Presiden rasmi PATWA 2010

patwa1

Tetamu utama, Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad (gambar kanan) selaku Presiden IKRAM dalam ucapan perasmiannya awal pagi tadi menjelaskan tujuan perhimpunan ini diadakan. PATWA 2010 dilangsungkan di Kompleks Darul Puteri Cheras, Kuala Lumpur.

“Perhimpunan hari ini bertujuan memilih barisan kepemimpinan wanita IKRAM pusat, iaitu ahli-ahli jawatankuasa pusat (JKP) sayap wanita IKRAM, yang kemudiannya dalam kesempatan-kesempatan yang lain akan diikuti dengan pemilihan ahli jawatankuasa (JK) sayap Wanita IKRAM peringkat negeri dan ahli JK sayap wanita IKRAM sebahagian daerah yang dirasakan perlu,” ujar beliau.

“Alam Islam tidak ketandusan pemimpin yang berwibawa tetapi konspirasi antarabangsa daripada pihak musuh menjadikan usaha-usaha mengangkat mereka ke puncak kekuasaan masih amat sulit dengan persekongkolan pemimpin-pemimpin negara Islam sedia ada menentang aspirasi ummah masih tegar,” katanya kepada kira-kira 300 ahli PATWA yang memenuhi dewan.

Bersesuaian dengan tema yang dipilih, Dr Mohd Parid menyeru agar ahli-ahli memantapkan saf, bersatu dengan ikatan iman, persaudaraan dan perjuangan, saling mengenali dengan mendalami dan memahami serta saling mendukung antara satu sama lain bagi tujuan memperkasa perjuangan. Kejayaan hanya akan datang sewaktu dakwah telah tersebar luas, memiliki penyokong setia yang ramai selain faktor masa apabila Islam menjadi tuntutan masyarakat manusia.

Dr Mohd Parid turut memberikan kata-kata semangat kepada para hadirin dalam melaksanakan dakwah bagi perjuangan ummah.

“Perjalanan dakwah sentiasa melalui kepayahan dan cabaran di hadapan, namun kita hendaklah berusaha mendepani cabaran-cabaran berikut dengan membangunkan arus Islam sebagai arus perdana, membangunkan ummah, menyatukan serta memimpinnya selain membina keupayaan mewujudkan kesatuan dalam situasi kepelbagaian (unity in diversity) iaitu kepelbagaian dan keunikan masyarakat Malaysia untuk membolehkan kita mampu memimpin masyarakat.”

patwa1

Menjejaki kembali perjalanan perjuangan Rasulullah, beliau menyeru ahli PATWA agar terus membangunkan diri, membangunkan generasi Qurani, membangunkan negara (Daulah ar-Risalah), membangunkan tamadun dan hendaklah berusaha mengubah realiti bagi memulihkan ummah dan memperbaikinya.

Beliau seterusnya menyeru ahli-ahli PATWA agar sering duduk berbincang, sama-sama berfikir dan memikirkan langkah-langkah ke hadapan dalam setiap kesempatan pada waktu siang atau malam, merencanakan kaedah terbaik melaksanakannya, berkorban masa, tenaga dan sebahagian daripada kemudahan-kemudahan kehidupan yang dimiliki untuk menjayakannya.

Justeru, IKRAM hadir di tengah-tengah arus pergolakan negara sebagai bahtera penyelamat bagi ummah dan masyarakat sebagai rujukan, berada di pusat aksi dan operasi, menggerakkan perubahan dan pembaharuan, membawa rakyat dan negara keluar dari situasi kemelut, kecelaruan hala tuju, ketidaktentuan kepada situasi penyelesaian, kejelasan arah, visi dan misi serta kepastian langkah-langkah ke hadapan yang sepatutnya dipacu negara dan masyarakat.

Sebelum mengakhiri ucapan perasmian PATWA, beliau menggesa ahli PATWA agar terus bekerja dan berjihad ke arah kemenangan bagi memantapkan saf perjuangan dakwah sebagaimana yang banyak termaktub dalam al-Quran.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia