SERI KEMBANGAN – Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, masyarakat perlu memainkan peranan dalam membantu mengawal penyebaran ucapan berbaur kebencian serta naratif 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja khususnya di platform media sosial sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
“Jika terdapat hantaran atau kandungan yang mengandungi elemen berkenaan, masyarakat perlu melaporkannya kepada penyedia platform terbabit supaya ia tidak tersebar secara meluas.”
Beliau berkata, rakyat memainkan peranan penting.
“Semua platform media sosial memang ada butang (lapor), jadi kalau mereka rasa ada ucapan atau kandungan melibatkan 3R, saya menggesa rakyat melaporkan hantaran tersebut kepada penyedia platform supaya mereka boleh mengambil tindakan sewajarnya,” tegasnya.
Teo berkata demikian selepas menghadiri Ceramah Mega Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang di pekarangan Bilik Gerakan Pakatan Harapan DUN berkenaan di Seremban.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilaporkan berkata, polis tidak akan berkompromi berkaitan isu 3R dan mana-mana pihak yang didapati terlibat akan diambil tindakan berdasarkan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati memainkan isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dijalankan kelak.”
Menurutnya, isu sensitif melibatkan 3R ini tidak kira mana-mana pihak sama ada orang awam, ahli perniagaan atau ahli politik sekalipun, jika menyentuh mengenainya akan segera siasat.
“Sama ada saya sendiri kalau saya ada sebut berkaitan isu berkenaan, saya juga sedia disiasat,” katanya.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, pihaknya bertanggungjawab dalam memastikan suasana sepanjang PRN berjalan lancar.
“Kita mahu proses demokrasi dan keamanan berjalan dengan lancar serta terjamin sepanjang berlangsungnya PRN ini, jadi ingatan saya kepada semua agar jangan sesekali mencetuskan isu yang sensitif.
Pemantauan akan dijalankan oleh anggota dan pegawai terlibat sepanjang tempoh berkempen dan siasatan berkenaan isu 3R akan disiasat sama ada daripada pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.