Pertubuhan IKRAM Malaysia menerima baik keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia berkaitan rayuan yang dikemukakan oleh Pusat Pendidikan Al-Hidayah Ipoh, Perak semalam.
Mengikut pihak mahkamah, pihak sekolah masih didapati bersalah kerana memberhentikan guru-guru dengan tidak mengikut prosidur yang betul. Manakala sekolah diperintahkan membayar satu bulan gaji, selari dengan kontrak pekerjaan di mana jika pihak sekolah berhasrat untuk memberhentikan pekerja, hendaklah memberikan tiga bulan notis atau membayar satu bulan gaji.
Mahkamah Rayuan semalam menerima rayuan pihak sekolah bagi mengurangkan bayaran, daripada dua puluh empat bulan gaji kepada satu bulan sahaja.
Terdahulu pihak sekolah telah memberi cuti bergaji selama tiga bulan sebelum menamatkan perkhidmatan, namun ini telah tidak diterima oleh pihak mahkamah sebagai bayaran penamatan perkhidmatan kerana surat berkaitan tidak menyatakan perkara tersebut dengan jelas.
IKRAM berharap keputusan Mahkamah Rayuan semalam adalah merupakan pengakhiran kepada kes tersebut.
Hasrat pihak sekolah untuk memastikan agar mereka yang memimpin sekolah-sekolah hendaklah terdiri dari kalangan yang mendokong aspirasi sekolah dan aspirasi IKRAM-MUSLEH, badan yang memayungi sekolah berkenaan, haruslah dihormati.
Prof Dr Omar Yaakub
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia
3 April 2014