Rahsia Qalb: Sains Moden Bukti Kebenaran Hadis

hadis

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Ketahuilah, sesungguhnya dalam jasad ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, ia adalah qalb.” (HR al-Bukhari, 52)

Hadis ini terkenal dalam kalangan umat Islam, namun pernahkah kita terfikir, apakah maksud sebenar “seketul daging” yang dinyatakan dalam hadis tersebut? Adakah  hati yang terletak di bahagian perut, atau jantung yang berdegup di dada?

Kekeliruan istilah hati atau jantung 

Dalam bahasa Melayu, perkataan “hati” sering digunakan untuk menterjemahkan kalimah Arab “qalb”. Namun, dari sudut anatomi, hati sebenarnya merujuk kepada organ liver iaitu organ yang berwarna perang kemerah-merahan di bahagian perut yang berfungsi menapis darah serta menghasilkan hempedu. Dalam bahasa Arab, organ ini dikenali sebagai kibdun.

Dalam Kamus Mu’jam al-Wasit dan Lisan al-‘Arab karya Ibnu Manzur, qalb merujuk kepada jantung, iaitu organ yang menjadi pusat peredaran darah dan terletak di dada sebelah kiri.

Justeru, apabila hadis menyebut “seketul daging” sebenarnya merujuk kepada jantung. Apa yang menarik lagi, perkataan qalb berasal daripada kata kerja qalaba yang bermaksud berubah, berpindah atau berbolak-balik.

Penamaan jantung ini bertepatan memandangkan jantung sentiasa berdegup tanpa henti, mengepam darah ke seluruh anggota tubuh badan. Begitu juga dari sudut spiritual, qalb sentiasa berbolak-balik antara yakin dan ragu, tenang dan gundah, taat dan derhaka.

Definisi qalb menurut al-Ghazali

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin membahagikan qalb kepada dua definisi iaitu:

Pertama, qalb fizikal iaitu daging berbentuk shanaubar (bundar memanjang) yang terletak di bahagian kiri dada. Di dalamnya terdapat rongga-rongga yang menyalurkan darah serta berperanan sebagai sumber nyawa manusia. Qalb dalam pengertian fizikal ini wujud pada manusia dan juga haiwan.

Kedua, qalb spiritual iaitu sesuatu yang bersifat halus (latifah) dan bersifat ketuhanan (rabbaniyyah). Qalb dalam pengertian ini menggambarkan hakikat diri manusia yang berfungsi untuk merasai, mengenali dan mengetahui sesuatu perkara. 

Al-Ghazali menegaskan bahawa qalb fizikal dan qalb spiritual ini saling berkaitan, namun hubungan antara kedua-duanya termasuk dalam ilmu mukasyafah yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Justeru, apabila hadis menyatakan bahawa baik atau rosak seluruh jasad bergantung kepada qalb, ia merujuk kepada kedua-dua komponen iaitu kesihatan jantung fizikal dan kebersihan hati spiritual.

Penemuan sains: Jantung mempunyai “otak kecil”

Sains moden kini mula mengesahkan apa yang dinyatakan oleh Islam lebih 1,400 tahun dahulu. Dr. J. Andrew Armour (1991), seorang pakar neurokardiologi memperkenalkan konsep “otak jantung” (heart brain) melalui kajiannya bertajuk Anatomy and Function of the Intrathoracic Neurons Regulating the Mammalian Heart.

Kajiannya mendapati bahawa jantung mempunyai sistem saraf intrinsiknya sendiri yang mengandungi lebih 40,000 neuron serta mempunyai fungsi yang sama dengan neuron dalam otak.

Yang lebih mengagumkan, kajian Dr. J. Andrew turut menemui bahawa jantung menghantar lebih banyak isyarat kepada otak berbanding otak menghantar isyarat kepada jantung. Isyarat-isyarat ini mempengaruhi fungsi minda termasuk memproses emosi, tumpuan, ingatan dan kemampuan membuat keputusan.

Kajian seterusnya yang dilakukan oleh HeartMath Institute bertajuk The Coherent Heart: Heart-Brain Interactions, Psychophysiological Coherence, and the Emergence of System-Wide Order (2009) pula mendapati bahawa corak degupan jantung mempunyai kesan langsung terhadap fungsi otak.

Ketika seseorang mengalami stres atau dalam emosi yang negatif, corak degupan jantung menjadi tidak teratur dan kencang. Isyarat yang dihantar ke otak dalam keadaan ini menghalang fungsi minda.

Keadaan ini menyebabkan seseorang sukar berfikir secara normal, mengingat dan membuat keputusan yang baik. Sebaliknya, ketika seseorang mengalami emosi positif seperti berasa syukur dan tenang, corak degupan jantungnya menjadi teratur dan stabil, seterusnya meningkatkan fungsi minda dan mengukuhkan perasaan yang lebih positif.

Penemuan ini mengesahkan maksud hadis tersebut iaitu apabila qalb dalam keadaan sihat dan tenang, bukan sahaja tubuh menjadi sihat, malah minda turut bersih dan tindakan seseorang itu menjadi lebih baik.

Patah hati: Emosi merosakkan jantung 

Sains turut membuktikan bahawa emosi boleh merosakkan jantung secara fizikal melalui keadaan yang dipanggil takotsubo syndrome atau sindrom patah hati (broken heart syndrome).

Istilah ini dikenal pasti di Jepun pada tahun 1990, sindrom ini berlaku apabila seseorang mengalami tekanan emosi yang kuat seperti kehilangan orang tersayang, perceraian atau menerima berita yang mengejut.

Ketika itu, hormon stres seperti kortisol dan adrenalin yang dilepaskan secara mengejut menyebabkan otot jantung akan mengalami kelemahan. Antara simptom yang akan dialami oleh seseorang ketika itu menyerupai serangan jantung iaitu sakit dada dan sesak nafas walaupun tiada penyumbatan pada arteri koronari.

Menurut kajian bertajuk High Mortality and Complications in Patients Admitted With Takotsubo Cardiomyopathy yang diterbitkan dalam Journal of the American Heart Association (2025), kadar kematian akibat sindrom ini adalah sekitar 6.5 peratus.

Hal ini membuktikan bahawa patah hati bukan sahaja boleh menjejaskan perasaan, malah mampu membawa kemudaratan kepada jantung.

Menjaga qalb, menjaga diri 

Penemuan sains moden ini mengukuhkan kebenaran hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama Islam seperti al-Ghazali. Qalb bukan sekadar organ fizikal yang mengepam darah, malah sebagai pusat spiritual yang menentukan keseluruhan keadaan manusia.

Marilah kita mulakan lembaran baharu 2026 dengan hati yang bersih. Menjaga kesihatan qalb memerlukan pendekatan holistik iaitu menjaga kesihatan jantung fizikal melalui pemakanan dan gaya hidup sihat serta menjaga kesihatan qalb spiritual melalui zikir, istighfar dan taubat sebagaimana yang disarankan al-Ghazali.

Apabila qalb kita terpelihara, kita mampu menjaga diri sendiri, menyelamatkan keluarga dan membina masyarakat yang sejahtera. Firman Allah SWT bermaksud: 

Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang..” (Surah al-Ra’d: 28)

Mulakan 2026 dengan qalb yang sihat, fizikal dan spiritual.

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia