Kempen, pendidikan mahupun peringatan secara berterusan perlulah dilakukan oleh kita semua bagi membanteras gejala rasuah.
Bukan sedikit waktu yang diperlukan apalagi bukan sesuatu yang mudah untuk direalisasi jika semua pihak tidak bergandingan melaksanakan peranan bagi mencapai tujuan itu.
Perjalanan atau usaha-usaha yang dilakukan perlulah berterusan dan bersama. Seperti kata Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Dato’ Hussamuddin Yaacub ketika majlis pelancaran buku ‘Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu’ pada 22 September 2022 lalu:
“Setiap kita adalah nakhoda kapal, kemudi ada di tangan kita. Pilihlah corak kepimpinan dan pemimpin yang bermaruah, pemimpin yang berprinsip, pemimpin yang mengutamakan rakyat, juga pemimpin yang dapat membina serta membangunkan negara ini.”
“Dan bukan pemimpin yang menjadikan rakyat alat dan kuda tunggangan untuk memenuhi cita-cita peribadi mereka.”
Kita semua seharusnya bersatu merealisasikan sebuah negara yang bebas rasuah agar aman, sejahtera dan harmoni serta terus menyerlah hingga ke seantero dunia.
Ketirisan hasil negara yang berlaku disebabkan rasuah semakin menjadi-jadi, berlaku di serata tempat dan di pelbagai peringkat. Wang negara yang diselewengkan, bocor dan tiris di sana sini kerana memenuhi sifat tamak dan kepentingan peribadi.
Sampai bilakah kita terus leka dan tenggelam dalam pendustaan mereka yang tidak bertanggungjawab ini?
Persepsi Politik dan Rasuah
Teringat saya kisah ketika menghadiri pelancaran buku ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu’ pada minggu lalu di Kompleks Kumpulan Karangkraf, tanpa sengaja terdengar perbualan dua orang yang duduk di sebelah. Maka beralihlah sekejap pendengaran ini.
“Orang politik ni memang itu je kerja dia. Makan rasuah tu biasa. Dah darah daging dia.”
Dan kawannya pun membalas, “Mana ada politik bersih. Semua kotor macam najis. Pembongak besar je orang politik tu. Rasuah makanan harian mereka dah.”
Dan dibalas lagi orang yang pertama tadi, “Memang. Orang politik ni najis je. Macam mana la mati mereka nanti.”
Belum sempat mereka berbalas kata selanjutnya, kawannya yang lain menyapa..
Begitulah, pemikiran mereka yang tampak daripada pemakaiannya seperti pegawai kerajaan, tetapi berfikiran sempit dan dangkal sedemikian.
Sedari awal mendengar perbualan mereka itu, terasa macam ingin saja mencelah dan membetulkan segala yang diungkapkan mereka itu. Namun, saya lebih memberi fokus kepada skrin besar yang memaparkan isu besar yang disampaikan oleh Sultan Perak.
Sayang sekali pemikiran mereka yang sedemikian. Hakikatnya politik itu bersih, mengajar tentang amanah, integriti, sabar, tanggungjawab dan bermacam lagi yang baik-baik.
Jika ke arah yang baik dan benar panduannya, meraih gunungan balasan pahala. Ya, benar, jika sebaliknya, memanglah seperti apa yang mereka katakan. Moga orang seperti mereka mendapat petunjuk yang benar.
Dalam pada itu, saya terfikir juga bagaimana persepsi atau pandangan masyarakat di pelosok kampung-kampung tentang politik dan rasuah. Barangkali, ia menjadi sesuatu yang di luar jangka sebagaimana kisah perbualan yang diketengahkan itu.
Negara Musnah Kerana Rasuah
Ketika Pelancaran buku itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah:
“Rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.”
Rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara.
Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran, ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan.
“Kekayaan negara disalah guna, hasil-mahsul lesap. Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak.”
Baginda bertitah, apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa.
Melalui titah yang disampaikan baginda Sultan Negeri Perak itu, adalah satu gambaran jelas bahawa rasuah ini sangat merosakkan negara hingga mampu melumpuh dan melenyapkan segala hasilnya.
Dengan bahasa mudahnya, rasuah akan menjahanam dan memusnahkan negara!
Dalam pada itu, mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, ketika hadir dalam Wacana Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu yang dianjurkan Sinar Harian berkata:
“Nampaknya undang-undang telah berkuat kuasa, pertama kali pucuk pimpinan tertinggi di dalam negara diambil tindakan yang sangat memalukan hingga menjadi persoalan di pelbagai peringkat.”
Menurutnya lagi, itu sebagai satu pengajaran, proses perasaan pengetahuan, apa yang harus diambil tindakan berasaskan undang-undang dalam negara ini.
Banteras Dengan Konsisten
Rakyat harus berani mengakui bahawa amalan rasuah sedang berlaku pada skala yang membahayakan. Malaysia dalam kancah bahaya dek kerana gejala rasuah yang berleluasa.
Kerana rasuah jugalah ekonomi haram di negara kita sangat besar. Laporan Integriti Kewangan Global (Global Financial Integrity Report) 2017, Malaysia rugi RM1.8 trilion antara 2005 dan 2014 akibat pengaliran duit haram yang sebahagiannya berpunca daripada kegiatan rasuah.
Dan yang paling tragis, jumlah tersebut lebih daripada cukup untuk menampung hutang dan tanggungan hutang kerajaan sebanyak RM1.18 trilion!
Maka, peranan utama kita sebagai rakyat ialah berusaha membanterasnya dari yang sekecil-kecil unsur yang melibatkan korupsi hinggalah ke tahap yang dilakukan oleh ahli politik dan pemimpin negara. Segalanya perlu diteruskan tanpa henti.
Ingatlah kata-kata Dato’ Hussamuddin Yaacub ini, yang juga Ketua pasukan #RasuahBusters:
“Kita tidak perlu bina kubu seperti tembok China untuk membentengi negara daripada musuh. Cukup untuk kita bina tembok moral dan keimanan untuk pertahanan diri yang membentengi rasuah daripada terus-terusan membarah.”
Justeru, jadilah diri kita sendiri dengan sedaya dan sekuat tenaga bersatu membasmi budaya rasuah yang merosakkan ini.
Walau siapa pun kita, dan di mana pun berada, seharusnya kita meletakkan diri kita sebagai ejen-ejen pembasmi virus perosak ini. Jika tidak demikian, ia akan terus merebak dan membarah hingga menjadi virus yang sukar divaksin mahupun disembuhkan lagi.
Pengorbanan Dihargai
Bekas Menteri Kewangan Indonesia, yang juga mantan Pengarah Pelaksana Bank Dunia, Dr Sri Mulyani Indrawati berkata mengenai korupsi, “Berani melakukan perubahan dan melawan korupsi adalah sesuatu yang membuat kita lebih dihargai.”
Tentu sekali ia perlukan pengorbanan yang besar dan mengambil waktu yang panjang untuk terus melawan dan menghapuskan kejahatan ini. Apabila segalanya itu dapat dijayakan, ia tentu menjadi sesuatu yang sangat dihargai apatah lagi dikenang kerana usaha-usaha tersebut membuahkan hasil.
Jika najis rasuah ini tidak dibenteras, nescaya makin banyak lagi kerosakan berlaku. Pemimpin korup dan pemberi rasuah semakin kaya, rakyat semakin miskin dan negara semakin mundur.
Hukuman yang sangat tegas harus dikenakan terhadap pemberi rasuah dan penerima rasuah. Setakat denda dan penjara sudah tidak dapat mencegah masyarakat daripada memberi dan menerima rasuah.
Sudah tiba masanya perasuah dan penerima rasuah dikenakan hukuman sebat. Tidak terkecuali, ada yang mencadangkan agar penerima rasuah dihukum tembak sebagaimana dilakukan di China.
Justeru, advokasi pendidikan dan kesedaran mengenai bahaya rasuah serta penguatkuasaan undang-undang harus berjalan seiring. Membanteras jenayah rasuah adalah tanggungjawab bersama. Ia bukan hanya tanggungjawab #RasuahBusters, penguat kuasa atau pemimpin, tetapi kita semua harus memainkan peranan.
Memetik kata-kata mantan ketua Pengarang Kumpulan Akhbar New Straits Times, Datuk Kadir Jasin dalam Komentarnya di Sinar Ahad yang bertajuk ‘Semua Orang Pikul Beban Rasuah’:
“Kalau kita nak bersihkan negara daripada najis rasuah ini, kita tak boleh benarkan Umno/BN balik berkuasa macam zaman Najib. Umno/BN kena taubat dan bersihkan dirinya daripada rasuah.”
Namun hakikatnya, walau siapa pun dan apa pun pangkat juga darjat seseorang itu, apabila rasuah yang dilakukannya, wajiblah kita menolak dan menentang mereka dengan konsisten tanpa kompromi.
Maka, memberikan pemahaman yang mudah dan jelas kepada setiap lapisan masyarakat agar menghindarkan diri dengan wabak yang semakin berleluasa ini perlu berterusan tanpa henti.
Ayuh selamatkan Malaysia!
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia