KUALA LUMPUR – “Sekiranya kita benar-benar ingin membina masyarakat madani yang berakar pada nilai dan akhlak, maka ia mesti bermula dengan pembinaan insan, khususnya lelaki yang berperanan sebagai Qawwam dalam keluarga dan masyarakat.”
Demikian antara intipati ucapan perasmian oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dalam program “Generasi Qawwam: Anak Muda Hero Keluarga” yang berlangsung di Dewan Jabir Ibn Hayyan, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).
Program yang berlangsung semalam ini merupakan inisiatif bersama antara JAKIM, UCMI dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bersempena sambutan Hari Bapa 2025, dengan penyertaan hampir 500 orang peserta, majoritinya mahasiswa IPT UCMI, Kolej Profesional Baitulmal (KPBKL) dan International Islamic College (IIC).
Dalam ucapannya, Dato’ Na’im menegaskan bahawa pembentukan lelaki sebagai Qawwam iaitu pelindung, pembimbing dan pemimpin keluarga adalah asas penting dalam pembinaan masyarakat madani yang berakhlak dan berintegriti.
Beliau turut mengaitkan peranan lelaki ini dengan Surah an-Nisa’ ayat 34, yang menjelaskan tanggungjawab lelaki dalam menyediakan nafkah dan kepimpinan moral kepada keluarga.
Beliau juga membangkitkan isu sosial kritikal apabila mendedahkan bahawa pada tahun 2008 sahaja, sebanyak 12,000 perintah nafkah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah, namun tidak dipatuhi oleh para suami.
Kegagalan lelaki menjalankan tanggungjawab ini, ujar beliau, menjadi punca gejala sosial seperti tekanan emosi isteri dan anak-anak, pencarian kasih sayang di luar keluarga, bahkan terdedah kepada pengaruh ajaran sesat atas nama ketenangan dan spiritual palsu.
Tambah beliau, pembinaan lelaki Qawwam tidak boleh ditangguhkan hingga ke alam perkahwinan, sebaliknya perlu bermula sejak usia awal seperti ketika di bangku pengajian.
Justeru, program ini bertujuan memupuk kefahaman, meneguhkan jati diri serta mempersiapkan mahasiswa lelaki sebagai pemimpin masa depan yang berwibawa dan berakhlak.
Dato’ Na’im turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat IKRAM, JAKIM dan UCMI serta syarikat-syarikat penaja dalam menjayakan program ini, yang katanya perlu diperluaskan lagi di seluruh negara sebagai usaha kolektif membina masyarakat madani seperti yang digariskan oleh YAB Perdana Menteri.
Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, menyatakan bahawa program ini selari dengan dua pelan besar yang diterajui oleh YB Menteri Hal Ehwal Agama iaitu Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama dan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) yang meletakkan pembangunan jati diri lelaki sebagai teras pembinaan ummah.
“Pembinaan lelaki berkualiti bukan kerja semalaman. Ia mesti bermula dari usia remaja dan dibentuk melalui pengalaman, nilai dan tanggungjawab. Program ini adalah langkah proaktif membentuk generasi pewaris yang gagah jasmani, kukuh rohani dan tinggi amanahnya,” ujar beliau dalam majlis perasmian.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam Haji Yahya; Naib Canselor Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Prof. Dato’ Dr. Noor Inayah Ya’akub dan Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin serta Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh.