Protes pekerja di Indonesia: Apa punca sebenar masalah?

Kemarahan mereka adalah terhadap satu rang undang-undang pekerjaan (juga dipanggil Omnibus Law) yang telah diusulkan oleh pihak kerajaan Indonesia di Dewan Perwakilan Rakyat pada awal tahun 2020 dan telah diluluskan pada awal bulan ini. 

Rang undang-undang ini bertujuan untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara dengan cara memansuhkan beberapa peraturan yang dilihat menyulitkan operasi organisasi perniagaan. Aspek yang paling kontroversi ialah penghapusan peraturan yang melindungi hak pekerja serta yang melindungi alam sekitar.

Sebagai contoh ialah penghapusan peraturan gaji minima serta peraturan yang melindungi pekerja daripada dibuang oleh majikan. Di samping itu, peraturan yang memerlukan organisasi perniagaan melakukan Analisa Impak ke atas Alam Sekitar (Environmental Impact Analysis) juga dilonggarkan. 

Sudah tentu ini semua dilakukan akibat daripada tekanan pihak industri dan pelabur yang sedang menghadapi suasana perniagaan yang semakin mencabar. Tahap persaingan di hampir kesemua sektor semakin sengit dan memaksa organisasi perniagaan meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka. Ini bemakna kos operasi mesti dikurangkan, terutama sekali kos gaji dan upah pekerja. 

Inilah yang membuatkan golongan pekerja dan pelajar menjadi marah kerana mereka merasakan bahawa kerajaan Indonesia lebih mementingkan kepentingan golongan korporat berbanding golongan pekerja dan rakyat biasa. 

Sebenarnya isu yang dibincangkan di atas bukan isu yang baru. Bahkan ianya telah berlaku di banyak negara lain sebelum ini terutama sekali di negara barat.

Sebagai contoh, pada tahun 2006, ribuan pelajar dan pekerja juga telah memprotes dengan ganas terhadap kerajaan Perancis dibawah kepimpinan Perdana Menteri Dominique de Villepin yang telah mengusulkan satu undang-undang yang menyenangkan organisasi perniagaan membuang pekerja untuk mengurangkan kos operasi.

Ini kerana organisasi perniagaan Perancis telah menghadapi persaingan sengit dari luar negara, terutama sekali dari negara Eropah Timur seperti Poland dan Hungary yang mana kos pekerja adalah lebih rendah dan undang-undang buruh adalah lebih fleksibel serta organisasi perniagaan boleh membuang pekerja dengan senang apabila ekonomi menjadi perlahan dan permintaan kepada produk mereka merosot.

Perlu dinyatakan di sini bahawa akhirnya tuntutan para pemprotes telah gagal dan kerajaan Perancis telah meluluskan dan melaksanakan undang-undang baru tersebut.  

Apa yang perlu disedari ialah persekitaran perniagaan di seluruh dunia sekarang sedang menghadapi suasana persaingan yang terlampau sengit (hypercompetition). Faktor utama yang menyumbang kepada suasana ini ialah kewujudan jumlah organisasi yang beroperasi pada skala yang besar dalam hampir semua sektor perniagaan. 

Suasana perniagaan sekarang persis suasana persaingan sengit dalam banyak bidang sukan. Punca kepada suasana ini ialah penggunaan steroid oleh para atlet itu sendiri. Walaupun prestasi ahli sukan meningkat, namun beberapa kesan negatif akan timbul.

Antara lain, ramai dalam kalangan mereka akan menghadapi masalah jantung dan mati lebih awal daripada orang awam. Malangnya sekarang ini ramai atlet terpaksa menggunakan steroid kerana itu sudah menjadi amalan biasa dalam kalangan  atlet, dan menjadi syarat untuk mencapai kejayaan terutama sekali di peringkat antarabangsa.

Dalam dunia perniagaan, ‘steroid’ kepada organisasi perniagaan ialah dana kewangan yang dipinjam daripada sektor perbankan. Sudah tentu dana ini akan membantu organisasi beroperasi pada skala yang lebih besar, dengan tahap inovasi yang lebih tinggi serta kemampuan pemasaran yang lebih kuat. 

Namun apabila semua organisasi melakukan strategi yang sama, iaitu berkembang dengan cara berhutang daripada sektor perbankan, tahap persaingan akan menjadi tersangat sengit. Keadaan menjadi lebih teruk kerana wang sekarang adalah dalam bentuk elektronik dan bukan lagi berbentuk fizikal (sebenarnya hanya 3 peratus sahaja bekalan wang yang berbentuk fizikal).

Keadaan ini menyenangkan sektor perbankan mencipta wang baru dengan mudah, yang dibekalkan secara hutang kepada sektor perniagaan. Akibatnya jumlah pinjaman kepada sektor perniagaan telah meningkat dengan cepat dan keadaan keberhutangan syarikat perniagaan akan menjadi sangat tinggi. 

Akhirnya hampir semua organisasi perniagaan terbeban dengan beban hutang yang banyak. Inilah yang memaksa mereka mencari jalan untuk mengurangkan kos sebanyak mungkin.

Jika tidak, mereka akan terpaksa memindahkan lokasi operasi mereka ke negara yang mana undang-undang buruh dan alam sekitar adalah lebih longgar. Kerajaan Indonesia menyedari kemungkinan ini dan oleh itu terpaksa bersetuju dengan kehendak dan cadangan mereka agar undang-undang Omnibus ini diluluskan.

Sebenarnya organisasi perniagaan adalah mangsa kepada sistem kewangan yang menghimpit mereka dengan beban hutang serta mewujudkan suasana perniagaan yang sangat mencabar. Untuk memastikan mereka boleh kekal wujud dan bersaing, akhirnya mereka juga terpaksa menghimpit pekerja-pekerja mereka serta mengancam alam sekitar. 

Rakyat jelata dan golongan pekerja merasakan bahawa keadaan adalah tidak adil kepada mereka dan oleh itu memarahi kerajaan yang ditanggapi berkomplot dengan  pihak organisasi perniagaan yang sedang menzalimi mereka.

Rakyat jelata tidak menyedari bahawa punca kepada keadaan yang menzalimi mereka adalah sebenarnya bukan kerajaan Indonesia semata-mata, tetapi adalah sistem riba yang zalim yang diharamkan oleh Allah SWT.

Namun, oleh kerana industri riba yang mendapat keuntungan daripada memberi hutang ini dibenarkan beroperasi dan berkembang dengan cepat oleh masyarakat Indonesia sendiri, maka akibatnya semua pihak berada berada dalam keadaan yang tertekan dan sengsara, terutama sekali golongan pekerja.    

Berita terkini melaporkan Nahdatul Ulamak atau NU, iaitu sebuah organisasi dakwah terbesar di Indonesia juga telah mengambil keputusan menyokong golongan pelajar dan pekerja untuk menentang kerajaan Indonesia dalam isu ini. 

Malangnya, berdasarkan apa yang telah berlaku di Perancis pada tahun 2006 serta di beberapa negara lain, besar kemungkinan usaha mereka akan sia-sia dan kerajaan Indonesia akan terus melaksanakan undang-undang ini.

Ini kerana kerajaan Indonesia tidak mempunyai alternatif lain untuk memastikan pelaburan akan bertambah dan ekonomi Indonesia akan terus berkembang pada masa akan datang, demi ‘survival’ kerajaan sendiri. 

Sepatutnya NU, sebagai persatuan dakwah, menyedari bahawa punca masalah ialah kegagalan masyarakat Indonesia secara umum menyekat perkembangan industri riba yang bertentangan dengan ajaran Islam. 

Oleh itu, disamping menyuarakan tentangan terhadap undang-undang baru ini, NU sepatutnya memfokuskan usaha untuk mendidik masyarakat Indonesia tentang bahaya industri  hutang atau riba sebagai penyelesaian jangka panjang.

NU juga perlu melakukan usaha dakwah dan tarbiah supaya nilai ahli masyarakat Indonesia dapat diubah supaya tidak mengagungkan kebendaan dan kemajuan material semata-mata kerana nilai sebeginilah yang menjadi faktor kepada perkembangan industri riba di Indonesia. 

Kegagalan mengenal pasti punca masalah ini akan bermakna masalah ini tidak akan dapat diselesaikan. Walaupun undang-undang ini akan memastikan pelaburan akan bertambah dan ekonomi negara Indonesia akan berkembang, terutama sekali apabila pandemik COVID-19 berakhir, namun ianya akan disusuli oleh pertambahan tekanan hidup dan kesengsaraan dalam kalangan rakyat biasa, seperti yang sedang berlaku di negara-negara lain termasuk di negara kita sendiri. 

Protes dan demonstrasi terhadap kerajaan tidak akan merubah keadaan yang sedih ini. Bahkan kemungkinan besar ia akan berakhir dalam masa beberapa minggu lagi akibat kepenatan dalam kalangan para pemprotes sendiri. Apa yang boleh merubah keadaan dalam jangka panjang adalah usaha dakwah dan tarbiah serta kesedaran tentang ancaman daripada perkembangan industri hutang dan riba.

 

Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya
10 Oktober 2020

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia