PRK Nenggiri: Gemuruh dari Takhta

Sebagaimana bidalan ada menyebutkan; “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar,” inilah seharusnya kita ingat sebelum hendak menuturkan bicara yang boleh jadi akan mencetuskan sesuatu yang tidak harmoni atau menularkan bibit-bibit tidak sejahtera dalam masyarakat.

Terkadang, seseorang itu bercakap lepas tanpa memikirkan akibatnya, kerana tidak puas hati terhadap sesuatu yang tidak berpihak kepadanya. Apalagi, jika sesuatu situasi itu membuatkan dirinya tidak dapat ‘move on’ dengan apa yang telah ditetapkan atau terjadi.

Sebelum hendak mengatakan orang lain, sewajarnya cermin diri dulu agar apa yang diperkatakan tidak menjadi tundingan semula kepada dirinya, setelah itu.

Seni mengawal bicara seperti ini seharusnya ada kepada kita semua, agar tidak menjadi pencetus angkara atau polemik yang memusnah mahupun menghancurkan. Apalagi jika ia melibatkan perkara-perkara yang sensitif seperti 3R iaitu ‘Religion, Race, dan Royal.’

Secara jelasnya, perkara yang bersangkut paut dengan Agama, Bangsa dan Institusi Raja (3R) adalah hal yang sangat dekat dengan rakyat, apalagi sentiasa mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat.

Perlembagaan Persekutuan telah diperuntukkan beberapa perundangan seperti Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta beberapa statut yang lain telah digubal bagi menangani isu-isu sensitif berkaitan 3R ini.

Kemurkaan Pihak Istana

Terbaharu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu itu, baginda mendakwa Muhyiddin telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih perdana menteri ke-10.

Menurut baginda, kenyatan yang dikeluarkan mantan Perdana Menteri ke 8 itu juga, tidak matang, menampakkan seolah-olah dirinya masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai perdana menteri.

Dalam perkembangan yang sama, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menitahkan seorang pengguna media supaya menghormati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Parlimen bagi kawasan P143 Pagoh itu dilaporkan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 sewaktu ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Ceramah yang disampaikan Ahli Dewan Negeri bagi kawasan N09 Gambir, Johor Darul Ta’zim itu didakwa secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R merujuk raja, agama dan kaum dalam kempen politiknya

Berikutan insiden tersebut, Menteri Besar Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Jelai Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail,  menggesa pihak berkuasa supaya segera bertindak ke atas mantan perdana menteri tersebut yang didakwa biadab terhadap Sultan Pahang.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata tindakan tersebut penting sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua pihak agar tidak mengulangi perkara sedemikian.

Tindakan tegas

Susulan beberapa insiden yang menggugat ketenteraman awam dan keharmonian di dalam negara natijah daripada sebaran elemen 3R, tahun lalu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din menegaskan, MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R.

“Ucapan berbaur kebencian merujuk kepada kata-kata ataupun gambar yang menuduh, merendah-rendahkan nilai seseorang individu atas faktor perkauman, etnik, agama mahupun kewarganegaraan mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terbabit mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.”

7 elemen perlu dipasakkan

Malaysia negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya, sering berhadapan dengan cabaran berkaitan isu 3R ini. Dalam usaha membendung isu-isu sensitif ini, rakyat juga memainkan peranan yang amat penting. Langkah-langkah konkrit yang boleh diambil oleh setiap warganegara untuk memperkukuh perpaduan negara perlulah dipupuk dengan 7 elemen ini, antaranya;

  1. Pendidikan dan Kesedaran: Asas Perpaduan

Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia telah menjalankan kajian yang menunjukkan bahawa pemahaman antara kaum dan agama dapat mengurangkan ketegangan sosial secara signifikan. Rakyat perlu mengambil inisiatif untuk mendidik diri sendiri dan orang lain tentang kepentingan perpaduan dan bahayanya perpecahan.

  1. Dialog Antara Komuniti: Jambatan Persefahaman

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah membuktikan keberkesanan dialog antara komuniti dalam meningkatkan persefahaman. Rakyat digalakkan untuk menganjurkan dan menyertai forum-forum yang menggalakkan perbincangan terbuka antara pelbagai kaum dan agama. Melalui perbualan yang jujur dan terbuka, stereotaip dan salah faham dapat dibendung dan dihapuskan.

  1. Menolak Politik Perkauman: Ke Arah Politik Matang

Laporan oleh Merdeka Center menunjukkan ‘trend’ positif di mana pengundi semakin bijak dalam menilai dasar berbanding retorik perkauman. Rakyat perlu terus kritis terhadap ahli politik yang menggunakan isu 3R untuk kepentingan peribadi. Dengan menolak politik perkauman, kita dapat mendorong ahli politik untuk fokus kepada isu-isu pembangunan dan kebajikan rakyat.

  1. Meraikan Kepelbagaian: Kekuatan Dalam Perbezaan

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah mendokumentasikan bagaimana aktiviti silang budaya meningkatkan perpaduan. Rakyat digalakkan untuk menyertai dan menganjurkan acara-acara yang meraikan kepelbagaian budaya Malaysia. Ini bukan sahaja memperkaya pemahaman antara kaum, tetapi juga memperkukuh identiti Malaysia yang unik.

  1. Tanggungjawab Sosial: Melaporkan Untuk Melindungi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyediakan platform untuk melaporkan kandungan yang berunsur hasutan. Rakyat mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan sebarang provokasi berkaitan isu 3R kepada pihak berkuasa. Tindakan ini penting untuk memastikan keharmonian sosial terpelihara.

  1. Menyokong Dasar Inklusif: Asas Keadilan Sosial

Kajian oleh Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan bahawa dasar inklusif meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Rakyat perlu aktif dalam menyokong dan menuntut dasar-dasar yang adil untuk semua kaum dan agama. Ini termasuk penglibatan dalam proses demokrasi dan penyuaraan pendapat secara konstruktif.

  1. Menghormati Institusi Diraja: Simbol Perpaduan Negara

Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan jelas menggariskan peranan Raja sebagai ketua negara dan simbol perpaduan. Rakyat perlu memahami dan menghormati peranan ini. Penghormatan terhadap institusi Diraja bukan sahaja menjaga tradisi, tetapi juga memperkukuh identiti nasional yang merentasi kaum dan agama.

Justeru, sekiranya terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Diraja dan perkauman, segera laporkan insiden tersebut kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/, talian aduan: 1800-188-030, WhatsApp di 016 2206 262 dan e-mel di aduanskmm@mcmc.gov.my . Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/ .

Oleh yang demikian, membendung isu 3R bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi merupakan usaha kolektif seluruh rakyat Malaysia. Melalui pendidikan, dialog, penolakan politik perkauman, perayaan kepelbagaian, tanggungjawab sosial, sokongan terhadap dasar inklusif, dan penghormatan kepada institusi Diraja, kita dapat membina Malaysia yang lebih bersatu dan harmoni lagi sejahtera.

Setiap individu memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi ini, dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan generasi akan datang mewarisi negara yang bersatu padu sejahtera dan makmur.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia