PUTRAJAYA – Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin telah menghadiri Majlis Syarahan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Isnin.
Majlis bersejarah ini mencerminkan sokongan terhadap hubungan erat antara Malaysia dan Turkiye, khususnya dalam memperkukuh kerjasama dunia Islam.
Dalam syarahannya, Presiden Erdoğan menekankan kepentingan perpaduan umat Islam, isu Gaza dan Palestin, serta peranan Malaysia dan Turkiye dalam menangani cabaran global.
Dalam ucapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, beliau menyatakan Presiden Erdoğan dikenali sebagai pemimpin yang berjaya melonjakkan Turkiye ke era transformasi antarabangsa dengan memperkukuh ekonomi, memperluas pengaruh diplomatik dan meningkatkan keupayaan pertahanan negara.
Di bawah kepimpinannya, Turkiye telah menjadi kuasa penting dalam dunia Islam dan antarabangsa, memainkan peranan utama dalam menangani isu kemanusiaan serta memperjuangkan keadilan global, terutamanya di Gaza dan Palestin.
Kunjungan ini dapat melonjakkan hubungan akrab kedua-dua negara di pelbagai lapangan termasuk ekonomi, pendidikan dan pertahanan, selain memperkukuh semangat persahabatan antara rakyat Malaysia dan Turkiye.
Turut bersama Presiden IKRAM adalah Timbalan Presiden, Jusni Yusoff serta Ahli JKP, Hj Ainullotfi Abdul Latif dan Hj Azman Abd Rashid.
Majlis ini turut dihadiri oleh pemimpin kerajaan, duta asing, tokoh akademik dan wakil pertubuhan Islam yang bersama-sama mengangkat agenda persaudaraan sejagat dan kestabilan serantau.
Kredit foto utama: FB Anwar Ibrahim