Rasuah: Memanusiakan Pencegahan, Merakyatkan Kesedaran

Rasuah: Memanusiakan Pencegahan, Merakyatkan Kesedaran

SHAH ALAM – Menjadi tanggungjawab bersama tanpa mengira latar belakang, agama, etnik, gender dan politik untuk menangani gejala rasuah dengan pendekatan memanusiakan pencegahan dan merakyatkan kesedaran.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dato’ Dr Sivamurugan Pandian, kesemua itu harus berdasarkan kepada usaha untuk membina nilai-nilai murni yang ada dalam diri iaitu nilai sahsiah, akhlak dan akidah, melalui peranan ejen sosialisasi yang bermula daripada keluarga.

“Keluarga harus mendidik, mengasuh, mengajar, menyemai nilai-nilai tersebut, bagaimana untuk membolehkan kita faham, hormat dan terima nilai-nilai yang sepatutnya menjadi tingkah laku dalam pembentukan karakter, perwatakan dan juga personaliti,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Bicara Bina Negara bertajuk ‘Sudah Hilangkah Maruah?’ sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Forum Bicara Bina Negara dianjurkan bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Rasuah Busters dan Sinar Harian.

Tambah Dr Sivamurugan, nilai-nilai murni tersebut perlu difahami dan diterapkan, serta dijadikan sebagai satu amalan darah daging kita.

“Jika kita tidak menjadikan ia sebagai satu amalan, maka gagallah kita dalam proses untuk melihat ia sebagai maruah diri kita.”

“Di manakah maruah diri kita jika kita sanggup untuk menggadaikan sesuatu semata-mata untuk memperolehi dengan cara yang tidak dibenarkan oleh mana-mana agama sekalipun?” soal beliau.

Beliau percaya, walaupun ada tanggapan bahawa ada sesuatu kaum yang mendominasi jenayah rasuah, tetapi dalam konteks untuk merasionalkannya, ia berlaku dalam mana-mana kaum sekalipun.

“Dan untuk menghentikannya juga, kita harus kembali kepada soal nilai murni yang menjadi asas kepada pembinaan jati diri kita, akhlak, sahsiah dan juga akidah.”

Forum Bicara Bina Negara menampilkan seorang lagi ahli panel iaitu Pengarah Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional Universiti Malaya (UM LEAD), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.

Menurut Dr Anis, semua parti politik di negara ini perlu berani mengubah persepsi bahawa wakil rakyat bukan lagi tempat untuk mendapatkan bantuan kewangan sekiranya mahu membebaskan Malaysia daripada belenggu rasuah.

“Di sinilah pentingnya literasi atau pendidikan politik kepada rakyat supaya tidak ada yang berterusan mengharapkan bantuan kewangan daripada pemimpin untuk menyelesaikan masalah mereka,” kata beliau.

Tambahnya, rakyat perlu tahu bahawa ada tiga peringkat kerajaan iaitu kerajaan tempatan, negeri dan Persekutuan yang mempunyai peranan masing-masing.

Contohnya, kerajaan tempatan tanggungjawabnya menjaga parit tersumbat serta isu-isu setempat yang lain. Di peringkat negeri pula ada peranan dan begitu juga kerajaan pusat.

“Parti politik di negara ini mungkin perlu bermula dari sekarang (untuk beri kefahaman) sebab sehingga kini saya masih belum nampak ada mana-mana parti yang mengadakan kursus untuk mendidik masyarakat tentang demokrasi,” ujarnya.

Tambah beliau, perlu difahami bahawa tanggungjawab wakil rakyat adalah membuat dasar dan undang-undang di Parlimen, bukan pulang ke kawasan untuk beri duit kepada rakyat.

“Inilah perubahan yang perlu dibuat segera, jika tidak masalah rasuah ini akan berterusan dan tidak selesai,” tegasnya.

Beliau turut menyarankan pelbagai pendekatan mendidik masyarakat membenci rasuah seperti mencipta nursery rhymes untuk kanak-kanak, teater, deklamasi puisi, pantun, nasyid berunsut nasihat dan sebagainya.

“Jadi, usaha integriti dan integrasi perlu hand in hand, sebab memang dua perkara yang akan jadi masalah pada Malaysia.”

“Dan kita perlu melaksanakan pelbagai usaha untuk menyedarkan peri pentingnya kedua-dua perkara ini untuk Malaysia maju ke depan,” kata Dr Anis lagi.

Sebelumnya, Bicara Bina Negara tersebut diserikan dengan ucaptama Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof.

Turut hadir Ketua Pasukan Rasuah Busters, Dato’ Hussamuddin Yaacub, Presiden IKRAM Hj Badlishah Sham Baharin, Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) Ir Stanley Yong Yew Wei, Timbalan Presiden IKRAM Jusni Yusoff, Ahli JKP Dr Sabariah Baharun, Hj Ainullotfi Abdul Latif , Hj Azman Abd Rashid dan Dr Maznah Ahmad.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia