SHAH ALAM – Persidangan Wanita Selangor (PWS 2022) sedang berlangsung bermula 23 Ogos hingga 25 Ogos dengan mengangkat tema ‘Cabaran Wanita Pasca Pandemik: Ke Arah Selangor Saksama, Sejahtera dan Inklusif’.
Persidangan ini merupakan penganjuran kali kedua oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS) bersama rakan kolaborasi Universiti Selangor (UNISEL) dan Open University Malaysia (OUM).
Topik yang luas dan pelbagai diperbincangkan dalam persidangan ini merangkumi isu dan cabaran kekeluargaan, kewangan, ekonomi, gender, agama, politik, sains dan teknologi, seni, media, kesihatan, pendidikan, keusahawanan, perubahan iklim dan keselamatan bandar.
Pegawai Eksekutif di Pertubuhan IKRAM Malaysia, Puan Atriza Umar menjadi salah seorang pembentang dalam persidangan yang melibatkan 31 kertas kerja, dengan tajuk ‘Keterlibatan Wanita Sebagai Pemimpin Tertinggi Negara’ hari ini.
Kata beliau, wanita pernah menjadi pemimpin tertinggi negara mengikut para ilmuwan Islam. Jika tiada kajian yang lepas, tentunya perkara ini tidak akan dibincangkan oleh ulama silam.
“Namun tahap keterlibatan wanita dalam peringkat tertinggi negara dalam sejarah Islam masih rendah dan perkara ini berterusan di kebanyakan negara hingga ke hari ini,” jelasnya semasa pembentangan.
Yang menarik menurutnya, beberapa negara telah menonjolkan beberapa kepimpinan wanita sebagai Perdana Menteri atau Presiden.
“Wanita sering dianggap lemah dan tidak mampu berfikir secara rasional dalam sesuatu hal, tetapi faktor berhubung kait yang membataskan wanita menjadi kepimpinan negara harus dikaji dan diperhalusi,” ujar Atriza.
Beliau juga menyifatkan bahawa inisiatif yang dilakukan oleh Wanita Berdaya Selangor adalah usaha yang serius bagi memartabatkan wanita sebagai keutamaan di persada sosial dan politik negara.
Persidangan Wanita Selangor 2022 yang berlangsung di MBSA Convention Centre ini mengumpulkan para pemegang taruh dalam pelbagai bidang termasuk agensi kerajaan, NGO, swasta, mahasiswa mahupun individu.
Semoga persidangan ini menjadi platform efektif untuk mewujudkan dan meningkatkan kesedaran, berkongsi dan bertukar idea, maklumat dan cadangan ke arah penambahbaikan dalam isu-isu yang diperbincangkan bagi meningkatkan pemberdayaan wanita.
Hasil pembentangan daripada persidangan ini diharap akan menjadi kerangka untuk memastikan pelan tindakan pembangunan wanita negeri ini lebih berkesan.