PRU15 semakin hampir sekarang. Saya melihat ada dua isu penting untuk PRU15 ini.
Rakyat Perlu Keluar Mengundi
Pertama, rakyat Malaysia perlu keluar mengundi, jangan lagi tidak mengundi.
Ini kerana, kalau anda tidak keluar mengundi, pengundi daripada kalangan ahli parti tidak pernah cuai untuk keluar mengundi sahaja akan mendapat laba.
Ahli parti ini biasanya akan fanatik dan taasub pada parti. Walau bagaimana korup dan teruknya prestasi atau kebolehan calon, namun kerana calon itu daripada parti mereka, mereka akan tetap mengundi calon tersebut.
Untuk itu, bagi memastikan calon yang benar-benar layak untuk dipilih, pengundi selain ahli parti adalah king makers, iaitu undi mereka menjadi penentu.
Apatah lagi kelayakan untuk mengundi bagi anak muda 18 tahun ke atas sekarang adalah secara otomatik, maka ingatlah anak muda sekalian, anda juga adalah king makers. Siapa pemimpin yang akan menjadi kerajaan selepas PRU15 ada di tangan anda.
Pengajaran PRN Melaka, Johor
Jangan lupa PRN Melaka dan Johor sebelum ini. Terbentuknya kerajaan di dua negeri ini oleh parti yang kita sama-sama maklum bukan atas kekuatan mereka, tetapi kerana ahli parti dan gabungan parti tersebut keluar mengundi, sementara ahli-ahli parti yang lain yang tidak sebesar mana itu berantakan.
Tetapi yang lebih tragik lagi apabila lebih kurang 40 peratus lagi tidak keluar mengundi. Maka kerajaan terbentuk walaupun dengan hanya tidak sampai 40 peratus sahaja undi yang mereka perolehi.
Formulanya begini: 30-38 peratus undi solid parti berkenaan dan sekutunya; 30-38 peratus lagi undi-undi daripada ahli parti-parti yang tidak bersatu di bawah satu pakatan, sementara baki 30-40 peratus lagi tidak keluar mengundi!
Maka terbentuklah kerajaan walaupun yang menang hanya memperolehi tidak lebih 40 peratus undi secara puratanya. Maka, jangan salahkan kerajaan yang terbentuk tapi pengundi-pengundi yang tidak keluar mengundi perlu muhasabah diri mereka. Pastikan perkara ini TIDAK lagi berulang dalam PRU15.
Siapa Calon Yang Diundi?
Kedua, amat peri penting juga siapa calon yang akan kita undi. Saya coretkan beberapa kriteria calon yang pengundi boleh pilih dan tolak.
1. Calon yang korup sama ada terlibat dgn rasuah dan salah guna kuasa, maka jangan diundi. Ini kuasa pengundi tapi ahli parti mereka tidak endah perkara ini kerana ketaasuban mereka kepada parti.
2. Calon yang setelah menjadi wakil rakyat menjadi kaya-raya luar biasa, calon ini jangan diundi.
Mungkin ada yang berhujah, apa salahnya ia menjadi kaya? Jawapan saya ada suatu yang tidak betul, sebab itu ia menjadi kaya raya.
Seorang wakil rakyat tidak boleh membuat dua kerja dalam satu masa; politik dan berniaga dan sebagainya. kedua-dua profesyen ini sangat berat untuk dilaksanakan dan tidak mungkin dapat dilakukan serentak.
Jadi kalau ia kaya-raya, ia sebenarnya telah tidak menjalankan fungsinya secara berkesan sebagai wakil rakyat.
Gaji dan elaunnya sebagai wakil rakyat tidak memungkinkan ia menjadi kaya-raya, sebaliknya ia menggunakan kedudukannya sebagai wakil rakyat untuk mencari laba dan habuan kekayaan. Calon seperti ini perlu ditolak. Iingat tagline saya: kaya-raya luar biasa.
3. Berkait dengan nombor 2, andai calon itu sudah kaya-raya sebelum menjadi wakil rakyat, maka tidak ada isu untuk mengundi calon ini.
Malah dengan kekayaan itu akan memudahkan lagi calon tersebut untuk menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat, seperti menginfakkan hartanya kepada mereka yang memerlukan. Biasanya orang yang kaya tidak lagi berminat menjadi ‘khadam rakyat’, tetapi calon seperti ini luar biasa sifatnya.
Dalam lipatan sejarah, Saidina Abu Bakar dan Saidina Uthman r.a. adalah contoh unggul untuk menjadi ikon kepada kita semua. Dalam lipatan sejarah kepimpinan dunia juga ada banyak contoh seperti Abu Bakar dan Uthman r.a. ini.
4. Sekiranya calon itu tidak kaya dan ia biasa-biasa sahaja, namun semasa kempen pilihan raya kelihatan ia sangat mewah, boleh menghulurkan wang yang begitu banyak dan mewah kepada pengundi, bantu itu dan bantu ini, dan macam-macam lagi bantuan yang diberikan sedangkan sebelum ini ia tidak pernah mampu melakukannya, maka hati-hati dengan calon seperti ini.
Saya amat mengesyaki ada pihak lain di belakangnya. Kemenangannya boleh membawa padah kepada anda sebagai pengundi, malah juga kepada negara sebenarnya. Ia juga mirip rasuah dan sogokan yang boleh menghancurkan negara!
5. Sekiranya calon itu amat trampil wataknya, mempunyai ciri-ciri pemimpin, kelayakan akademik amat tinggi, tetapi tidak mampu menghamburkan wang ringgit dan apa-apa imbuhan kepada pengundi, maka inilah CALON TERBAIK PILIHAN ANDA sebenarnya.
Kenapa saya kata begitu? Ini kerana pemimpin itu yang kaya kepimpinannya, yang kaya perkhidmatannya, yang kaya idea-ideanya yang bernas, kerana ketahuilah, itulah kekayaan seorang pemimpin.
Saidina Umar al-Khattab r.a. tergolong dalam kumpulan ini. Malah Rasulullah SAW adalah contoh unggul dan tiada tolok banding dalam bab kepimpinan ini tetapi baginda dan Saidina Umar tidak kaya harta!
6. Bercakap soal calon dan harta ini, saya perlu jelaskan juga, saya tidak bermaksud calon pilihan raya tidak perlu mempunyai apa-apa kemudahan untuk menjadi calon.
Dana untuk petugas pilihan raya calon, dana untuk jentera pilihan raya, dana untuk berkempen, dana untuk keperluan lain yang umum memahaminya adalah satu keperluan, jangan disamakan dengan apa yang saya sebutkan di atas.
Insya-Allah, andai pengundi PRU15 boleh menjadi king makers (penentu) kepada calon-calon yang bertanding, maka PRU15 akan menjanjikan satu landskap baru kepada kepemimpinan Negara RAHMAH yang kita idamkan.
Wakil-wakil rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah pemimpin yang kelayakan akademiknya cemerlang, bersih daripada korupsi, kepimpinannya berwibawa dan berperwatakan pemimpin adalah khadam rakyat, wang negara tidak akan tiris lagi, dan tentunya rakyat jua yang akan mendapat hasilnya.
Penutup
Sesungguhnya bumi Malaysia ini amat kaya dengan hasil buminya. Negara Malaysia mempunyai ramai pemimpin-pemimpin yang berbakat besar, negara hanya menunggu masa dan ketika rakyatnya keluar mengundi untuk PRU15.
Dan seterusnya, jangan lupa keluar mengundi dan pilih betul-betul siapa yang anda akan undi nanti.
Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan
Timbalan Presiden IKRAM