SIJANGKANG – Yayasan Ikram Malaysia (yaIKRAM) menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa kejadian puting beliung yang melanda Kampung Medan, Sijangkang pada 15 Oktober lalu.
Oleh itu, yaIKRAM telah mengadakan lawatan ke dua sekolah dan kawasan kediaman yang terjejas selain menyampaikan bantuan kepada keluarga yang terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif yaIKRAM, Ts. Dr. Zaharuddin Saidon, telah menziarahi Sekolah Rendah Kampung Medan dan Sekolah Rendah Agama Kampung Medan pada 16 Oktober bagi meninjau keadaan terkini dua sekolah yang terjejas akibat kejadian tersebut.
Dalam lawatan itu, beliau menzahirkan rasa simpati terhadap guru-guru, murid-murid dan seluruh warga sekolah yang terkesan serta memberi jaminan bahawa pihak yaIKRAM akan meneliti keperluan segera bagi membantu pihak sekolah.
“Yayasan Ikram Malaysia komited untuk meneliti bentuk bantuan yang sesuai bagi meringankan beban pihak sekolah serta memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan dengan selamat dan lancar,” ujar Ts. Dr. Zaharuddin.

Selain meninjau kerosakan di sekolah, pasukan yaIKRAM Kuala Langat yang diketuai oleh Dr. Siti Zariah bersama Ahli Jawatankuasa IKRAM Kuala Langat pada Selasa lalu turut mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan rumah-rumah penduduk yang terkesan akibat ribut berkenaan.
Sebagai tanda keprihatinan, setiap isi rumah yang terjejas menerima bantuan tunai sebanyak RM500 bagi membantu meringankan beban dan menyokong usaha mereka membaik pulih kediaman yang rosak.
Hasil tinjauan mendapati Taman Medan Indah merupakan antara kawasan yang mengalami kerosakan paling teruk susulan kejadian puting beliung tersebut.
Dalam pada itu, yaIKRAM mendoakan semua mangsa yang tercedera segera sembuh dan seluruh warga yang terkesan diberikan kekuatan menghadapi ujian ini.
Bantuan yang disalurkan ini diharap dapat sedikit sebanyak mengurangkan kesusahan yang dialami serta memberi semangat untuk bangkit semula selepas bencana.
Sama-sama kita doakan keselamatan dan ketabahan semua mangsa banjir di Sejakang. Semoga mereka dilindungi daripada sebarang musibah dan dipermudahkan segala urusan pemindahan serta bantuan. Moga air segera surut dan kehidupan mereka kembali tenang seperti sediakala. Bersama kita hulur tangan membantu.




