritualiti Islam dalam kesihatan emosi dan mental. Beliau mengaitkan amalan keagamaan seperti solat, zikir dan penglibatan komuniti sebagai penyumbang kepada ketenangan jiwa.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa ini tidak harus memberi tanggapan bahawa semua masalah mental berpunca daripada kekurangan spiritualiti.
Merujuk kepada pandangan ilmuwan Islam, Ibn al-Qayyim, beliau menegaskan bahawa kecelaruan emosi seperti kebimbangan dan kemurungan adalah cabaran yang sahih dan boleh diatasi melalui gabungan pendekatan spiritual dan klinikal.
Persidangan RDC Women Empowerment Conference yang bertemakan ‘Memperkasakan Komuniti Melalui Penjagaan Kesihatan Mental Wanita’ berlangsung semalam menyasarkan empat objektif utama iaitu memahami tahap pemahaman masyarakat terhadap kesihatan mental, menggalakkan kesejahteraan dan kesaksamaan, pembangunan komuniti dan advokasi serta pemahaman tentang penyakit mental dan kaedah rawatan berkaitan.
Persidangan ini menampilkan barisan penceramah dari rantau Asia Pasifik termasuk pakar psikologi, psikiatri, akademik senior, pembuat dasar dan pemimpin komuniti yang berpengaruh.
Antara pembentang dan ahli panel yang terlibat ialah Dr. Hanan Dover (Australia), Dr. Aevon Triche (Filipina), Dr. Nurashikin Ibrahim, Dr. Salmi Razali dan Dr. Jamilah Hanum (Malaysia) serta beberapa lagi tokoh terkemuka dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.
RDC Women Empowerment Conference 2024 (RDC WEC24) merupakan persidangan penganjuran bersama Regional Development Community (RDC), Wanita IKRAM dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan (KASIH Malaysia), Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
RDC WEC24 adalah salah satu daripada lima persidangan yang berlangsung di bawah RDC SUMMIT 2024, sebuah acara tahunan anjuran RDC.