PRU15: Satu Undi Demi Masa Depan Anda

PRU15: Satu Undi Demi Masa Depan Anda | IKRAM

Susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang telah berkuatkuasa pada Disember 2021, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang bakal menyaksikan pertambahan signifikan pengundi baharu lebih daripada 50 peratus.

Tiga daripada 10 orang pengundi mewakili pengundi baharu yang sudah tersenarai dalam Daftar Pemilih melalui pertambahan pengundi 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik. 

Sekali pintas membacanya, mungkin wujud rasa teruja dengan hasil keputusan daripada peningkatan mendadak undi baharu yang mampu menjadi ‘kingmaker’ lantas mengubah landskap politik negara.  

Persoalannya, adakah kelompok ini menyedari mereka sudah layak mengundi dan lebih penting lagi, adakah mereka mahu turun mengundi? 

Satu Undi Berharga 

Setiap undi adalah bermakna walaupun hanya daripada seorang individu. Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya First Past The Post (undian pemenang undi terbanyak) yang berdasarkan kemenangan majoriti mudah.

Melalui sistem undian ini, pemenang dipilih daripada kalangan calon yang mendapat undi terbanyak mengalahkan calon-calon lain. 

Pernah terjadi dalam PRU13, jumlah undi 5,623,984 yang diperolehi Pakatan Rakyat mengatasi undi yang diperolehi daripada Barisan Nasional yang berjumlah 5,237,699. 

Namun, berdasarkan sistem First Past The Post yang diamalkan, Barisan Nasional adalah parti yang layak membentuk kerajaan pada PRU13 pada masa itu berdasarkan jumlah kerusi terbanyak yang dimenangi olah calon parti tersebut. 

Satu undi mungkin tidak terlihat jelas secara langsung menentukan kerajaan yang memerintah, tetapi satu undi yang disertai oleh undi-undi orang lain di DUN atau Parlimen tempat undian tersebut jelas sangat penting dalam menentukan keputusan pilihan raya secara keseluruhan. 

Segelintir kelompok memilih untuk tidak mahu ambil tahu dan tidak mahu kisah dengan apa jua perkembangan politik di tanah air. Barangkali dicetus oleh rasa muak dan jijik terhadap pergelutan kuasa, taburan janji kosong dan keruntuhan kredibiliti pimpinan. 

Namun, sedarlah bahawa politik mengesani kehidupan setiap individu sama ada memilih untuk menjauhinya atau menyertainya. Hakikatnya apa jua pelaksanaan dasar dan polisi di pihak kerajaan akan mengesani kesejahteraan kehidupan rakyat. 

Undi Memelihara Demokrasi

Demokrasi tertegak selagi rakyat percaya undian mereka mampu menentukan pemimpin yang dipilih.

Apabila ramai orang cakna, menyedari dan turut serta terlibat berperanan dalam menentukan masa depan negara serta menggunakan hak mereka untuk mengundi, ahli politik akan merasa mustahak dan penting untuk melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab tanpa culas.

Jika ramai orang tidak mengambil bahagian dan tidak ambil endah, ini boleh menyebab kedudukan ahli politik dirasakan selesa tanpa dicabar hingga mudah berlaku penyelewengan kuasa dan penyalahgunaan harta.

Akibatnya, isu rakyat mungkin dianggap tidak begitu penting melebihi kepentingan diri dan parti. Rakyat yang berperanan secara aktif dan agresif akan melindungi sistem demokrasi sebagai alat semak imbang yang kukuh. 

Penentu Agenda Rakyat

Dasar dan polisi kerajaan yang dikukuhkan melalui penguatkuasaan undang-undang mempengaruhi kesejahteraan hidup rakyat yang sepatutnya merangkumi semua kumpulan etnik, agama, budaya, gender tanpa mengira kefahaman politik yang dianuti.

Setiap rakyat harus diberikan peluang tanpa ada yang terpinggir dan tercicir dalam rancangan pembangunan negara bagi menikmati kesejahteraan hidup. 

Keperluan asas individu harus dipenuhi dan mendapat pembelaan tanpa ada yang tercicir dan terpinggir.

Ini turut merangkumi kebebasan untuk melaksanakan amalan dalam agama, memperolehi akses mendapatkan pendidikan yang berkualiti sehingga peringkat tertinggi, perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, jaminan keselamatan, kos kehidupan yang munasabah dan memperolehi peluang kerja yang luas.

Bajet negara yang dibentangkan pula merupakan wang rakyat yang diamanahkan kepada pihak kerajaan untuk diuruskan dengan cekap dan amanah melalui agihan yang adil kepada pihak yang disasarkan.

Salah satu pendapatan negara adalah melalui cukai yang dipotong berkala melalui pendapatan gaji bulanan majoriti M40. Pengundian dapat menterjemahkan suara rakyat terhadap ke mana pergi wang yang dibelanja dan pihak mana perlu membayar apa.

Demi Masa Depan

Rakyat yang saling menguatkan dan menyokong antara satu sama lain dalam mencapai kebaikan akan membentuk kuasa kuat yang berupaya menentukan pemberian mandat kepada  kepemimpinan yang bertindak mengikut kepentingan rakyat, agama dan negara.

Sekiranya memilih untuk tidak mengundi, maka orang lain akan mengundi dan menentukan masa depan hidup anda.

Undian menterjemahkan keyakinan dan kepercayaan anda terhadap pemimpin yang kompeten dan berkredibiliti. Sekiranya tidak bersetuju dengan semua, pilihlah pihak yang dirasakan paling ringan mudaratnya.

Yakinilah, perubahan yang besar mampu terhasil daripada usaha-usaha kecil yang konsisten dan ini telah terbukti melalui sejarah masa lalu.

Sesuatu perubahan itu berjalan atas hukum alam yang memerlukan pelaksanaan, tempoh dan ujian. Buatlah keputusan untuk menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah yang memilih untuk melakukan perubahan.

Setiap undi anda adalah berharga demi kemakmuran masyarakat dan negara.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia