Hari ini kita telah pun berada dalam bulan Zulhijjah. Minggu hadapan, para tetamu Allah di bumi suci Mekah akan berwukuf di Arafah. Semoga Allah SWT mengurniakan mereka dengan haji yang mabrur.
Manakala, umat Islam yang tidak menunaikan haji, mereka disunatkan untuk berpuasa pada hari Arafah. Keesokan harinya, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Eid-ul-Adha.
Seiring dengan hari besar ini, umat Islam yang berkemampuan adalah disuruh untuk berqurban sebagaimana dalam hadith Nabi SAW:
“Sebaik-baik amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Haji ialah menyembelih qurban. Sesungguhnya binatang qurban yang telah disembelihkan itu pada hari kiamat kelak akan dibangkitkan dengan tanduk-tanduk, bulu-bulu dan kuku-kukunya (yakni lengkap dan sempurna anggotanya). Sesungguhnya darah yang mengalir dari sembelihan qurban itu mendapat penghargaan daripada Allah dengan diredhaiNya dan diterimaNya sebelum ia menitis ke tanah.” (Hadith Riwayat Tirmidzi dan Al-Hakim)
Dan sebuah lagi hadith:
“Barangsiapa yang memiliki kemampuan (untuk membeli haiwan qurban), lalu tidak melakukannya (tidak berkorban), maka janganlah mendekati tempat solatku.” (Hadith Riwayat Ahmad)
Oleh itu, amalan melaksanakan qurban ini sangatlah dituntut oleh Islam.
Alhamdulillah, di Malaysia, qurban sudah menjadi budaya masyarakat kita. Setiap tahun, boleh dikatakan hampir semua masjid dan surau akan menganjurkan program qurban.
Kerapkali juga pihak masjid dan surau terpaksa mengehadkan pelaksanaan qurban ini walaupun masih ramai lagi yang ingin turut serta.
Sehubungan dengan itu, Qurban Kasih Ummah (QKU) yng kini masuk tahun ke-16 dianjurkan, antaranya untuk:
- membantu mereka yang tidak berpeluang di lokaliti masing-masing untuk berqurban
- mempermudahkan urusan pelaksanaan qurban untuk masyarakat
- menyebarkan manfaat qurban kepada umat Islam yang lebih memerlukan.
Untuk memastikan semua penyertaan qurban ini dilaksanakan, Sekretariat QKU telah pun memulakan fasa agihan haiwan qurban ke negara-negara yang telah ditetapkan.
Untuk fasa pertama agihan, sebanyak 104 ekor lembu dan 243 ekor kambing telah dan akan diagihkan. Daripada jumlah tersebut, 13 ekor lembu adalah untuk qurban khas Palestin dan 130 ekor kambing untuk qurban khas Syria.
Pada hari-hari akhir sebelum Eid-ul-Adha ini, penyertaan yang diterima oleh QKU adalah semakin rancak. Untuk itu, fasa kedua agihan akan dilaksanakan pada minggu hadapan.
Bersempena dengan program qurban tahun ini, Sekretariat QKU telah melancarkan projek sumbangan untuk Vietnam dan Filipina. Kami juga sangat berterima kasih kepada para dermawan atas sumbangan yang kini berjumlah RM24,791.02.
Untuk bantuan ke Vietnam, sumbangan adalah dalam bentuk tajaan untuk pelajar yang sedang belajar di Malaysia dan pembukaan sebuah madrasah di daerah Tay Ninh. Manakala sumbangan ke Filipina akan disalurkan ke beberapa madrasah yang memerlukan bantuan.
Sekretariat QKU juga akan membawa rombongan ziarah ke Filipina untuk:
- menyaksikan sendiri pelaksanaan qurban di sana
- melihat sendiri tahap kehidupan umat Islam di sana dan
- membuka mata masyarakat di Malaysia untuk menjadikan Mindanao sebagai destinasi untuk mereka menyumbang dan berziarah.
Dengan ini, pihak Sekretariat QKU mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah turut serta bersama program QKU.
InsyaAllah, sumbangan anda semua akan mendatangkan manfaat yang sangat besar kepada mereka yang memerlukan. Semoga Allah SWT memberkati sumbangan dan bantuan yang kita hulurkan dengan ganjaran yang lebih baik di dunia dan di akhirat kelak.
Sekian, terima kasih.
HAJI TUAN YAACOB TUAN SOF
Pengarah Program
Qurban Kasih Ummah 2014/1435H
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Foto sidang media: http://on.fb.me/1uLqCST