SERI KEMBANGAN – Kadar kebolehjangkitan atau R-naught melebihi purata kebangsaan 1.08, dicatatkan di 14 negeri dan wilayah.
Namun, kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia terus mencatatkan trend penurunan selama empat hari berturut-turut dan pada Ahad, ia susut kepada 1.08 berbanding 1.10 pada hari sebelumnya.
Negeri Perlis merekodkan kadar tertinggi dengan 1.53 diikuti Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Putrajaya dan Pahang.
Ia seterusnya diikuti Johor, Kuala Lumpur, Sarawak, Melaka, Selangor dan negeri yang mencatatkan kadar di bawah purata kebangsaan ialah Negeri Sembilan dan Labuan.
Sebagaimana yang dilaporkan sebelumnya, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu, manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.
Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Dalam pada itu, sebanyak 60.9 peratus populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19, setakat Ahad.
Menurut data Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian dos kedua bagi populasi dewasa pula menghampiri 30 peratus iaitu 29.7 peratus.
Ini menunjukkan jumlah kumulatif suntikan dos vaksin Covid-19 di negara ini melepasi 21,200,473 dos keseluruhan. Manakala jumlah pemberian suntikan harian vaksin dos pertama dan kedua merekodkan 480,122 dos pada Ahad.
Daripada keseluruhan suntikan vaksin, sebanyak 14,247,659 adalah bagi dos pertama manakala 6,952, 814 bagi dos kedua melibatkan populasi dewasa.
Enam kawasan/negeri mencatatkan pemberian vaksin melebihi 50 peratus bagi dos pertama populasi dewasa iaitu Lembah Klang (96.7 peratus), Labuan (95.1 peratus), Sarawak (84.6 peratus), Negeri Sembilan (72.5 peratus), Perlis (62.2 peratus) dan Pulau Pinang (56.2 peratus).
Seterusnya, negeri yang lengkap dos kedua melebihi 50 peratus populasi dewasa adalah Labuan dan Sarawak apabila masing-masing mencatatkan 81.5 peratus dan 65.7 peratus.