KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tempat untuk rakyat memilih pemimpin yang berkemampuan, jujur dan amanah.
Berikutan itu, Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (Pusat LLG) melalui Deklarasi Bersama Menjelang PRU15, menyeru kepada semua warganegara Malaysia agar keluar mengundi.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memilih wakil rakyat terbaik untuk Malaysia tercinta.”
Menurut gabungan itu, jika rakyat tidak keluar mengundi, ia bermaksud mereka memilih orang yang tidak layak dan tidak mampu memimpin negara.
“Kami menyeru rakyat Malaysia yang cintakan tanah air untuk mengutamakan tiga ciri ini iaitu berkemampuan, amanah dan berintegriti serta jujur apabila mengundi nanti.”
Menerusi itu, jelas mereka, rakyat harus melihat kepada kelayakan dan kemampuan calon secara teliti, berdasarkan latar belakang dan rekod prestasi mereka selama ini.
“Hanya pemimpin yang berkemampuan, amanah dan jujur dapat memacu Malaysia menjadi negara yang harmoni, maju dan disegani.”
Deklarasi bersama itu turut menekankan agar semua parti politik dan calon mematuhi prinsip PRU yang adil dan bersih, mengemukakan pandangan politik yang memanfaatkan pembangunan negara serta mengelakkan daripada mengulas isu sensitif agama dan menghasut sentimen kaum.
Deklarasi itu turut menggesa agar rakyat membuktikan kuasa mereka dengan keluar mengundi dan memilih pemimpin berdasarkan ciri mampu, amanah dan jujur.
“Sejarah keterlibatan seseorang calon dengan rasuah, pengkhianatan, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan harta perlu dinilai dengan penuh bertanggungjawab oleh rakyat,” tegas deklarasi tersebut.
Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Naib Presiden IKRAM Prof Dr Hanim Salleh, Setiausaha Agung IKRAM Hj Shahrul Aman Mohd Saari, Naib Ketua Wanita IKRAM Dr Sabariah Baharun, Timbalan Presiden KLSCAH Dato Sri Chong Ket Pen, Setiausaha Agung KLSCAH Tan Soon Lim dan Pengarah Pusat LLG Ng Yoon Kin.
Berikut adalah teks penuh Deklarasi Bersama Menjelang PRU15 oleh KLSCAH, IKRAM dan Pusat LLG:
DEKLARASI BERSAMA MENJELANG PRU15
MESEJ KEPADA PENGUNDI
Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (Pusat LLG) menyeru kepada semua warganegara Malaysia agar keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memilih wakil rakyat terbaik untuk Malaysia tercinta.
1. PRU15 ini adalah tempat untuk rakyat memilih pemimpin yang berkemampuan, jujur dan amanah. Ia juga tempat untuk menolak calon yang mementingkan diri sendiri, menyalah guna kuasa dan mengamalkan rasuah.
2. Jika anda tidak keluar mengundi, bermaksud anda memilih orang yang tidak layak dan tidak mampu memimpin negara.
3. Rakyat harus melihat kelayakan dan kemampuan calon secara teliti, berdasarkan latar belakang dan rekod prestasi mereka selama ini.
4. Kami menyeru rakyat Malaysia yang cintakan tanah air untuk mengutamakan tiga ciri ini apabila membuang undi nanti:
i. Berkemampuan
Seorang pemimpin perlu mempunyai kemampuan melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dengan cemerlang dan terkehadapan. Pemimpin yang berkemampuan dan berpengaruh akan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin lain di bawah bimbingannya.
ii. Amanah dan Berintegriti
Mustahak bagi seorang pemimpin dipercayai atas kata-katanya. Kata-katanya pula mestilah seiring dengan perlakuan dan tindak-tanduknya. Kepercayaan ini tidak boleh diminta tetapi ia dibina dan dimenangi setelah dibuktikan oleh ‘track record’ kerja dan usahanya yang lepas.
Sejarah keterlibatan seseorang calon dengan rasuah, pengkhianatan, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan harta perlu dinilai dengan penuh bertanggungjawab oleh rakyat.
iii. Jujur
Sifat jujur penting untuk membina keyakinan orang terhadap seseorang pemimpin. Tiada kata-kata yang memfitnah, tiada janji-janji yang tidak dikotakan, tiada muslihat untuk kepentingan peribadi, dusta dan pembohongan daripada seorang pemimpin yang jujur. Pemimpin yang jujur akan disenangi dan dipercayai seluruh rakyat.
Hanya pemimpin yang berkemampuan, amanah dan jujur dapat memacu Malaysia menjadi negara yang harmoni, maju dan disegani. Di belakang pemimpin seperti ini, rakyat akan bersatu padu menyokong dan mendukung gagasan kepimpinannya.
Buktikan kuasa rakyat!
Keluar mengundi!
Pilih pemimpin yang Mampu, Amanah dan Jujur!
Semua parti politik dan calon diminta untuk mematuhi prinsip pilihan raya yang adil dan bersih, mengemukakan pandangan politik yang memanfaatkan pembangunan negara serta mengelakkan ulas isu sensitif agama dan menghasut sentimen kaum.
Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (Pusat LLG)
#MAJu
#KuasaRakyat
#PRU15