PRN Medan Didik Rakyat, Bukan Sekadar Rebut Kuasa

pilihan raya

Pilihan raya datang dan pergi. Bendera akan diturunkan. Poster akan ditanggalkan. Pentas ceramah akan dikemas semula. Namun ada satu perkara yang sepatutnya terus hidup selepas semua itu berakhir, iaitu ilmu yang diperoleh oleh rakyat.

Sebab itulah pilihan raya tidak boleh dilihat semata-mata pertandingan untuk menentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah. Lebih besar daripada itu, pilihan raya ialah medan mendidik masyarakat. Jika rakyat semakin matang selepas sesuatu pilihan raya, itulah kemenangan sebenar sebuah demokrasi.

Walaupun untuk membangkitkan kefahaman kepada rakyat itu sesuatu yang mencabar, namun ia perlu dilakukan juga bagi merealisasikan politik matang tersebut. Selama ini ramai antara kita masih terperangkap dalam budaya politik yang terlalu banyak mengajar untuk marah, tetapi terlalu sedikit mengajar untuk memahami. 

Polemik yang merosakkan rakyat 

Setiap kali musim pilihan raya, ruang media sosial dipenuhi pelbagai cerita. Ada yang benar, ada yang separuh benar dan tidak kurang juga yang direka-reka. Video dipotong mengikut kehendak tertentu. Tajuk dibuat supaya orang cepat marah. Gambar lama dikitar semula seolah-olah baru berlaku. Akhirnya rakyat bukan semakin faham, tetapi semakin keliru.

Yang lebih membimbangkan, ada yang menganggap semakin banyak emosi dimainkan, semakin berjaya sesuatu kempen. Hakikatnya, demokrasi tidak dibina atas kemarahan.

Demokrasi dibina atas kefahaman. Rakyat yang benar-benar memahami sesuatu isu tidak mudah dipermainkan oleh sentimen. Mereka akan bertanya, menyemak dan membuat penilaian sendiri.

Mereka tidak cepat melatah hanya kerana membaca satu hantaran Facebook atau menonton video selama tiga puluh saat. Inilah yang sepatutnya menjadi matlamat pendidikan masyarakat.

PRN Negeri Sembilan sebenarnya membuka ruang yang cukup luas untuk semua pihak mendidik rakyat. Parti politik boleh menerangkan dasar yang ingin dibawa. 

Calon boleh menjelaskan peranan sebenar seorang Ahli Dewan Undangan Negeri. Pertubuhan masyarakat boleh menggalakkan budaya menyemak fakta. Institusi pendidikan pula boleh menyemai nilai kewarganegaraan dan tanggungjawab sosial.

Apabila semua memainkan peranan, rakyat bukan hanya keluar mengundi, tetapi keluar mengundi dengan ilmu dan pengetahuan. Mencabarnya, perkara itu masih belum menjadi budaya. Apabila disampaikan kebenaran berfakta, ia pantas dibidas dengan cemuhan dan kata-kata nista.

Masih ramai yang menyangka tugas seorang ADUN sama seperti Ahli Parlimen. Masih ada yang percaya semua janji boleh dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan. Tidak kurang juga yang membuat keputusan hanya berdasarkan persepsi terhadap individu tanpa memahami bidang kuasa dan tanggungjawab sebenar.

Pentingnya pendidikan masyarakat 

Di sinilah pentingnya pendidikan masyarakat. Masyarakat yang berilmu tidak memilih kerana marah. Mereka memilih kerana yakin. Mereka tidak menolak seseorang hanya kerana berbeza parti.

Mereka juga tidak menyokong seseorang hanya kerana pandai bercakap di pentas ceramah. Mereka akan melihat rekod, kemampuan, integriti, kesungguhan dan kesediaan untuk berkhidmat. Inilah demokrasi yang sihat.

Kita juga perlu mengubah cara melihat kempen pilihan raya. Ceramah bukan semata-mata tempat menaikkan semangat penyokong. Ceramah ialah kelas terbuka kepada rakyat. Setiap ucapan sepatutnya mengandungi fakta, penerangan dan penyelesaian, bukannya hanya slogan dan serangan peribadi. Begitu juga halnya dengan media sosial.

Bayangkan jika setiap video kempen membantu rakyat memahami bagaimana bajet negeri disediakan, bagaimana sesuatu projek diluluskan atau bagaimana sesuatu dasar memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Sudah tentu rakyat akan menjadi lebih bijak menilai. Amat sadis, banyak kandungan lebih cenderung mengejar tontonan daripada membina kefahaman.

Kita sering mengeluh melihat masyarakat mudah percaya berita palsu. Namun persoalannya, adakah kita benar-benar mendidik masyarakat untuk menyemak sebelum berkongsi?

Budaya membaca semakin berkurang. Budaya menonton semakin meningkat. Akibatnya, ramai membuat kesimpulan hanya berdasarkan tajuk, bukan isi. Keadaan ini sangat berbahaya kepada sebuah negara demokrasi.

Budaya muafakat 

Negeri Sembilan mempunyai sejarah yang cukup unik. Negeri ini terkenal dengan budaya muafakat, adat yang mengangkat kebijaksanaan serta semangat berbincang sebelum membuat keputusan.

Nilai-nilai inilah yang sepatutnya dibawa masuk ke dalam budaya politik hari ini. Berbeza pandangan bukan bermaksud bermusuh. Berbeza parti bukan alasan untuk memutuskan silaturahim.

Pilihan raya hanyalah satu episod dalam perjalanan sebuah negeri. Selepas keputusan diumumkan, semua akan kembali menjadi jiran, rakan sekerja, ahli surau, ahli masjid, peniaga di pasar dan ibu bapa kepada anak-anak yang belajar di sekolah yang sama.

Jika politik menyebabkan masyarakat saling membenci, kita sebenarnya sedang kalah walaupun menang kerusi. Percayalah! 

Oleh sebab itu, pendidikan masyarakat bukan hanya tentang mengajar rakyat cara mengundi. Ia lebih besar daripada itu. Ia mengajar rakyat menghormati pandangan yang berbeza. Ia mengajar rakyat membezakan fakta dengan fitnah.

Ia mengajar rakyat menilai pemimpin berdasarkan amanah, bukan semata-mata populariti. Ia mengajar rakyat bahawa mengkritik boleh dilakukan dengan adab, dan menyokong tidak bermaksud taasub.

Politik yang matang lahir daripada masyarakat yang matang. Masyarakat yang matang pula lahir daripada proses pendidikan yang berterusan. Atas sebab itulah, musim pilihan raya perlu dijadikan sekolah terbuka kepada seluruh rakyat.

Biarlah rakyat pulang daripada setiap ceramah dengan ilmu baharu. Biarlah setiap video yang ditonton menambah kefahaman, bukan hanya menambah kemarahan. Biarlah setiap perdebatan membuka ruang berfikir, bukan menutup pintu persaudaraan.

Negeri yang hebat bukan diukur semata-mata dengan jalan raya yang cantik, bangunan yang tinggi atau pelaburan yang besar. Negeri yang benar-benar maju ialah negeri yang rakyatnya berfikir sebelum mempercayai, menyemak sebelum berkongsi dan memilih dengan ilmu sebelum mengundi.

Akhirnya, kemenangan sebenar dalam PRN Negeri Sembilan dan PRN lain-lainnya bukanlah apabila satu parti berjaya membentuk sebuah kerajaan. Tetapi, kemenangan yang lebih besar ialah apabila rakyat keluar daripada pilihan raya ini sebagai masyarakat yang lebih bijaksana, lebih beradab dan lebih celik demokrasi daripada sebelumnya.

Ya, benar. Apabila politik menjadi ruang mendidik masyarakat, yang menang bukan hanya parti politik. Yang menang ialah seluruh rakyat yang turut sama merasai “pendidikan” itu.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia